KELUARAN 27:1-8
KELUARAN 27:1-8 Alkitab Berita Baik (BM)
“Buatlah sebuah mazbah daripada kayu akasia. Mazbah itu harus berbentuk empat persegi, berukuran 2.2 meter panjang, 2.2 meter lebar, dan 1.3 meter tinggi. Buatlah unjuran pada keempat-empat sudutnya. Unjuran itu mesti seiras dengan mazbah dan seluruhnya disaluti gangsa. Buatlah periuk untuk abu berminyak, dan buatlah juga penyodok, mangkuk, garpu, dan perbaraan; kesemua peralatan ini mesti dibuat daripada gangsa. Buatlah juga kekisi daripada gangsa dan pasanglah empat buah gelang gangsa pada keempat-empat sudut. Tinggi kekisi itu harus setengah daripada tinggi mazbah. Kekisi itu harus dililitkan pada bahagian bawah mazbah itu. Buatlah dua batang kayu pengusung daripada kayu akasia yang disaluti gangsa. Masukkan kayu pengusung itu ke dalam gelang di kedua-dua sisi mazbah semasa mengusung mazbah itu. Buatlah mazbah itu daripada papan dan bahagian dalamnya berongga, menurut pelan yang Aku tunjukkan kepadamu di atas gunung ini.”
KELUARAN 27:1-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Hendaklah kamu buat mazbah berbentuk empat segi sama daripada kayu akasia iaitu sepanjang lima hasta, selebar lima hasta, dan setinggi tiga hasta. Buatlah tanduk bagi setiap satu daripada empat penjurunya secara bersepadu dengan mazbah itu, lalu salutlah keseluruhannya dengan gangsa. Buatlah juga segala kelengkapannya iaitu bekas untuk menampung abu, penyodok, bejana, cangkuk daging, dan penadah bara, kesemuanya daripada gangsa. Lengkapilah mazbah itu dengan kekisi besi pengadang daripada gangsa, lalu buatlah empat gegelang gangsa di atas keempat-empat sudut kekisi itu. Pasanglah kekisi itu di bawah belebas di sekeliling mazbah, dari bahagian bawah sehingga paras setengah ketinggian mazbah itu. Buatlah dua pengusung daripada kayu akasia untuk mazbah itu, lalu salutlah dengan gangsa. Masukkanlah kayu-kayu pengusung itu ke dalam gegelang tadi, sehingga kayu pengusung itu terletak di kedua-dua sisi mazbah itu ketika orang mengusungnya. Hendaklah kamu buat mazbah itu daripada papan dan biarkannya berongga, seperti yang telah ditunjukkan kepadamu di atas gunung itu.