KELUARAN 4:1-31
KELUARAN 4:1-31 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian Musa berkata kepada TUHAN, “Bagaimana pula jika umat Israel tidak mempercayai aku dan tidak mahu mempedulikan kata-kataku? Apakah yang harus aku buat jika mereka berkata bahawa Engkau tidak menampakkan diri kepadaku?” Oleh itu TUHAN bertanya kepada Musa, “Apakah yang engkau pegang itu?” “Tongkat,” jawab Musa. TUHAN berfirman, “Campakkanlah tongkat itu ke tanah.” Apabila Musa mencampakkannya ke tanah, tongkat itu berubah menjadi ular dan Musa berundur untuk menjauhi ular itu. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Dekatilah ular itu dan peganglah ekornya.” Musa menghampirinya dan menangkap ekor ular itu, lalu ular itu berubah menjadi tongkat semula. TUHAN berfirman, “Buatlah demikian untuk membuktikan kepada bangsa Israel bahawa Aku, TUHAN, Allah nenek moyang mereka, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub, telah menampakkan diri kepadamu.” TUHAN berfirman lagi kepada Musa, “Masukkan tanganmu ke dalam jubahmu.” Musa berbuat begitu, dan ketika dia menarik tangannya keluar, tangannya putih sekali kerana kena penyakit kulit yang mengerikan. Kemudian TUHAN berfirman, “Masukkan tanganmu ke dalam jubahmu sekali lagi.” Musa berbuat begitu, dan ketika dia menarik tangannya keluar, tangannya sudah sembuh dan sihat seperti seluruh badannya. TUHAN berfirman, “Jika mereka tidak mahu percaya kepadamu, atau tidak yakin setelah melihat mukjizat yang pertama, maka mukjizat yang kedua akan meyakinkan mereka. Jika mereka masih tidak mahu percaya kepadamu walaupun sudah melihat kedua-dua mukjizat itu, dan mereka tidak mahu mempedulikan kata-katamu, ambillah sedikit air dari Sungai Nil dan curahkannya ke tanah. Air itu akan berubah menjadi darah.” Tetapi Musa berkata kepada TUHAN, “Ya Tuhan, jangan suruh aku. Aku bukan orang yang pandai berkata-kata, baik dahulu mahupun sekarang, walaupun Engkau sudah berfirman kepadaku. Aku tidak pandai berucap, aku lambat bercakap, dan tidak fasih.” Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Siapakah yang memberikan mulut kepada manusia? Siapakah yang membuat manusia bisu atau tuli? Siapakah yang membuat manusia celik atau buta? Aku, TUHAN. Sekarang, pergilah. Aku akan menolong engkau bercakap, dan memberitahu engkau apa yang harus engkau katakan.” Tetapi Musa menjawab, “Ya Tuhan, aku mohon, suruhlah orang lain.” Kemudian TUHAN murka terhadap Musa dan berfirman, “Bagaimana pula dengan saudaramu Harun, orang Lewi itu? Aku tahu bahawa dia pandai berkata-kata. Sesungguhnya, dia sedang dalam perjalanan ke sini, dan dia akan gembira berjumpa dengan engkau. Engkau dapat bercakap dengan dia, dan memberitahu dia apa yang harus dikatakannya. Aku akan menolong kamu berdua, dan memberitahu kamu apa yang harus dikatakan dan dilakukan. Dia akan berkata-kata kepada umat itu bagi pihakmu. Dia akan menjadi jurucakapmu, dan engkau menjadi seperti Allah yang memberitahu apa yang harus dikatakannya. Bawalah tongkat ini; engkau akan melakukan mukjizat-mukjizat dengan tongkat ini.” Sesudah itu Musa balik ke rumah Yitro, bapa mentuanya. Musa berkata kepadanya, “Tolong benarkan saya balik kepada saudara-mara saya di Mesir, untuk melihat sama ada mereka masih hidup.” Yitro bersetuju, lalu mengucapkan selamat jalan kepada Musa. Ketika Musa masih di Midian, TUHAN berfirman kepadanya, “Baliklah ke Mesir, kerana semua orang yang hendak membunuh engkau sudah meninggal.” Oleh