YEHEZKIEL 20:1-49
YEHEZKIEL 20:1-49 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada hari kesepuluh, bulan kelima, dalam tahun ketujuh masa kami dalam buangan, beberapa orang pemimpin masyarakat Israel datang bertanya kepadaku tentang kehendak TUHAN. Mereka duduk di hadapanku. Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, berkatalah kepada pemimpin-pemimpin ini. Beritahulah mereka bahawa Aku, TUHAN Raja berfirman begini: Kamu datang hendak menanyakan kehendak-Ku, bukan? Demi Aku, Allah yang hidup, Aku tidak akan membenarkan kamu menanyakan apa-apa pun. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman. Hai manusia fana, adakah engkau bersedia menjatuhkan hukuman kepada mereka? Kalau engkau sedia melakukan hal itu, ingatkanlah mereka tentang segala perbuatan jijik yang dilakukan oleh nenek moyang mereka. Sampaikanlah firman-Ku kepada mereka. Ketika Aku memilih Israel, Aku membuat perjanjian dengan mereka. Aku menyatakan diri-Ku kepada mereka di Mesir dan memberitahu mereka, ‘Akulah TUHAN, Allah kamu.’ Ketika itulah Aku berjanji akan membawa mereka keluar dari Mesir, dan memimpin mereka ke tanah yang telah Kupilih untuk mereka, tanah yang kaya dan subur, dan terbaik. Aku menyuruh mereka membuang berhala yang menjijikkan, yang disukai mereka, dan melarang mereka menajiskan diri dengan menyembah berhala orang Mesir, kerana Akulah TUHAN, Allah mereka. Tetapi mereka melawan Aku dan tidak mahu mendengar firman-Ku. Mereka tidak membuang berhala-berhala yang menjijikkan itu, ataupun berhenti menyembah berhala orang Mesir. Pada waktu mereka masih di Mesir, Aku telah bersedia untuk membiarkan mereka merasakan segala kedahsyatan kemurkaan-Ku. Tetapi Aku tidak berbuat demikian, kerana hal itu akan menyebabkan nama-Ku dihina. Di hadapan penduduk Mesir, Aku telah mengumumkan kepada umat Israel bahawa Aku akan memimpin mereka keluar dari Mesir. Maka Aku membawa mereka keluar dari Mesir ke padang gurun. Aku memberi mereka perintah-Ku dan mengajar mereka hukum-Ku, yang memberikan hidup kepada sesiapa yang mentaatinya. Aku menyuruh mereka menghormati hari Sabat sebagai tanda perjanjian antara Aku dengan mereka, untuk mengingatkan mereka bahawa Aku, TUHAN telah mengkhususkan mereka untuk-Ku. Tetapi di padang gurun itu pun mereka melawan Aku. Mereka melanggar hukum-Ku dan menolak perintah-Ku, yang memberikan hidup kepada sesiapa yang mentaatinya. Mereka sama sekali mencemarkan hari Sabat. Aku telah bersedia untuk membiarkan mereka merasakan segala kedahsyatan kemurkaan-Ku di padang gurun itu dan Aku hendak membinasakan mereka. Tetapi Aku tidak berbuat demikian kerana hal itu akan menyebabkan nama-Ku dihina antara bangsa-bangsa yang telah melihat Aku memimpin umat Israel keluar dari Mesir. Oleh itu di padang gurun itu Aku berjanji tidak akan membenarkan mereka pergi ke tanah yang telah Aku berikan kepada mereka, tanah yang kaya dan subur, dan terbaik. Aku berbuat demikian kerana mereka telah menolak perintah-Ku, melanggar hukum-Ku, dan mencemarkan hari Sabat. Mereka lebih suka menyembah berhala-berhala mereka. Tetapi kemudian Aku mengasihani mereka. Aku tidak membunuh mereka di padang gurun itu. Sebaliknya Aku memberikan amaran kepada kaum muda: Jangan patuh kepada hukum nenek moyang kamu; jangan ikut adat resam mereka, dan jangan najiskan diri dengan menyembah berhala-berhala mereka. Aku TUHAN, Allah kamu. Taatilah hukum dan perintah-Ku. Rayakanlah hari Sabat sebagai tanda perjanjian antara Aku dengan kamu, untuk mengingatkan kamu bahawa Akulah TUHAN, Allah kamu. Tetapi generasi kaum muda itu pun melawan Aku. Mereka melanggar hukum-Ku dan mengabaikan perintah-Ku yang memberikan hidup kepada sesiapa yang mentaatinya. Mereka mencemarkan hari Sabat. Aku telah bersedia untuk membiarkan