GALATIA 5:13-26

GALATIA 5:13-26 Alkitab Berita Baik (BM)

Saudara-saudaraku, kamu sudah dipanggil untuk menjadi orang bebas. Tetapi janganlah jadikan kebebasan itu alasan untuk membiarkan diri dikuasai oleh hawa nafsu. Sebaliknya, kamu harus saling mengasihi dan saling menolong, kerana segenap Taurat tersimpul dalam satu perintah ini: “Kasihilah sesamamu manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.” Tetapi jika kamu berlaku seperti binatang, saling mencedera dan menyakiti, berwaspadalah. Jika tidak, kamu akan membinasakan satu sama lain. Inilah maksudku: Biarlah Roh Allah memimpin hidup kamu dan janganlah hidup menurut keinginan tabiat manusia. Hal itu demikian, kerana keinginan manusia bertentangan dengan keinginan Roh Allah, dan keinginan Roh Allah bertentangan dengan keinginan manusia. Kedua-duanya saling bermusuhan sehingga kamu tidak dapat melakukan apa yang kamu inginkan. Tetapi jika Roh Allah memimpin kamu, kamu tidak dikuasai oleh Taurat. Keinginan tabiat manusia nyata dalam semua perbuatan cabul, lucah, dan tidak senonoh; dalam penyembahan berhala dan penggunaan ilmu sihir. Orang bermusuhan dan berkelahi; mereka cemburu, lekas marah, dan mementingkan diri sendiri. Mereka berpecah dan berpihak-pihak, mereka iri hati, suka mabuk, berpesta liar, dan sebagainya. Aku memperingatkan kamu sekarang sebagaimana aku telah memperingatkan kamu dahulu: Orang yang melakukan perbuatan-perbuatan itu tidak akan menikmati Pemerintahan Allah. Sebaliknya, inilah hasilnya jika orang dipimpin oleh Roh Allah: Mereka saling mengasihi, bersukacita, hidup rukun, sabar, berbudi, baik hati, setia, rendah hati, dan dapat mengawal diri. Tidak ada hukum yang melarang perkara-perkara seperti itu. Demikianlah, orang yang menjadi milik Kristus Yesus sudah mematikan tabiat manusia dengan segala nafsu dan keinginannya. Roh Allah telah memberikan hidup baru kepada kita; oleh itu Dia juga harus menguasai hidup kita. Kita tidak boleh menjadi sombong atau saling menyakiti hati, ataupun iri hati terhadap satu sama lain.

