YEHEZKIEL 14:1-8
YEHEZKIEL 14:1-8 Alkitab Berita Baik (BM)
Beberapa orang pemimpin umat Israel datang bertanya kepadaku tentang kehendak TUHAN. Lalu TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, semua orang ini telah percaya kepada berhala sehingga mereka terjerumus ke dalam dosa. Adakah mereka menyangka bahawa Aku akan menjawab pertanyaan mereka? Beritahulah mereka bahawa Aku, TUHAN Raja berfirman, ‘Orang Israel yang percaya kepada berhala sehingga terjerumus ke dalam dosa, lalu datang pula meminta nasihat daripada seorang nabi, akan menerima jawapan daripada-Ku - jawapan yang setimpal dengan dosa mereka itu. Semua berhala itu telah menjauhkan umat Israel daripada-Ku, tetapi dengan jawapan-Ku itu Aku berharap memujuk mereka kembali kepada-Ku.’ Oleh itu beritahulah umat Israel bahawa Aku, TUHAN Raja berfirman, ‘Bertaubatlah, dan tinggalkanlah berhala kamu yang menjijikkan itu.’ Apabila seorang Israel atau seorang asing yang tinggal dalam masyarakat Israel, berpaling daripada-Ku lalu menyembah berhala, dan kemudian meminta nasihat daripada seorang nabi, Aku, TUHAN akan menjawabnya! Aku akan menentang dia, dan menjadikan dia sebagai amaran. Aku akan membuang dia daripada masyarakat umat-Ku, supaya kamu tahu bahawa Akulah TUHAN.
YEHEZKIEL 14:1-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada suatu waktu, beberapa orang tua-tua Israel datang lalu duduk di hadapanku. Kemudian datanglah firman TUHAN kepadaku demikian, “Wahai anak manusia, kalangan ini menjunjung berhala-berhala mereka dalam hati dan meletakkan kejahatan mereka sebagai batu sandungan di hadapan mereka. Masakan Aku sudi mereka mencari petunjuk-Ku? Oleh sebab itu berbicaralah dengan mereka dan katakan kepada mereka: Beginilah firman Tuhan ALLAH, ‘Setiap orang daripada keturunan kaum Israel yang menjunjung berhala-berhalanya dalam hatinya dan meletakkan kejahatannya sebagai batu sandungan di hadapannya lalu datang kepada nabi, maka Aku, TUHAN, akan menjawab dia sehubungan dengan berhalanya yang banyak itu. Maksudnya ialah supaya Aku dapat menambat hati keturunan kaum Israel yang seluruhnya telah berpaling daripada-Ku kerana berhala-berhala mereka.’ Oleh sebab itu katakanlah kepada keturunan kaum Israel: ‘Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Bertaubatlah dan berpalinglah daripada berhala-berhalamu. Palingkanlah mukamu daripada segala kekejianmu. Apabila seseorang, baik daripada keturunan kaum Israel mahupun daripada golongan pendatang yang tinggal di antara orang Israel, menjauhkan diri daripada-Ku, menjunjung berhala-berhalanya dalam hatinya, dan meletakkan kejahatannya sebagai batu sandungan di hadapannya lalu datang kepada nabi untuk mencari petunjuk-Ku baginya, maka Aku, TUHAN, akan menjawab dia. Aku akan memusuhi orang itu dan menjadikannya suatu tanda serta ibarat. Aku pun akan melenyapkan dia daripada kalangan umat-Ku. Maka kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN.