KELUARAN 5:1-9

KELUARAN 5:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian Musa dan Harun pergi menghadap raja Mesir dan berkata, “Demikianlah firman TUHAN, Allah umat Israel, ‘Benarkanlah umat-Ku pergi agar mereka dapat beribadat kepada-Ku di padang gurun.’ ” “Siapakah TUHAN itu?” tanya raja. “Mengapakah beta harus mendengarkan dia dan membenarkan orang Israel pergi? Beta tidak kenal akan TUHAN itu, dan beta tidak akan membenarkan orang Israel pergi.” Musa dan Harun berkata, “Allah orang Ibrani telah menampakkan diri kepada hamba berdua. Benarkanlah hamba sekalian pergi ke padang gurun sejauh tiga hari perjalanan untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah hamba semua. Jika hamba sekalian tidak melakukan hal ini, Dia akan membunuh hamba semua dengan penyakit atau peperangan.” Raja bertitah kepada Musa dan Harun, “Mengapa kamu menyebabkan semua orang itu melalaikan pekerjaan mereka? Suruhlah abdi-abdi itu bekerja! Bangsa kamu sudah lebih banyak daripada orang Mesir. Sekarang kamu mahu mereka berhenti bekerja!” Pada hari itu juga raja Mesir memberikan perintah kepada pengerah-pengerah abdi berbangsa Mesir dan mandur-mandur berbangsa Israel. Raja bertitah, “Jangan berikan jerami kepada bangsa itu untuk membuat batu bata. Biarlah mereka pergi mencarinya sendiri. Tetapi suruhlah mereka membuat batu bata sebanyak dahulu; jangan kurangkan bilangannya walau seketul pun. Mereka tidak mempunyai cukup pekerjaan, itulah sebabnya mereka minta dibenarkan pergi untuk mempersembahkan korban kepada Allah mereka. Paksalah umat itu bekerja lebih keras lagi, supaya mereka sibuk dengan pekerjaan dan tidak mempunyai masa untuk mendengar cerita-cerita bohong.”

KELUARAN 5:1-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sesudah itu, pergilah Musa dan Harun menghadap Firaun lalu berkata, “Beginilah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Izinkanlah umat-Ku pergi supaya mereka dapat mengadakan perayaan bagi-Ku di gurun.’ ” Tetapi kata Firaun, “Siapakah TUHAN itu sehingga aku harus mematuhi-Nya dan mengizinkan orang Israel pergi? Aku tidak kenal akan TUHAN itu dan aku tidak mengizinkan orang Israel pergi.” Kemudian mereka berkata, “Allah orang Ibrani menemui kami. Izinkanlah kami pergi sejauh tiga hari perjalanan ke gurun dan mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah kami, supaya Dia tidak mengazab kami dengan wabak penyakit atau dengan pedang.” Tetapi kata raja Mesir kepada mereka, “Musa dan Harun, mengapakah kamu membuat orang Israel untuk melalaikan pekerjaan mereka? Kembali bekerja kamu!” Tambah Firaun lagi, “Lihat, sekarang bangsa itu sudah begitu ramai di negeri ini, dan kamu mahu menghentikan mereka daripada pekerjaan mereka.” Maka pada hari itu juga Firaun memberikan perintah demikian kepada para tukang kerah orang Israel itu dan kepada para mandur mereka, “Jangan lagi kamu beri bangsa itu jerami untuk membuat batu bata seperti sebelumnya. Biarkan mereka sendiri pergi mengumpulkan jerami. Namun begitu, jumlah batu bata yang perlu dibuat mereka mestilah sama banyaknya dengan yang dibuat mereka sebelumnya; jangan menguranginya. Mereka itu pemalas maka itulah sebabnya mereka berteriak, ‘Izinkanlah kami pergi mempersembahkan korban kepada Allah kami.’ Beratkan pekerjaan mereka itu lagi supaya mereka terus bekerja dan tidak menghiraukan kata-kata dusta.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami