GALATIA 6:2-10
GALATIA 6:2-10 Alkitab Berita Baik (BM)
Hendaklah kamu saling menolong memikul beban. Dengan cara demikian kamu akan mentaati perintah Kristus. Jika seseorang menyangka dirinya penting, padahal tidak, orang itu menipu dirinya sendiri. Tiap-tiap orang harus memeriksa kelakuannya sendiri, sama ada baik atau tidak. Jika baik, dia boleh berbangga dengan hal itu. Tetapi dia tidak perlu membandingkan apa yang dilakukannya dengan apa yang dilakukan orang lain, kerana tiap-tiap orang harus memikul tanggungjawab masing-masing. Orang yang sedang menerima ajaran Kristus, harus memberi gurunya bahagian sepatutnya daripada semua yang baik yang dimilikinya. Janganlah tipu diri sendiri. Tidak seorang pun dapat memperbodohkan Allah. Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya. Jika seorang menanam menurut tabiat manusianya, dia akan menuai kematian. Tetapi jika dia menanam menurut pimpinan Roh Allah, dia akan menuai hidup sejati dan kekal daripada Roh Allah. Oleh itu, janganlah kita jemu melakukan perkara-perkara baik. Jika kita tidak berhenti-henti berbuat demikian, kelak kita akan menuai hasilnya. Oleh itu, selama kita berpeluang, kita patut berbuat baik kepada semua orang, terutama sekali kepada saudara-saudara kita yang seiman.
GALATIA 6:2-10 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Tanggong mŭnanggong kamu akan tanggongan sa’orang dŭngan sa’orang, maka dŭngan hal yang dŭmkianlah kamu kŭlak mŭnggŭnapi hukum Almasih. Kŭrna jikalau sa’orang mŭnyangkakan dirinya tŭlah mŭnjadi apa apa, apabila tiada apa apa, nŭschaya iya mŭnipu dirinya. Tŭtapi handaklah masing masing orang mŭmreksai pŭrbuatannya sŭndiri, maka kumdian kŭlak bulihlah iya mŭndapat kasukaan bagie dirinya sŭndiri sahja, bukannya bagie orang lain. Kŭrna masing masing orang patutlah kŭlak mŭnanggong tanggongannya sŭndiri. Biarlah orang itu yang diajarkan pŭrkataan Allah itu, mŭmbahgikan sagala pŭrkara yang baik kapada orang yang mŭngajar itu. Janganlah kamu tŭrtipu, bahwa Allah tiada bulih dipŭrdayakan; kŭrna barang apa yang ditanami ulih sa’orang, maka itu juga akan dituwienya. Kŭrna barang siapa yang tŭlah mŭnanam bagie hawa nafsunya, maka deripada hawa nafsu juga iya akan mŭnuwie kabinasaan; akan tŭtapi barang siapa yang mŭnanam bagie Roh Allah, maka deripada Roh itu juga iya akan mŭnuwie slamat yang kŭkal. Maka jaganlah kita mŭnjadi pŭnat dalam pŭkŭrjaan yang baik: kŭrna pada masa yang patut kamu akan mŭnuwie, jikalau kamu tiada lŭlah. Sŭbab itu apabila kami mŭndapat kutika yang baik biarlah kami bŭrbuat baik kapada sagala manusia, tŭrutamalah kapada orang yang deripada isi rumah iman.
GALATIA 6:2-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Tanggung-menanggunglah beban satu sama lain, dan dengan demikian laksanakan hukum Kristus. Jika seseorang menyangka dirinya mempunyai kelebihan sedangkan dia sebenarnya tidak mempunyainya, maka dia menipu dirinya sendiri. Setiap orang harus menguji kerjanya sendiri, supaya dia dapat bermegah atas apa yang ada pada dirinya sahaja, bukan berbanding dengan apa yang ada pada orang lain. Sebabnya setiap orang akan menanggung bebannya sendiri. Orang yang diajari firman hendaklah berkongsi segala yang baik dengan pengajarnya. Janganlah tertipu: Allah tidak dapat dipermainkan, kerana apa yang disemai oleh seseorang, itulah yang akan dituainya. Orang yang menyemai bagi hawa nafsu manusia akan menuai kebinasaan daripadanya; manakala orang yang menyemai bagi Roh akan menuai hidup yang kekal. Janganlah kita jemu berbuat baik, kerana pada musimnya nanti kita akan menuai jika kita tidak berputus asa. Oleh itu, apabila ada peluang, kita haruslah berbuat baik kepada semua orang, lebih-lebih lagi saudara-saudara kita yang seiman.