KELUARAN 16:4-7,13-17
KELUARAN 16:4-7 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN berfirman kepada Musa, “Sekarang Aku akan menghujani kamu semua dengan makanan dari langit. Tiap-tiap hari umat mesti keluar untuk mengumpulkan roti secukupnya bagi satu hari. Dengan cara ini Aku dapat menguji umat-Ku, supaya Aku tahu sama ada mereka mentaati perintah-Ku atau tidak. Pada hari yang keenam, mereka harus mengumpulkan makanan itu dua kali ganda banyaknya dan menyediakannya.” Oleh itu Musa dan Harun berkata kepada segenap umat Israel, “Pada petang ini kamu akan tahu bahawa TUHAN itulah yang membawa kamu keluar dari Mesir. Pada pagi hari kamu akan melihat cahaya hadirat TUHAN. Dia telah mendengar sungutan kamu terhadap-Nya; ya, terhadap-Nya, kerana kami hanya melaksanakan perintah-Nya.”
KELUARAN 16:13-17 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada petang hari, banyak sekali burung puyuh datang ke perkhemahan mereka sehingga meliputi seluruh perkhemahan. Pada waktu pagi, terdapat pula lapisan embun di sekeliling perkhemahan. Setelah embun itu mengewap, sesuatu yang tipis seperti sisik dan halus seperti embun yang beku terdapat di atas padang gurun. Apabila orang Israel melihatnya, mereka tidak tahu apa benda itu. Mereka bertanya satu sama lain, “Apakah benda ini?” Musa berkata kepada mereka, “Inilah makanan yang diberi oleh TUHAN kepada kamu untuk dimakan. TUHAN telah memberikan perintah supaya tiap-tiap orang mengumpulkan makanan itu seberapa banyak yang diperlukannya, iaitu sebanyak dua liter bagi setiap anggota keluarga.” Orang Israel berbuat demikian; ada yang mengumpulkan lebih daripada dua liter dan ada pula yang mengumpulkan kurang daripada itu.
KELUARAN 16:4-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian berfirmanlah TUHAN kepada Musa, “Sesungguhnya, Aku akan menghujani kamu dengan roti dari langit. Tiap-tiap hari bangsa itu harus keluar untuk memungut keperluan satu hari secukupnya. Dengan demikian, Aku dapat menguji sama ada mereka mahu hidup menurut hukum-Ku. Pada hari keenam mereka harus memungut dua kali lipat ganda banyaknya daripada yang biasa dipungut mereka setiap hari, lalu memasak apa yang dibawa pulang oleh mereka.” Musa dan Harun pun berkata kepada seluruh orang Israel, “Petang ini kamu akan tahu bahawa TUHAN sajalah yang sudah membawa kamu keluar dari Tanah Mesir, dan esok pagi kamu akan melihat kemuliaan TUHAN, kerana Dia mendengar segala rungutanmu kepada TUHAN. Sebab, siapakah kami ini sehingga kamu bersungut-sungut terhadap kami?”
Keluaran 16:13-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada petang hari itu datanglah burung-burung puyuh menutupi perkhemahan, dan pada pagi hari terdapat embun di sekeliling perkhemahan. Setelah embun itu mengewap, kelihatanlah benda-benda tipis berkelopak seperti sisik bagaikan embun beku halus di atas tanah permukaan gurun itu. Ketika orang Israel melihatnya, berkatalah mereka sesama diri, “Apakah ini?” kerana mereka tidak tahu apa benda itu. Kata Musa kepada mereka, “Inilah roti yang dikurniakan TUHAN kepadamu sebagai makanan. Beginilah perintah TUHAN, ‘Pungutlah makanan itu, masing-masing sebanyak yang dapat kamu makan. Ambillah satu omer untuk tiap-tiap kepala, selaras dengan jumlah jiwa yang ada di dalam khemah masing-masing.’ ” Demikianlah yang dilakukan orang Israel. Masing-masing memungutnya, ada yang banyak, ada yang sedikit.