KELUARAN 22:22-27
KELUARAN 22:22-27 Alkitab Berita Baik (BM)
Jangan berlaku kejam terhadap balu atau anak yatim piatu. Jika kamu berlaku kejam terhadap mereka, Aku, TUHAN akan mengabulkan permintaan mereka apabila mereka berseru minta tolong kepada-Ku. Aku akan murka dan membunuh kamu dalam perang. Isteri kamu akan menjadi balu dan anak-anak kamu menjadi yatim. Jika kamu meminjamkan wang kepada seorang yang miskin di kalangan umat-Ku, jangan bertindak seperti peminjam wang yang menuntut faedah wang. Jika kamu mengambil jubah seseorang sebagai jaminan hutangnya, kamu mesti mengembalikan jubah itu sebelum matahari terbenam, kerana jubah itu sahaja yang ada padanya untuk memanaskan badannya. Jika jubah itu tidak dikembalikan, tiada lagi yang dapat dipakainya sebagai selimut. Jika dia berseru minta tolong kepada-Ku, maka Aku akan mendengarkannya kerana Aku berbelas kasihan.
KELUARAN 22:22-27 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Jangan menindas mana-mana balu atau seseorang anak yatim. Jika engkau menindas mereka lalu mereka berseru kepada-Ku, Aku pasti akan mendengar seruan mereka. Murka-Ku akan menyala-nyala dan Aku akan membunuh kamu dengan pedang lalu para isterimu menjadi balu dan anak-anakmu menjadi yatim. Jika kamu meminjamkan wang kepada seorang daripada umat-Ku yang miskin dalam kalangan kamu, jangan menjadi seorang penagih hutang terhadap dia dan jangan kaubebankan faedah hutang itu atasnya. Jika kamu mengambil pakaian kawanmu sebagai gadaian, kembalikanlah pakaian itu kepadanya sebelum matahari terbenam, kerana hanya itulah penutup dan pakaian pada tubuhnya; dengan apakah dia akan tidur? Jadi, jika dia berseru kepada-Ku, Aku akan mendengarkannya, kerana Aku ini maha pengasih.