KELUARAN 14:1-9
KELUARAN 14:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Suruhlah orang Israel kembali dan berkhemah di hadapan kota Pi-Hahirot, di antara kota Migdol dan Laut Gelagah, dekat kota Baal-Zefon. Raja Mesir akan menyangka bahawa orang Israel sedang mengembara di negeri ini dan takut melintasi padang gurun. Aku akan menyebabkan raja Mesir berdegil sehingga dia mengejar kamu; kemenangan-Ku atas raja itu akan mendatangkan penghormatan kepada-Ku. Kemudian orang Mesir akan tahu bahawa Akulah TUHAN.” Orang Israel melakukan apa yang diperintahkan kepada mereka. Apabila raja Mesir diberitahu bahawa orang Israel telah melarikan diri, raja itu bersama dengan para pegawainya mengubah fikiran, lalu berkata, “Apakah yang telah kita buat? Kita telah membiarkan orang Israel melarikan diri sehingga kita kehilangan abdi.” Raja menyiapkan kereta kudanya untuk berperang, dan juga tenteranya. Raja berangkat dengan semua kereta kudanya, termasuk enam ratus buah kereta kuda terbaik yang dikendarai oleh para panglima tentera. TUHAN menyebabkan raja berdegil, sehingga raja mengejar orang Israel yang sedang dalam perjalanan meninggalkan tempat itu dengan kemenangan. Tentera Mesir bersama dengan semua kuda, kereta kuda dan pemandu, mengejar orang Israel dan menyusul mereka di tempat perkhemahan mereka di tepi Laut Gelagah, dekat Pi-Hahirot dan Baal-Zefon.
KELUARAN 14:1-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)
TUHAN berfirman kepada Musa, “Suruhlah orang Israel berpatah balik dan berkhemah di hadapan Pi-Hahirot, di antara Migdol dengan laut. Mereka harus berkhemah di tepi laut, di hadapan Baal-Zefon. Firaun akan berkata, ‘Tentu orang Israel sudah tersesat di negeri ini. Gurun mengurung mereka.’ Aku akan mengeraskan hati Firaun sehingga dia mengejar mereka. Kemuliaan-Ku akan dinyatakan melalui Firaun dan seluruh pasukannya, sehingga warga Mesir tahu bahawa Akulah TUHAN.” Maka orang Israel pun melaksanakan hal itu. Ketika dikhabarkan kepada raja Mesir bahawa bangsa itu sudah lari, maka berubahlah fikiran Firaun dan para pegawainya terhadap bangsa itu. Mereka berkata, “Apakah yang telah kita lakukan ini? Kita melepaskan orang Israel daripada perhambaan kita!” Lalu dia mempersiapkan segala ratanya dan membawa pasukannya bersama-samanya. Dia membawa enam ratus rata pilihan serta kesemua rata yang ada di Mesir, lengkap dengan para perwira yang mengepalai kesemuanya. TUHAN mengeraskan hati Firaun, raja Mesir, sehingga dia mengejar orang Israel. Sementara itu orang Israel bergerak dengan semangat yang tinggi. Orang Mesir mengejar mereka dengan semua kuda dan rata Firaun, dan dengan pasukan tentera berkuda. Mereka hendak menyusul orang Israel yang sedang berkhemah di tepi laut, dekat Pi-Hahirot, berhadapan dengan Baal-Zefon.