itu Musa membawa isteri serta anak-anaknya dan menaikkan mereka ke atas keldai, lalu mereka berangkat ke Mesir. Musa membawa tongkatnya juga, menurut perintah Allah kepadanya. TUHAN berfirman kepada Musa lagi, “Aku sudah memberikan kuasa kepadamu untuk melakukan mukjizat-mukjizat. Oleh itu selepas engkau tiba di Mesir, lakukanlah segala mukjizat itu di hadapan raja Mesir. Tetapi Aku akan menyebabkan dia berdegil, sehingga dia tidak membenarkan umat itu pergi. Lalu katakanlah kepada raja itu bahawa Aku, TUHAN, berfirman begini, ‘Israel ialah anak sulung-Ku. Aku telah memerintahkan engkau untuk membenarkan anak-Ku itu pergi supaya dia dapat menyembah Aku, tetapi engkau menolak. Sekarang Aku akan membunuh anak lelakimu yang sulung.’ ” Di suatu tempat perkhemahan di tengah perjalanan ke Mesir, TUHAN datang kepada Musa dan cuba membunuhnya. Kemudian Zipora, isteri Musa, mengambil batu tajam dan memotong kulup anaknya, lalu menyentuh kaki Musa dengan potongan itu. Zipora berkata, “Engkau suami darah bagiku.” Zipora berkata demikian kerana upacara sunat itu. Oleh itu TUHAN tidak membunuh Musa. Sementara itu TUHAN berfirman kepada Harun, “Pergilah ke padang gurun untuk menemui Musa.” Harun pergi lalu bertemu dengan Musa di gunung suci, dan Harun mencium dia. Musa memberitahu Harun segala yang telah difirmankan TUHAN ketika dia disuruh balik ke Mesir. Musa juga memberitahu segala mukjizat yang harus dilakukannya. Kemudian Musa dan Harun pergi ke Mesir, lalu menghimpunkan semua pemimpin umat Israel. Harun memberitahu mereka segala yang difirmankan TUHAN kepada Musa, dan Musa melakukan segala mukjizat di hadapan semua orang itu. Mereka percaya, lalu sujud menyembah apabila mendengar bahawa TUHAN sudah memperhatikan mereka dan melihat segala penderitaan mereka.
KELUARAN 4:1-31 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Jawab Musa pula, “Tetapi mereka tidak akan mempercayai aku atau mendengar kata-kataku bahkan mereka akan berkata, ‘TUHAN tidak menampakkan diri kepadamu!’ ” Firman TUHAN kepadanya, “Apakah yang ada di tanganmu itu?” Jawab Musa, “Tongkat.” Firman-Nya, “Campakkannya ke tanah.” Musa mencampakkannya ke tanah, lalu tongkat itu menjadi ular lantas larilah Musa meninggalkannya. Firman TUHAN kepada Musa, “Hulurkanlah tanganmu dan tangkaplah ekornya.” Musa menghulurkan tangannya dan menangkapnya, lalu ular itu menjadi tongkat semula di tangannya. “Lakukanlah hal itu supaya mereka percaya bahawa TUHAN, Allah nenek moyang mereka, Allah Abraham, Allah Ishak dan Allah Yakub, telah menampakkan diri kepadamu.” Firman TUHAN lagi kepadanya, “Masukkanlah tanganmu ke dalam bajumu.” Musa memasukkan tangannya ke dalam bajunya. Setelah dikeluarkan, tampak tangannya dijangkiti kusta, putih seperti salji. Firman Allah, “Masukkan tanganmu semula ke dalam bajumu.” Dia pun memasukkan tangannya semula ke dalam bajunya. Setelah dikeluarkan lagi dari dalam bajunya, kelihatan tangannya itu pulih kembali, sama seperti kulitnya yang sediakala. “Maka, sekiranya mereka tidak mempercayai kamu dan tidak meyakini keajaiban yang pertama, mereka akan percaya setelah melihat keajaiban berikutnya. Akan tetapi, jika mereka masih tidak percaya setelah melihat kedua-dua tanda itu dan enggan mendengar kata-katamu, ambillah air Sungai Nil dan curahkanlah ke tanah yang kering, maka air Sungai Nil itu akan menjadi darah di tanah yang kering itu.” Namun begitu, kata Musa kepada TUHAN, “Ya Tuhan, hamba-Mu ini