mereka merasakan segala kedahsyatan kemurkaan-Ku di padang gurun itu dan Aku hendak membunuh mereka semua. Tetapi Aku tidak berbuat demikian, kerana hal itu akan menyebabkan nama-Ku dihina antara bangsa-bangsa yang telah melihat Aku membawa umat Israel keluar dari Mesir. Oleh itu Aku berjanji lagi di padang gurun itu. Aku bersumpah bahawa Aku akan mencerai-beraikan mereka ke seluruh dunia. Aku berbuat demikian kerana mereka telah menolak perintah-Ku, melanggar hukum-Ku, mencemarkan hari Sabat, dan menyembah berhala-berhala yang dipuja oleh nenek moyang mereka. Kemudian Aku memberi mereka hukum yang tidak baik dan perintah yang tidak dapat memberikan hidup. Aku membiarkan mereka menajiskan diri dengan persembahan mereka sendiri. Aku membiarkan mereka mempersembahkan anak lelaki sulung mereka sebagai korban. Hal itu berlaku untuk menghukum mereka supaya mereka tahu bahawa Akulah TUHAN. Sekarang, hai manusia fana, sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada mereka. Nenek moyang mereka menghina Aku lagi dengan ketidaksetiaan mereka. Aku membawa mereka ke tanah yang Aku janjikan, tetapi apabila mereka nampak bukit yang tinggi-tinggi dan pokok hijau, mereka mempersembahkan korban di tempat-tempat itu. Mereka membangkitkan kemurkaan-Ku dengan korban yang dibakar dan wain yang dipersembahkan mereka. Aku bertanya: Apakah tempat-tempat tinggi yang kamu kunjungi itu? Sejak itu tempat itu dinamakan ‘Tempat-tempat tinggi’. Oleh itu sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada umat Israel: Mengapakah kamu mesti berdosa seperti nenek moyang kamu, dan mengejar berhala-berhala mereka? Bahkan sampai hari ini pun kamu memberikan persembahan yang sama, dan menajiskan diri dengan membakar anak-anak kamu sebagai korban kepada berhala-berhala. Kemudian kamu, hai umat Israel, datang pula untuk menanyakan kehendak-Ku! Demi Aku, Allah yang hidup, TUHAN Raja, Aku tidak akan membenarkan kamu menanyakan apa-apa pun. Kamu bertekad menjadi seperti bangsa-bangsa lain, seperti orang yang tinggal di negeri-negeri lain dan yang menyembah pokok dan batu. Hal itu pasti tidak akan berlaku.” “Demi Aku, TUHAN Raja, Allah yang hidup, Aku memberikan amaran kepada kamu bahawa kerana kemurkaan-Ku, Aku akan memerintah kamu dengan keras dan tegas. Kamu akan merasakan kuasa dan kemurkaan-Ku apabila Aku mengumpulkan dan membawa kamu kembali dari negeri-negeri tempat kamu tercerai-cerai. Aku akan membawa kamu ke ‘Gurun Bangsa-Bangsa’. Di sana Aku akan menghakimi kamu berhadapan muka. Aku akan menghakimi kamu seperti Aku menghakimi nenek moyang kamu di padang gurun Sinai dahulu.” Demikianlah firman TUHAN Raja. “Aku akan bertindak tegas terhadap kamu supaya kamu mentaati perjanjian-Ku. Aku akan menyingkirkan orang yang memberontak dan berdosa di kalangan kamu. Aku akan membawa mereka keluar dari negeri-negeri tempat mereka tinggal sekarang, dan Aku tidak akan mengizinkan mereka kembali ke negeri Israel. Barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN.” TUHAN Raja berfirman, “Sekarang hai umat Israel, buatlah sesuka hati kamu! Sembahlah berhala kamu! Tetapi Aku memberi kamu amaran bahawa, selepas itu kamu mesti mentaati Aku, dan tidak lagi mencemarkan nama-Ku yang suci dengan membawa persembahan kepada berhala kamu. Di tanah Israel, di puncak bukit-Ku yang suci, kamu semua, umat Israel akan menyembah Aku. Aku akan berkenan kepada kamu, dan menerima persembahan korban, persembahan yang terbaik, dan pemberian yang suci daripada kamu. Setelah Aku membawa kamu keluar dari negeri-negeri tempat kamu tercerai-cerai, Aku akan mengumpulkan kamu dan menerima korban yang kamu bakar. Maka semua bangsa akan melihat bahawa Aku ini suci. Apabila Aku membawa kamu pulang ke negeri Israel, tanah yang Aku