GALATIA 5:13-26 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Kŭrna, hie saudara saudara, kamu ini tŭlah dijŭmpot dalam hal kabibasan; maka jaganlah kamu mŭmakie kabibasan itu, akan mŭnurotkan hawa nafsu, mŭlainkan dŭngan kasihlah kamu bŭrlaku sa’orang dŭngan sa’orang. Kŭrna sagala hukum tauret itu, tŭlah tŭrhimpon dalam sa’patah kata juga, iya itu dŭmkian ini; Handaklah angkau mŭngasihi samamu manusia itu spŭrti dirimu sŭndiri. Tŭtapi jikalau kamu mŭngigit, atau mŭmakan sa’orang akan sa’orang, maka ingatlah kamu supaya jangan kŭlak kamu hangus kaduanya. Maka inilah pŭrkataanku, Bahwa handaklah kamu mŭnurot jalan Roh, maka tiadalah kŭlak kamu bŭrbuat kainginnan hawa nafsu itu. Kŭrna hawa nafsu itu ingin handak mŭlawan Roh, dan Roh itupun mŭlawan hawa nafsu itu: maka kaduanya itu bŭrlawan lawanan adanya: sahingga tiadalah dapat kamu mŭngadakan barang yang kamu kahandaki itu. Tŭtapi jikalau kamu kŭlak dipimpin ulih Roh, nŭschaya kamu tiadalah dibawah hukum tauret, Skarang adapun sagala pŭkŭrjaan hawa nafsu itu nyatalah, iya itu dŭmkian, bŭrzinah, dan bŭrsundalan, dan kachŭmaran, dan pŭrchabolan; Mŭnyŭmbah bŭrhala, dan hubatan, dan pŭrsŭtruan, dan pŭrbantahan, dan iri hati, dan pŭrkŭliehan, dan pŭrchŭdraan, dan salah fikiran dalam agama; Dan kadŭngkian, dan bunoh, dan mabok, dan pŭrlentean, dan barang sŭbagienya; maka deri hal pŭrkara itulah aku tŭlah bŭrkata pada kamu dahulu, spŭrti yang tŭlah kukatakan pada masa yang tŭlah lalu, bahwa marika itu yang bŭrbuat pŭrkara pŭrkara yang tŭrsŭbut itu, maka iya itu tiada kŭlak akan mŭmpusakai krajaan Allah. Tŭtapi buah buahan Roh itu, iya itu kasih, dan kasukaan, dan pŭrdamiean, dan panjang hati, dan lŭmah lŭmbut, dan kabajikan, dan sŭtia, Dan karŭndahan hati, dan mŭnahan nafsu; bahwa tiadalah hukum yang mŭlawan akan pŭrkara yang dŭmkian. Tŭtapi sagala orang yang milik Almasih itu tŭlah mŭnsalibkan hawa nafsunya itu, sŭrta dŭngan chita chita dan kainginannya pun. Maka jikalau kiranya kami hidop ulih Roh, maka biarlah kiranya kami mŭnurot jalan Roh. Maka janganlah kami ini mŭnghandaki hormat yang sia sia, mŭnyakitkan hati sa’orang akan sa’orang, dan bŭrdŭngki sa’orang akan sa’orang.

GALATIA 5:13-26 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kerana kamu, saudara-saudara, telah dipanggil untuk mendapat kebebasan. Cuma, janganlah gunakan kebebasan sebagai kesempatan memuaskan hawa nafsu; tetapi berkhidmatlah untuk satu sama lain dengan kasih. Kerana seluruh hukum Taurat terlaksana dalam satu ayat: “Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri.” Tetapi jika kamu gigit-menggigit dan makan-memakan sesama sendiri, berhati-hatilah, jangan sampai kamu saling membinasakan. Aku berkata, melangkahlah menurut Roh, maka kamu tidak akan memuaskan keinginan sifat tabii. Kerana keinginan tabii manusia menentang Roh, dan Roh menentang keinginan tabii manusia. Kedua-duanya berlawanan, supaya kamu tidak melakukan apa yang hendak kamu lakukan. Tetapi jika kamu dipimpin oleh Roh, kamu tidaklah di bawah hukum Taurat. Kelakuan tabii manusia adalah nyata: perbuatan cabul, kecemaran dan kelucahan; menyembah berhala dan sihir; kebencian, perbalahan, hasad dengki, letusan kemarahan, cita-cita untuk kebesaran diri, perselisihan, berpuak-puak dan iri hati; kemabukan, berpesta keterlaluan, dan sebagainya. Tentang ini aku berkata kepadamu, sebagaimana sudah kukatakan kepadamu dahulu, bahawa orang yang mengamalkan perkara-perkara demikian tidak akan mewarisi kerajaan Allah. Sebaliknya, buah Roh ialah kasih, sukacita, damai sejahtera, kesabaran, kemurahan, kebaikan, kesetiaan, lemah lembut dan penguasaan diri. Tiada hukum yang menentang segala ini. Mereka yang menjadi milik Kristus Yesus telah menyalib tabii manusia berserta hawa nafsu dan keinginannya. Jika kita hidup dalam Roh, marilah kita berbuat segalanya dalam Roh juga. Janganlah kita menjadi bongkak, saling menyakitkan hati, dan berdengki-dengkian sama sendiri.

GALATIA 5:13-26

GALATIA 5:13-26 BMGALATIA 5:13-26 BMGALATIA 5:13-26 BMGALATIA 5:13-26 BMGALATIA 5:13-26 BMGALATIA 5:13-26 BMGALATIA 5:13-26 BM

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami