KELUARAN 13:1-22

KELUARAN 13:1-22 Alkitab Berita Baik (BM)

TUHAN berfirman kepada Musa, “Tahbiskanlah semua anak lelaki sulung bagi-Ku. Setiap anak lelaki sulung orang Israel, dan setiap anak jantan sulung ternakan adalah kepunyaan-Ku.” Musa berkata kepada orang Israel, “Ingatlah hari ini, hari kamu meninggalkan Mesir, tempat kamu dijadikan hamba. Pada hari ini TUHAN membawa kamu keluar dengan kuasa-Nya yang besar; kamu tidak boleh makan roti yang beragi. Kamu meninggalkan Mesir pada hari ini, pada bulan Abib, iaitu bulan yang pertama. TUHAN telah bersumpah kepada nenek moyang kamu untuk memberi kamu tanah orang Kanaan, Het, Amori, Hewi, dan Yebusi. Tanah itu kaya dan subur. Selepas TUHAN membawa kamu ke tanah itu, kamu mesti merayakan perayaan ini tiap-tiap tahun, pada bulan yang pertama. Kamu mesti makan roti yang tidak beragi selama tujuh hari, dan pada hari yang ketujuh adakanlah perayaan untuk menghormati TUHAN. Selama tujuh hari, kamu mesti makan roti yang tidak beragi. Di seluruh negeri kamu, tidak boleh ada ragi atau apa-apa pun yang beragi. Pada permulaan perayaan itu, terangkanlah kepada anak-anak lelaki kamu bahawa kamu melakukan semuanya kerana apa yang telah dilakukan TUHAN untuk kamu, ketika kamu meninggalkan negeri Mesir. Perayaan ini akan menjadi satu peringatan, seperti tanda yang diikat pada tangan atau dahi kamu, untuk mengingatkan kamu bahawa kamu mesti terus-menerus mengucapkan dan mengkaji Taurat TUHAN, kerana TUHAN telah membawa kamu keluar dari Mesir dengan kuasa-Nya yang besar. Rayakanlah perayaan ini tiap-tiap tahun, pada masa yang ditetapkan.” Musa berkata kepada orang Israel, “TUHAN akan membawa kamu ke tanah orang Kanaan, yang telah dijanjikan-Nya kepada kamu dan nenek moyang kamu. Selepas Dia memberikannya kepada kamu, kamu mesti mempersembahkan setiap anak lelaki sulung kepada TUHAN. Setiap anak jantan sulung ternakan kamu adalah kepunyaan TUHAN. Tetapi setiap anak jantan sulung keldai mesti kamu tebus daripada-Nya dengan mempersembahkan seekor anak domba sebagai ganti. Jika kamu tidak mahu menebus anak keldai itu, kamu mesti mematahkan lehernya. Kamu mesti menebus setiap anak lelaki sulung kamu. Pada masa hadapan, apabila anak lelaki kamu bertanya akan makna semuanya ini, hendaklah kamu menjawab begini, ‘Dengan kuasa yang besar, TUHAN telah membawa kita keluar dari Mesir, tempat kita dijadikan hamba. Ketika raja Mesir berdegil dan tidak mahu membenarkan kita pergi, TUHAN membunuh setiap anak lelaki sulung dan setiap anak jantan sulung ternakan di Mesir. Itulah sebabnya kita mempersembahkan setiap anak jantan sulung ternakan sebagai korban kepada TUHAN, tetapi kita menebus anak lelaki sulung kita. Perayaan ini akan menjadi satu peringatan, seperti tanda yang diikat pada tangan atau dahi kita, untuk mengingatkan kita bahawa TUHAN telah membawa kita keluar dari Mesir dengan kuasa-Nya yang besar.’ ” Apabila raja Mesir membenarkan orang Israel pergi, Allah tidak memimpin mereka mengikut jalan yang melalui negeri Filistin, walaupun jalan itu yang paling pendek. Allah berfikir, “Aku tidak mahu umat ini mengubah fikiran, lalu balik ke Mesir apabila mereka tahu bahawa mereka mesti berperang.” Oleh itu Dia membawa mereka ke jalan keliling melalui padang gurun menuju Laut Gelagah. Pada masa orang Israel meninggalkan Mesir, mereka bersenjata seperti akan berperang. Musa membawa jenazah Yusuf, kerana semasa hidupnya Yusuf telah menyuruh orang Israel bersumpah untuk berbuat demikian. Yusuf berpesan, “Apabila Allah menyelamatkan kamu, kamu mesti membawa jenazahku keluar dari tempat ini.” Orang Israel meninggalkan Sukot lalu berkhemah di Etam, di pinggir padang gurun. Pada siang hari, TUHAN berada di hadapan mereka dalam tiang awan, untuk menunjukkan jalan kepada mereka; pada malam hari Dia berada di hadapan mereka dalam tiang api, untuk memberikan cahaya kepada mereka. Oleh itu mereka dapat berjalan pada siang dan malam. Sepanjang hari tiang awan berada di hadapan bangsa itu, dan sepanjang malam tiang api berada di hadapan mereka.