janjikan kepada nenek moyang kamu, barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN. Kamu akan teringat segala perbuatan yang memalukan dan yang telah menajiskan diri kamu. Kamu akan berasa muak terhadap diri kamu sendiri kerana segala kejahatan yang kamu lakukan itu. Apabila Aku bertindak untuk menjaga kehormatan nama-Ku, kamu umat Israel akan tahu bahawa Akulah TUHAN, kerana Aku tidak memperlakukan kamu setimpal dengan perbuatan kamu yang kejam dan jahat.” TUHAN Raja telah berfirman. TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, lihatlah ke arah selatan. Kecamlah tanah selatan dan bernubuatlah menentang hutan di sana. Suruhlah hutan di selatan itu mendengarkan apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan: Aku akan menyalakan api yang membakar setiap pokok di hutan itu, baik yang hijau mahupun yang kering. Api yang menyala-nyala itu tidak dapat dipadamkan tetapi akan merebak dari selatan ke utara, dan setiap orang akan merasa bahang api itu. Semua orang akan tahu bahawa Aku, TUHAN menyalakan api itu, dan api itu tidak dapat dipadamkannya.” Tetapi aku, Yehezkiel berkata, “TUHAN Raja, jangan paksa aku mengatakannya. Setiap orang sudah pun bersungut kerana aku selalu bercakap dengan menggunakan kiasan yang susah difahami.”
YEHEZKIEL 20:1-49 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada tahun ketujuh, tepatnya pada hari kesepuluh dalam bulan kelima, beberapa orang tua-tua Israel datang untuk mencari petunjuk TUHAN, lalu mereka duduk di hadapanku. Maka datanglah firman TUHAN kepadaku demikian, “Wahai anak manusia, berbicaralah dengan golongan tua-tua Israel dan katakan kepada mereka: Beginilah firman Tuhan ALLAH, ‘Adakah kamu datang untuk mencari petunjuk-Ku? Demi Aku yang hidup, Aku tidak sudi kamu mencari petunjuk-Ku, demikianlah firman Tuhan ALLAH.’ Mahukah engkau menghakimi mereka, wahai anak manusia, mahukah engkau menghakimi mereka? Beritahulah mereka tentang segala kekejian nenek moyang mereka dan katakan kepada mereka: Beginilah firman Tuhan ALLAH, ‘Pada waktu Aku memilih Israel, Aku bersumpah kepada keluarga Yakub dan menyatakan diri kepada mereka di Tanah Mesir. Demikianlah sumpah-Ku kepada mereka, “Akulah TUHAN, Allahmu.” Pada waktu itu pun Aku bersumpah kepada mereka bahawa Aku akan membawa mereka keluar dari Tanah Mesir ke tanah yang Kupilih bagi mereka, sebuah negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu, termulia antara semua negeri. Firman-Ku kepada mereka, “Setiap orang harus membuang berhala kejijikan yang dipujanya dan tidak boleh menajiskan diri dengan berhala-berhala Mesir. Akulah TUHAN, Allahmu.” Akan tetapi, mereka menderhaka dan tidak mahu mendengar Aku. Tiada seorang pun mahu membuang berhala kejijikan yang dipujanya atau meninggalkan berhala-berhala Mesir. Maka Aku berfirman bahawa Aku hendak mencurahkan amarah-Ku ke atas mereka dan melampiaskan murka-Ku kepada mereka di tengah-tengah Tanah Mesir. Namun demikian, demi nama-Ku, Aku tidak bertindak demikian supaya jangan nama itu dicemarkan di hadapan mata bangsa-bangsa tempat mereka berada. Di hadapan mata bangsa-bangsa itu dahulu Aku telah menyatakan diri kepada orang Israel dengan membawa mereka keluar dari Tanah Mesir. Aku menuntun mereka keluar dari Tanah Mesir dan membawa mereka ke gurun. Kuberikan ketetapan-ketetapan-Ku kepada mereka dan Kuberitahukan peraturan-peraturan-Ku kepada mereka, kerana orang yang melakukan semua itu akan hidup. Aku juga memberi mereka hari-hari Sabat-Ku sebagai suatu tanda antara Aku dengan mereka, supaya mereka tahu bahawa Akulah TUHAN, yang menyucikan mereka. Namun demikian, keturunan kaum Israel menderhaka terhadap Aku di gurun. Mereka tidak hidup menurut ketetapan-ketetapan-Ku dan menolak peraturan-peraturan-Ku, padahal