KELUARAN 28:1-8,40-41
KELUARAN 28:1-8 Alkitab Berita Baik (BM)
“Panggillah abangmu Harun dan anak-anaknya, Nadab, Abihu, Eleazar, dan Itamar. Khususkanlah mereka dari kalangan umat Israel, supaya mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam. Buatlah pakaian imam untuk abangmu Harun, supaya terhormat kelihatannya. Panggillah semua orang yang telah Aku kurniakan kemahiran, dan suruhlah mereka membuat pakaian Harun supaya dia dapat ditahbiskan untuk mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam. Suruhlah mereka membuat penutup dada, efod, jubah, baju labuh bersulam, serban, dan ikat pinggang. Mereka harus membuat pakaian imam itu untuk abangmu Harun dan anak-anaknya supaya mereka dapat mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam. Orang yang membuat semuanya mesti menggunakan kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, benang emas, serta kain linen halus. Mereka mesti membuat efod daripada kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, benang emas, serta kain linen halus yang bersulam. Dua tali bahu sebagai pengikat harus dijahitkan pada sisi efod. Satu ikat pinggang yang ditenun halus daripada bahan yang sama harus dijahitkan pada efod supaya menjadi satu bahagian dengan efod.
KELUARAN 28:40-41 Alkitab Berita Baik (BM)
Buatlah baju labuh, ikat pinggang, dan ikat kepala untuk anak-anak Harun supaya mereka kelihatan terhormat. Kenakanlah pakaian itu pada Harun dan anak-anaknya. Kemudian tahbiskanlah dan khaskanlah mereka dengan menuangkan minyak zaitun pada mereka, supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam.
KELUARAN 28:1-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Hendaklah kamu suruh abangmu Harun dan anak-anaknya, iaitu Nadab, Abihu, Eleazar, dan Itamar, tampil daripada kalangan orang Israel untuk menunaikan tugas sebagai para imam bagi-Ku. Hendaklah kamu buat pakaian peribadatan yang suci untuk Harun, abangmu, sebagai lambang kemuliaan dan kehormatan. Hendaklah kamu berbicara kepada semua warga bijaksana yang telah Kukurniai kemahiran dan suruhlah mereka membuat pakaian Harun agar dia ditahbiskan untuk menunaikan tugas sebagai imam. Inilah pakaian yang harus dibuat mereka: penutup dada, baju efod, jubah, jubah bersulam, serban, dan ikat pinggang. Hendaklah dibuat mereka pakaian suci itu untuk abangmu Harun dan anak-anaknya, supaya mereka dapat menunaikan tugas sebagai imam. Hendaklah digunakan mereka kain berwarna biru, ungu, merah menyala, kain benang emas dan kain linen halus. Hendaklah dibuat mereka baju efod daripada emas, kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus yang dipintal, buatan seorang pereka bentuk yang mahir. Hendaklah pada baju efod itu dijahit dua tali penutup bahu yang bersambung di kedua-dua hujungnya sehingga baju efod itu tersambung. Hendaklah disulam juga ikat pinggang daripada kain benang emas, kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus yang dipintal yang bersepadu dan sedondon dengan baju efod itu.
Keluaran 28:40-41 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Hendaklah dibuatkan juga beberapa tunik serta ikat pinggang untuk anak-anak Harun. Selain itu, buatlah ikat kepala untuk mereka sebagai tanda kemuliaan dan kehormatan. Semua itu hendaklah kamu pakaikan pada abangmu Harun dan anak-anaknya. Kemudian kamu hendaklah mengurapi mereka, melantik serta mentahbiskan mereka, supaya mereka dapat menunaikan tugas sebagai imam untuk-Ku.