KELUARAN 9:1-9
KELUARAN 9:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap raja dan beritahulah dia bahawa TUHAN, Allah orang Ibrani berfirman, ‘Benarkanlah umat-Ku pergi supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku. Jika engkau masih tidak mahu membenarkan mereka pergi, Aku akan menghukum engkau. Aku akan mendatangkan penyakit yang dahsyat kepada semua ternakanmu: kuda, keldai, unta, lembu, domba, dan kambing. Aku akan membezakan ternakan orang Israel dengan ternakan orang Mesir. Seekor pun ternakan orang Israel tidak akan mati. Aku, TUHAN telah menetapkan hari esok untuk melaksanakan hal ini.’ ” Pada keesokan harinya TUHAN melakukan seperti yang difirmankan-Nya, lalu semua ternakan orang Mesir mati, tetapi ternakan orang Israel tidak ada yang mati. Raja menanyakan apa yang telah berlaku, lalu raja diberitahu bahawa ternakan orang Israel tidak seekor pun yang mati. Namun, raja masih berdegil dan tidak mahu membenarkan orang Israel pergi. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, “Ambillah beberapa genggam abu dari relau. Musa harus menghamburkan abu itu ke udara di hadapan raja. Abu itu akan tersebar seperti debu halus ke seluruh tanah Mesir. Abu itu akan menimbulkan bisul yang pecah menjadi luka bernanah pada manusia dan binatang.”
KELUARAN 9:1-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)
TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap Firaun dan katakanlah kepadanya, ‘Beginilah firman TUHAN, Allah orang Ibrani, “Izinkanlah umat-Ku pergi, supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku. Sebabnya jika engkau tidak mengizinkan mereka pergi dan masih menahan mereka, maka tangan TUHAN akan mendatangkan penyakit sampar yang sangat teruk kepada ternakan kamu di padang, iaitu kuda, keldai, unta, lembu, serta domba. Tetapi TUHAN akan membezakan ternakan orang Israel daripada ternakan warga Mesir. Tidak seekor pun daripada ternakan orang Israel akan mati.” ’ ” Kemudian TUHAN menetapkan waktunya, firman-Nya, “Hari esok TUHAN akan melaksanakan hal itu di negeri ini.” Keesokan harinya, TUHAN pun melaksanakan hal itu. Semua ternakan warga Mesir mati, tetapi tidak ada seekor pun ternakan orang Israel mati. Lalu Firaun menyuruh orang memeriksa hal itu, dan benarlah, tidak seekor pun ternakan orang Israel mati. Namun demikian, hati Firaun tetap keras. Dia masih tidak mengizinkan orang Israel pergi. TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, “Ambillah segenggam penuh jelaga dari relau, lalu hendaklah Musa menghamburkannya ke udara di hadapan Firaun. Jelaga itu akan menjadi debu halus yang meliputi seluruh Tanah Mesir serta menjadi bisul yang pecah bernanah pada manusia dan haiwan di seluruh Tanah Mesir.”