EZRA 3:10-13 - Compare All Versions

EZRA 3:10-13 BM (Alkitab Berita Baik)

Apabila pekerja-pekerja pembinaan mula meletakkan asas Rumah TUHAN, para imam yang berpakaian jubah dan membawa trompet mengambil tempat masing-masing. Orang Lewi daripada puak Asaf juga berdiri di sana sambil membawa ceracap. Mereka memuji-muji TUHAN menurut peraturan yang ditetapkan sejak zaman Raja Daud. Mereka menyanyikan puji-pujian bagi TUHAN, dan mengulang-ulangi bahagian nyanyian yang terakhir, yang berbunyi demikian: “TUHAN itu baik, dan kasih-Nya kepada Israel kekal abadi.” Rakyat ikut bersorak dan memuji TUHAN kerana asas Rumah TUHAN telah diletakkan. Banyak antara imam, orang Lewi dan ketua puak yang telah lanjut usia pernah melihat Rumah TUHAN yang dahulu. Apabila mereka melihat asas Rumah TUHAN yang ini diletakkan, mereka menangis dengan kuat. Tetapi orang lain yang hadir di sana bersorak-sorak kerana sukacita. Oleh sebab itu suara sorakan sukacita tidak dapat dibezakan daripada suara tangisan; keriuhannya terdengar sampai jauh.

Kongsi
EZRA 3 BM

EZRA 3:10-13 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Ketika jurubina meletakkan asas Bait Suci TUHAN, tampillah para imam dengan pakaian istiadat mereka sambil membawa nafiri, manakala bani Lewi daripada bani Asaf pula membawa gembereng dengan tujuan untuk memuji TUHAN menurut petunjuk Daud, raja Israel. Kemudian mereka menyanyi secara berbalas-balasan sambil memuji dan mengucap syukur kepada TUHAN: “Kerana Dia baik, kasih-Nya kekal selama-lamanya terhadap Israel.” Seluruh rakyat bersorak-sorai dengan suara yang nyaring sambil memuji TUHAN, kerana asas Bait TUHAN telah diletakkan. Akan tetapi, antara imam, bani Lewi, dan ketua kaum keluarga, iaitu tua-tua yang pernah melihat bait terdahulu, banyak yang menangis dengan suara nyaring ketika peletakan asas itu dilaksanakan di hadapan mata mereka. Ada ramai orang pula yang bersorak-sorai dengan suara nyaring kerana gembira. Orang tidak dapat membezakan lagi antara bunyi sorak-sorai kegembiraan dengan bunyi tangisan umat, kerana umat bersorak dengan suara nyaring sehingga bunyinya kedengaran sampai di tempat yang jauh.