YEHEZKIEL 2:4-10
YEHEZKIEL 2:4-10 Alkitab Berita Baik (BM)
Mereka degil dan tidak menghormati Aku. Oleh itu Aku mengutus engkau untuk menyampaikan apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada mereka. Sama ada pemberontak itu mendengar engkau atau tidak, mereka akan tahu bahawa ada nabi di kalangan mereka. Tetapi engkau, hai manusia fana, janganlah takut kepada mereka atau kepada apa-apa sahaja yang dikatakan mereka. Mereka akan mencabar dan menghina engkau. Engkau akan merasa seperti hidup di tengah-tengah kala jengking. Meskipun demikian, janganlah takut kepada pemberontak itu, atau kepada apa-apa sahaja yang dikatakan mereka. Sampaikanlah firman-Ku kepada mereka, sama ada mereka mendengar ataupun tidak. Ingatlah, mereka semuanya pemberontak. Hai manusia fana, dengarlah firman-Ku. Janganlah memberontak seperti mereka. Bukalah mulutmu dan makanlah apa yang Aku berikan ini.” Kemudian aku melihat tangan yang terhulur ke arahku. Tangan itu memegang sebuah gulungan naskhah. Lalu gulungan naskhah itu dibuka dan aku melihat tulisan pada kedua-dua belahnya - tulisan yang mengandungi ratapan, keluh-kesah, dan rintihan.
YEHEZKIEL 2:4-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Keturunan mereka yang sekarang pun tebal muka dan keras hati. Aku mengutus engkau kepada mereka dan engkau harus berkata kepada mereka, ‘Beginilah firman Tuhan ALLAH.’ Sama ada mereka mahu mendengar atau tidak — kerana mereka itu keturunan kaum yang derhaka — mereka akan tahu bahawa ada seorang nabi di tengah-tengah mereka. Engkau, wahai anak manusia, jangan takut kepada mereka dan kepada kata-kata mereka. Sekalipun duri dan onak ada di sekitarmu dan engkau tinggal antara kala jengking, jangan takut! Jangan takut mendengar perkataan mereka dan jangan kecut hati melihat muka mereka, kerana mereka ialah keturunan kaum yang derhaka. Sampaikanlah firman-Ku kepada mereka, sama ada mereka mahu mendengar atau tidak, kerana mereka itu derhaka. Engkau, wahai anak manusia, dengarlah apa yang Kufirmankan kepadamu. Jangan menjadi derhaka seperti keturunan kaum yang derhaka ini. Ngangakanlah mulutmu dan makanlah apa yang akan Kuberikan kepadamu.” Ketika kulihat, tampak ada tangan terhulur kepadaku dan tampak sebuah gulungan surat di tangan itu. Lalu Dia membentangkan gulungan yang ditulis sebelah-menyebelah itu di hadapanku. Di dalamnya tertulis nyanyian-nyanyian ratapan, keluhan, dan rintihan.