EZRA 3:1,4-6,9-11
EZRA 3:1 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada bulan ketujuh, umat Israel telah menetap di kota masing-masing. Kemudian mereka semua berkumpul di Yerusalem.
EZRA 3:4-6 Alkitab Berita Baik (BM)
Mereka juga merayakan Perayaan Pondok Daun menurut peraturan yang ditetapkan; tiap-tiap hari mereka mempersembahkan korban yang ditetapkan untuk hari itu. Selain itu, dengan teratur mereka mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN serta korban yang dipersembahkan pada Perayaan Bulan Baru, dan pada semua perayaan lain yang diadakan untuk menyembah TUHAN. Mereka juga mempersembahkan persembahan sukarela kepada TUHAN. Walaupun rakyat belum memulakan pembinaan semula Rumah TUHAN, mereka telah mulai membakar korban untuk TUHAN pada hari pertama bulan ketujuh.
EZRA 3:9-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Yesua, orang Lewi itu, bersama dengan anak-anak serta sanak saudaranya, dan juga Kadmiel serta anak-anaknya (puak Hodawya) turut mengawasi pekerjaan pembinaan Rumah TUHAN. Mereka dibantu oleh orang Lewi daripada puak Henadad. Apabila pekerja-pekerja pembinaan mula meletakkan asas Rumah TUHAN, para imam yang berpakaian jubah dan membawa trompet mengambil tempat masing-masing. Orang Lewi daripada puak Asaf juga berdiri di sana sambil membawa ceracap. Mereka memuji-muji TUHAN menurut peraturan yang ditetapkan sejak zaman Raja Daud. Mereka menyanyikan puji-pujian bagi TUHAN, dan mengulang-ulangi bahagian nyanyian yang terakhir, yang berbunyi demikian: “TUHAN itu baik, dan kasih-Nya kepada Israel kekal abadi.” Rakyat ikut bersorak dan memuji TUHAN kerana asas Rumah TUHAN telah diletakkan.
EZRA 3:1 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dengan ketibaan bulan ketujuh, berkumpullah orang Israel yang menetap di kota-kota sebagai umat yang bersatu di Yerusalem.
Ezra 3:4-6 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Mereka juga menyambut Perayaan Pondok Daun, sebagaimana yang tertulis, dan mempersembahkan korban bakaran harian menurut jumlah yang ditetapkan dalam peraturan bagi setiap harinya. Setelah itu, mereka mempersembahkan korban bakaran yang tetap, korban pada Bulan Baru, korban pada setiap perayaan yang suci bagi TUHAN, dan korban daripada setiap orang yang memberikan persembahan sukarela kepada TUHAN. Sejak hari pertama pada bulan ketujuh, mereka mula mempersembahkan korban bakaran kepada TUHAN. Namun begitu, asas Bait Suci TUHAN masih belum diletakkan.
Ezra 3:9-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yesua dengan anak-anak dan saudara-saudaranya, juga Kadmiel dengan anak-anaknya, juga anak-anak Yehuda, mengawasi mereka yang melaksanakan pekerjaan di Rumah Allah. Demikian jugalah bani Henadad dengan anak-anak dan saudara-saudara mereka, iaitu bani Lewi. Ketika jurubina meletakkan asas Bait Suci TUHAN, tampillah para imam dengan pakaian istiadat mereka sambil membawa nafiri, manakala bani Lewi daripada bani Asaf pula membawa gembereng dengan tujuan untuk memuji TUHAN menurut petunjuk Daud, raja Israel. Kemudian mereka menyanyi secara berbalas-balasan sambil memuji dan mengucap syukur kepada TUHAN: “Kerana Dia baik, kasih-Nya kekal selama-lamanya terhadap Israel.” Seluruh rakyat bersorak-sorai dengan suara yang nyaring sambil memuji TUHAN, kerana asas Bait TUHAN telah diletakkan.