bukan seorang yang pandai berbicara, baik dahulu mahupun sekarang, saat Engkau berfirman kepada hamba-Mu ini, kerana hamba-Mu ini berat mulut dan berat lidah.” Firman TUHAN kepadanya, “Siapakah yang menjadikan mulut manusia? Siapakah yang menjadikan orang bisu atau pekak, boleh melihat atau buta? Bukankah Aku, iaitu TUHAN? Sekarang, pergilah. Aku akan menolong kamu berbicara dan Aku akan mengajarmu apa yang patut kamu katakan.” Akan tetapi, Musa berkata, “Ya Tuhan, hamba mohon utuslah orang lain, sesiapa sahaja yang patut Kauutus.” Maka menyalalah murka TUHAN terhadap Musa, firman-Nya, “Bukankah ada Harun, abangmu, orang Lewi itu? Aku tahu bahawa dia pandai berbicara. Apatah lagi dia telah berangkat untuk menemuimu. Apabila dia melihat kamu, akan sukacitalah hatinya. Kamu harus berbicara dengannya dan memberitahukan kata-kata tadi kepadanya. Aku akan menolong kamu dan dia untuk berbicara, dan Aku akan memberitahumu apa yang harus kamu lakukan. Dia harus menjadi jurucakap kamu untuk berbicara kepada orang Israel. Bagi kamu dia bagaikan mulutmu, dan baginya kamu seolah-olah Allah. Kamu bawalah tongkat ini kerana dengan tongkat inilah kamu akan menunjukkan segala keajaiban itu.” Lalu Musa kembali kepada mertuanya, Yitro, dan berkata kepadanya, “Izinkanlah aku kembali kepada para saudaraku yang berada di Mesir untuk melihat sama ada mereka masih hidup.” Kata Yitro kepada Musa, “Pergilah dengan selamat.” Maka berfirmanlah TUHAN kepada Musa yang masih di Midian, “Kembalilah ke Mesir, kerana orang yang mengancam nyawamu sudah mati.” Kemudian Musa membawa isteri bersama-sama anak-anaknya dan menaikkan mereka ke atas seekor keldai lalu dia berangkat bersama-sama mereka, dan kembali ke Tanah Mesir dengan membawa tongkat Allah di tangannya. Firman TUHAN kepada Musa, “Bersedialah apabila kamu kembali ke Mesir, segala keajaiban yang telah Kuserahkan ke dalam tanganmu, lakukanlah kesemuanya di hadapan Firaun. Akan tetapi Aku akan membuat dia keras hati dan tidak mengizinkan orang Israel pergi. Maka katakanlah kepada Firaun, ‘Beginilah firman TUHAN, “Israel itu anak-Ku yang sulung, dan telah Kufirman kepadamu: Benarkanlah anak-Ku itu pergi supaya dia menyembah Aku tetapi kamu enggan melepaskannya.” Lihatlah, Aku akan membunuh anak lelakimu yang sulung.’ ” Lalu dalam perjalanan, di sebuah tempat bermalam, TUHAN bertemu dengan Musa dan hendak mengambil nyawanya. Tetapi Zipora mengambil pisau batu, lalu mengkhatankan kulup anaknya. Setelah itu, dia menyentuh kulup itu pada kaki Musa, sambil berkata, “Sesungguhnya, kamu pengantin darah bagiku.” Maka Tuhan tidak mengapa-apakan anak itu. Pada waktu itulah, sehubungan dengan persunatan itu, perempuan itu berkata, “Kamu pengantin darah.” Ketika itu TUHAN berfirman kepada Harun, “Pergilah menemui Musa di gurun.” Maka Harun pun pergi. Dia bertemu dengan Musa di gunung Allah, lalu menciumnya. Lalu Musa memberitahu Harun tentang semua kata yang TUHAN suruh disampaikannya dan semua keajaiban yang harus dibuatnya, seperti yang diperintahkan-Nya. Maka Musa dan Harun berangkat dan mengumpulkan semua tua-tua orang Israel. Lalu Harun menyampaikan kepada mereka semua yang difirmankan TUHAN kepada Musa, serta menunjukkan keajaiban itu di hadapan mata orang Israel. Maka percayalah mereka, dan ketika mereka mendengar bahawa TUHAN memang prihatin terhadap orang Israel serta maklum akan segala penderitaan mereka, terus sahaja mereka membongkok lantas sujud menyembah.