EZRA 3:8-13

EZRA 3:8-13 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada bulan kedua, dalam tahun kedua selepas orang Israel kembali ke Yerusalem, mereka mulai membina semula Rumah TUHAN. Zerubabel, Yesua dan orang sebangsa mereka, para imam dan orang Lewi, pendek kata, semua orang bekas buangan, ikut bekerja. Semua orang Lewi yang berusia 20 tahun ke atas ditugaskan untuk mengawasi pembinaan Rumah TUHAN. Yesua, orang Lewi itu, bersama dengan anak-anak serta sanak saudaranya, dan juga Kadmiel serta anak-anaknya (puak Hodawya) turut mengawasi pekerjaan pembinaan Rumah TUHAN. Mereka dibantu oleh orang Lewi daripada puak Henadad. Apabila pekerja-pekerja pembinaan mula meletakkan asas Rumah TUHAN, para imam yang berpakaian jubah dan membawa trompet mengambil tempat masing-masing. Orang Lewi daripada puak Asaf juga berdiri di sana sambil membawa ceracap. Mereka memuji-muji TUHAN menurut peraturan yang ditetapkan sejak zaman Raja Daud. Mereka menyanyikan puji-pujian bagi TUHAN, dan mengulang-ulangi bahagian nyanyian yang terakhir, yang berbunyi demikian: “TUHAN itu baik, dan kasih-Nya kepada Israel kekal abadi.” Rakyat ikut bersorak dan memuji TUHAN kerana asas Rumah TUHAN telah diletakkan. Banyak antara imam, orang Lewi dan ketua puak yang telah lanjut usia pernah melihat Rumah TUHAN yang dahulu. Apabila mereka melihat asas Rumah TUHAN yang ini diletakkan, mereka menangis dengan kuat. Tetapi orang lain yang hadir di sana bersorak-sorak kerana sukacita. Oleh sebab itu suara sorakan sukacita tidak dapat dibezakan daripada suara tangisan; keriuhannya terdengar sampai jauh.

EZRA 3:8-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada tahun kedua setelah mereka sampai di Rumah Allah di Yerusalem, tepatnya dalam bulan kedua, Zerubabel anak Sealtiel dan Yesua anak Yozadak berserta saudara-saudara mereka yang selebihnya, iaitu imam, bani Lewi, dan semua orang yang pulang dari tempat penawanan ke Yerusalem, memulai pekerjaan itu. Mereka menugaskan bani Lewi yang berumur dua puluh tahun ke atas untuk mengawasi pekerjaan di Bait TUHAN. Yesua dengan anak-anak dan saudara-saudaranya, juga Kadmiel dengan anak-anaknya, juga anak-anak Yehuda, mengawasi mereka yang melaksanakan pekerjaan di Rumah Allah. Demikian jugalah bani Henadad dengan anak-anak dan saudara-saudara mereka, iaitu bani Lewi. Ketika jurubina meletakkan asas Bait Suci TUHAN, tampillah para imam dengan pakaian istiadat mereka sambil membawa nafiri, manakala bani Lewi daripada bani Asaf pula membawa gembereng dengan tujuan untuk memuji TUHAN menurut petunjuk Daud, raja Israel. Kemudian mereka menyanyi secara berbalas-balasan sambil memuji dan mengucap syukur kepada TUHAN: “Kerana Dia baik, kasih-Nya kekal selama-lamanya terhadap Israel.” Seluruh rakyat bersorak-sorai dengan suara yang nyaring sambil memuji TUHAN, kerana asas Bait TUHAN telah diletakkan. Akan tetapi, antara imam, bani Lewi, dan ketua kaum keluarga, iaitu tua-tua yang pernah melihat bait terdahulu, banyak yang menangis dengan suara nyaring ketika peletakan asas itu dilaksanakan di hadapan mata mereka. Ada ramai orang pula yang bersorak-sorai dengan suara nyaring kerana gembira. Orang tidak dapat membezakan lagi antara bunyi sorak-sorai kegembiraan dengan bunyi tangisan umat, kerana umat bersorak dengan suara nyaring sehingga bunyinya kedengaran sampai di tempat yang jauh.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami