YEHEZKIEL 33:30-33
YEHEZKIEL 33:30-33 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN berfirman, “Hai manusia fana, bangsamu mempercakapkan engkau ketika mereka bertemu dekat tembok kota atau di depan pintu rumah mereka. Mereka berkata sesama sendiri, ‘Marilah kita dengarkan apa firman TUHAN hari ini.’ Maka mereka semua datang berkumpul dan sebagai umat-Ku mereka mendengar engkau, tetapi mereka tidak melakukan apa yang engkau suruh. Mereka mengucapkan kata-kata manis, tetapi hati mereka hanya memikirkan keuntungan. Mereka menganggap engkau seorang penyanyi lagu cinta yang bersuara merdu dan pandai bermain kecapi. Mereka mendengar segala kata-katamu, tetapi tidak mentaatinya. Tetapi apabila kata-katamu menjadi kenyataan kelak - dan tentu semuanya akan menjadi kenyataan - barulah mereka tahu bahawa seorang nabi pernah ada di kalangan mereka.”
YEHEZKIEL 33:30-33 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Mengenai engkau, wahai anak manusia, orang sebangsa denganmu berbicara tentang engkau berdekatan dengan tembok dan di pintu-pintu rumah. Kata mereka satu sama lain, masing-masing kepada temannya, ‘Mari kita dengar firman yang akan disampaikan TUHAN.’ Mereka pun datang kepadamu berduyun-duyun lalu duduk di hadapanmu sebagai umat-Ku. Mereka mendengar perkataanmu, tetapi tidak melakukannya. Dengan mulut mereka menyatakan kasih, tetapi hati mereka mengejar laba haram. Sesungguhnya, bagi mereka engkau seperti orang yang menyanyikan lagu cinta dengan suara merdu dan orang yang bermain kecapi dengan baik, kerana mereka mendengar perkataanmu tetapi tidak melakukannya. Pada waktu semua itu terjadi — ya, pasti terjadi — mereka akan tahu bahawa ada seorang nabi di tengah-tengah mereka.”