EZRA 7:6-11,27-28
EZRA 7:6-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Ezra seorang yang terpelajar dan sangat mahir dalam Taurat yang diberikan oleh TUHAN, Allah Israel, kepada Musa. Raja memberikan apa sahaja yang diminta oleh Ezra kerana Ezra diberkati TUHAN, Allahnya. Pada tahun ketujuh pemerintahan Raja Artahsasta, Ezra berangkat dari negeri Babilonia ke Yerusalem bersama-sama sekumpulan orang Israel, termasuk beberapa orang imam, orang Lewi, penyanyi, serta pengawal pintu Rumah TUHAN, dan para pekerja. Mereka meninggalkan negeri Babilonia pada hari pertama bulan pertama, dan dengan pertolongan Allah, mereka tiba di Yerusalem pada hari pertama bulan kelima. Ezra telah mengabdikan hidupnya untuk mengkaji Taurat TUHAN, melakukannya serta mengajarkan segala ketetapan dan hukumnya kepada bangsa Israel. Raja Artahsasta memberi Ezra, imam dan pakar Taurat itu, dokumen berikut
EZRA 7:27-28 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian Ezra berkata, “Pujilah TUHAN, Allah nenek moyang kita! Dia telah menggerakkan hati raja sehingga baginda memberikan perhatian khas pada Rumah TUHAN di Yerusalem. Dengan pertolongan Allah, aku disukai oleh raja, para penasihatnya, serta semua pegawai tingginya. TUHAN Allahku telah memberikan keberanian kepadaku sehingga aku dapat mengajak banyak pemimpin puak Israel pulang ke Yerusalem bersama dengan aku.”
EZRA 7:6-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ezra berangkat pulang dari Babel. Dia seorang ahli Kitab Suci, mahir dalam Kitab Suci Taurat yang diberikan TUHAN, Allah Israel, melalui Musa. Segala permintaannya diluluskan oleh raja kerana tangan TUHAN, Allahnya, menaunginya. Pada tahun ketujuh zaman pemerintahan Raja Artahsasta, serombongan orang daripada orang Israel, imam dan bani Lewi, penyanyi, penjaga pintu gerbang, serta hamba Bait Allah juga berangkat pulang menuju Yerusalem. Ezra tiba di Yerusalem pada bulan kelima dalam tahun ketujuh zaman pemerintahan raja itu. Pada hari pertama bulan pertama itu dia memulakan perjalanannya dari Babel, dan pada hari pertama pada bulan kelima sampailah dia di Yerusalem, kerana tangan Allahnya yang baik menaunginya. Ezra memang telah menetapkan hatinya untuk mengkaji hukum TUHAN, mengamalkannya, dan mengajarkan ketetapan serta peraturan kepada orang Israel. Inilah salinan surat yang diberikan Raja Artahsasta kepada Imam Ezra, ahli Kitab Suci Taurat, ahli dalam hal ehwal perintah dan ketetapan TUHAN bagi orang Israel.
Ezra 7:27-28 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Segala puji bagi TUHAN, Allah nenek moyang kita, yang telah meletakkan hal seperti ini dalam hati raja sehingga dia mahu mengembalikan keindahan Bait TUHAN di Yerusalem, dan yang telah memanjangkan ihsan kepadaku di hadapan raja, para penasihatnya, dan semua pembesar raja yang berkuasa! Maka aku pun menguatkan hati, lantaran tangan TUHAN, Allahku, menaungi aku. Lalu kukumpulkan beberapa orang pemimpin daripada kalangan orang Israel untuk berangkat pulang bersama-samaku.