orang yang melakukan semua itu akan hidup. Mereka pun sangat mencemari hari-hari Sabat-Ku. Maka Aku berfirman bahawa Aku hendak mencurahkan murka-Ku ke atas mereka di gurun serta menghancurkan mereka. Namun demikian, demi nama-Ku, Aku tidak bertindak demikian supaya jangan nama itu dicemarkan di hadapan mata bangsa-bangsa yang menyaksikan ketika Aku membawa mereka ke luar. Aku pun bersumpah kepada mereka di gurun bahawa Aku tidak akan membawa mereka masuk ke tanah yang telah Kukurniakan kepada mereka, sebuah negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu, termulia antara segala negeri, kerana mereka menolak peraturan-peraturan-Ku, tidak hidup menurut ketetapan-ketetapan-Ku, dan mencemari hari-hari Sabat-Ku. Hati mereka mengikuti berhala-berhala mereka. Meskipun demikian, Aku berasa hiba kepada mereka sehingga Aku tidak membinasakan mereka dan tidak mematikan mereka di gurun. Kepada anak-anak mereka di gurun Aku berfirman, “Jangan hidup menurut ketetapan-ketetapan nenek moyangmu, jangan memegang peraturan-peraturan mereka, dan jangan najiskan dirimu dengan berhala-berhala mereka. Akulah TUHAN, Allahmu. Hiduplah menurut ketetapan-ketetapan-Ku. Peganglah teguh peraturan-peraturan-Ku dan lakukanlah itu. Jagalah kesucian hari-hari Sabat-Ku. Hari-hari itu adalah tanda antara Aku dengan kamu, supaya kamu tahu bahawa Akulah TUHAN, Allahmu.” Akan tetapi, anak-anak mereka pun menderhaka terhadap Aku. Mereka tidak hidup menurut ketetapan-ketetapan-Ku dan tidak melakukan dengan setia peraturan-peraturan-Ku, padahal orang yang melakukan semua itu akan hidup. Mereka juga mencemari hari-hari Sabat-Ku. Maka Aku berfirman bahawa Aku hendak mencurahkan amarah-Ku ke atas mereka untuk melampiaskan murka-Ku kepada mereka di gurun. Namun demikian, demi nama-Ku, Aku menahan tangan-Ku dan tidak bertindak demikian supaya jangan nama itu dicemarkan di hadapan mata bangsa-bangsa yang menyaksikan ketika Aku membawa mereka ke luar. Aku juga bersumpah kepada mereka di gurun bahawa Aku akan mencerai-beraikan mereka di antara bangsa serta menyerakkan mereka di pelbagai negeri kerana mereka tidak melakukan peraturan-peraturan-Ku, menolak ketetapan-ketetapan-Ku, mencemari hari-hari Sabat-Ku, dan tetap memuja berhala-berhala nenek moyang mereka. Aku pun memberikan kepada mereka ketetapan-ketetapan yang tidak baik dan peraturan-peraturan yang tidak akan membuat mereka hidup. Aku membiarkan mereka menjadi najis sehubungan dengan persembahan-persembahan mereka, iaitu dengan membiarkan mereka mempersembahkan semua yang lahir pertama dari rahim sebagai korban yang dibakar, supaya Kubinasakan mereka. Dengan demikian mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN.’ Oleh sebab itu berbicaralah kepada keturunan kaum Israel, wahai anak manusia, dan katakan kepada mereka: Beginilah firman Tuhan ALLAH, ‘Dalam hal ini pun nenek moyangmu telah menghujah Aku, iaitu dengan berbuat mungkar terhadap Aku. Sesudah Aku membawa mereka masuk ke negeri yang Kusumpah untuk dikurniakan kepada mereka, mereka memandang setiap bukit yang tinggi juga setiap pokok yang rendang, lalu di sana mereka mempersembahkan korban sembelihan dan di sana mereka mempersembahkan persembahan yang membangkitkan murka-Ku. Di sana mereka membuat semerbak bauan persembahan yang harum, dan di sana mereka mencurahkan persembahan minuman. Firman-Ku kepada mereka, “Bukit pemujaan apa yang kamu datangi itu?” Maka namanya disebut Bukit Pengorbanan sampai hari ini.’ Oleh sebab itu katakanlah kepada keturunan kaum Israel: Beginilah firman Tuhan ALLAH, ‘Adakah kamu mahu menajiskan diri dengan perilaku nenek moyangmu dan berbuat kafir dengan mengikuti tuhan mereka yang menjijikkan? Sampai hari ini pun kamu menajiskan diri dengan segala berhalamu ketika kamu membawa persembahan-persembahanmu, iaitu ketika kamu mempersembahkan anak-anakmu sebagai korban yang dibakar. Masakan Aku sudi kamu mencari petunjuk-Ku, wahai keturunan kaum Israel? Demi Aku yang hidup, demikianlah firman Tuhan ALLAH, Aku tidak sudi kamu mencari petunjuk-Ku. Apa yang muncul dalam hatimu seperti yang kamu katakan, “Kami ingin menjadi seperti bangsa-bangsa lain, seperti kaum di pelbagai negeri, yang beribadat kepada kayu dan batu,” sama sekali tidak akan terjadi. Demi Aku yang hidup, demikianlah firman Tuhan ALLAH, sesungguhnya Aku akan memerintah kamu dengan tangan yang perkasa, dan lengan yang terhulur serta dengan murka yang tercurah. Akan Kubawa kamu keluar dari antara bangsa dan mengumpulkan kamu dari negeri-negeri tempat kamu dicerai-beraikan dengan tangan yang perkasa dan lengan yang terhulur, serta dengan murka yang tercurah. Aku akan membawa kamu ke gurun bangsa-bangsa dan di sana Aku akan menghakimi kamu berhadap-hadapan. Seperti Aku menghakimi nenek moyangmu di gurun Tanah Mesir, begitulah Aku akan menghakimi kamu, demikianlah firman Tuhan ALLAH. Aku akan membuat kamu berlalu di bawah tongkat gembala dan membawa kamu memasuki ikatan perjanjian. Aku akan membersihkan orang yang memberontak dan menderhaka terhadap Aku daripada kalangan kamu. Akan Kubawa mereka keluar dari negeri tempat mereka tinggal sebagai pendatang, tetapi mereka tidak akan masuk ke Tanah Israel. Maka kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN.’ Mengenai kamu, wahai keturunan kaum Israel, beginilah firman Tuhan ALLAH, ‘Pergilah beribadat kepada berhalamu masing-masing. Tetapi nanti, kamu pasti mendengar Aku dan tidak lagi mencemarkan nama-Ku yang suci dengan persembahan-persembahanmu dan berhala-berhala kamu. Sebabnya di atas gunung-Ku yang suci, iaitu di atas gunung Israel yang tinggi di tanah itu, demikianlah firman Tuhan ALLAH, di sanalah seluruh keturunan kaum Israel akan beribadat kepada-Ku. Di sana Aku akan menerima mereka, dan di sana pulalah Aku akan menuntut persembahan-persembahan khususmu serta pemberian hasil pertamamu dengan segala sesuatu yang telah kamu takdiskan. Aku akan menerima kamu seperti Aku menerima bauan persembahan yang harum ketika Aku membawa kamu keluar daripada bangsa-bangsa dan mengumpulkan kamu dari negeri-negeri tempat kamu dicerai-beraikan. Aku akan menyatakan kesucian-Ku kepadamu di hadapan mata bangsa-bangsa. Kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN pada waktu Aku membawa kamu masuk ke Tanah Israel, ke negeri yang Kusumpah untuk dikurniakan kepada nenek moyangmu. Di sana kamu akan teringat akan perilakumu dan segala perbuatanmu yang telah menjadikan kamu najis. Kamu akan muak kepada dirimu sendiri kerana segala kejahatan yang telah kamu lakukan. Kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN pada waktu Aku berbuat demikian terhadapmu demi nama-Ku, dan bukan menurut perilakumu yang jahat atau perbuatanmu yang merosakkan, wahai keturunan kaum Israel, demikianlah firman Tuhan ALLAH.’ ” Datanglah firman TUHAN kepadaku demikian, “Wahai anak manusia, hadapkanlah mukamu ke arah selatan dan bertuturlah menentang tanah selatan. Bernubuatlah menentang daerah hutan di Tanah Negeb, dan katakan kepada hutan di Tanah Negeb itu: Dengarlah firman TUHAN. Beginilah firman Tuhan ALLAH, ‘Ketahuilah, Aku akan menyalakan api yang akan melahap semua pokok di kawasanmu, baik yang segar mahupun yang kering. Nyala api itu tidak akan padam dan semua muka dari selatan sampai ke utara akan terbakar kepanasan olehnya. Setiap makhluk akan menyedari bahawa Aku, TUHAN, telah menyalakannya, dan api itu tidak akan padam.’ ” Lalu aku berkata, “Aduh, ya Tuhan ALLAH, mereka berkata tentang aku, ‘Bukankah dia hanya menyampaikan cerita ibarat?’ ”