KELUARAN 13:1-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)

TUHAN berfirman kepada Musa demikian, “Tahbiskanlah untuk-Ku semua anak sulung. Semua yang lahir pertama daripada rahim dalam kalangan orang Israel, baik manusia mahupun haiwan, Akulah pemiliknya.” Lalu berpesanlah Musa kepada orang Israel, “Peringatilah hari ini iaitu hari apabila kamu keluar dari Mesir, dari tempat perhambaan, kerana dengan kuasa tangan-Nya TUHAN telah membawa kamu keluar dari sana maka sesuatu apa-apa pun yang beragi tidak boleh kamu makan. Pada hari ini, dalam bulan Abib, kamu keluar. Kelak apabila TUHAN telah membawa kamu masuk ke negeri bani Kanaan, bani Het, bani Amori, bani Hewi, dan bani Yebus — negeri yang telah Dia janjikan dengan bersumpah kepada nenek moyangmu untuk dikurniakan kepadamu, iaitu negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu — maka kamu harus melaksanakan ibadat ini pada bulan ini juga. Hendaklah kamu makan roti yang tidak beragi selama tujuh hari, dan pada hari ketujuh kamu harus mengadakan perayaan bagi TUHAN. Makanlah roti yang tidak beragi selama tujuh hari itu. Sesuatu yang beragi tidak boleh terlihat dalam kalangan kamu, dan begitu juga tidak boleh terlihat di mana-mana pun di seluruh daerahmu. Pada hari itu kamu harus memberitahu anak-anak lelakimu demikian, ‘Ibadat ini dilakukan untuk memperingati apa yang telah dilakukan TUHAN bagiku ketika aku keluar dari Mesir.’ Perayaan itu akan menjadi satu peringatan bagimu — seperti tanda pada tanganmu dan peringatan pada dahimu — supaya hukum TUHAN ada di bibirmu, kerana TUHAN telah membawa kamu keluar dari Mesir dengan tangan yang kuat. Oleh yang demikian, patuhilah sentiasa ketetapan ini pada waktu yang sudah ditentukan, tahun demi tahun. Nanti, apabila TUHAN sudah membawa kamu masuk ke negeri orang Kanaan, seperti yang telah dijanjikan-Nya dengan bersumpah kepada nenek moyangmu, dan apabila negeri itu sudah dikurniakan-Nya kepadamu, maka kamu harus mentahbiskan untuk TUHAN semua yang lahir pertama daripada rahim. Semua yang lahir pertama daripada binatang yang kaupunyai, iaitu yang jantan, ialah milik TUHAN. Semua anak keldai yang lahir pertama harus kamu tebus dengan seekor anak domba. Jika kamu tidak menebusnya, maka kamu harus mematahkan lehernya. Semua anak sulung manusia antara anak-anak lelakimu harus kamu tebus. Nanti, pada kemudian hari kelak anakmu bertanya kepadamu, ‘Apakah ertinya ini?’ maka kamu harus mengatakan kepadanya, ‘Dengan kekuatan tangan-Nya, TUHAN telah membawa kami keluar dari Mesir, dari tempat perhambaan. Pada waktu Firaun berkeras hati enggan mengizinkan kami pergi, TUHAN menamatkan usia semua anak sulung di Tanah Mesir, daripada anak sulung manusia sampai anak sulung haiwan. Itulah sebabnya aku mempersembahkan kepada TUHAN semua binatang jantan yang lahir pertama daripada rahim, sedangkan semua anak sulung antara anak lelakiku pun kutebus.’ Hal itu harus menjadi tanda pada tanganmu dan menjadi lambang di dahimu, kerana dengan kekuatan tangan-Nya TUHAN telah membawa kita keluar dari Mesir.” Setelah Firaun mengizinkan bangsa itu pergi, Allah tidak memimpin mereka melalui jalan ke negeri orang Filistin meskipun itu jalan terdekat, kerana Allah berfirman, “Jangan-jangan bangsa ini menyesal apabila mereka menghadapi peperangan, lalu kembali ke Mesir.” Jadi, Allah membawa bangsa itu berputar melalui jalan di gurun yang menuju ke Laut Merah. Orang Israel keluar dari Tanah Mesir dengan bersenjata lengkap. Musa membawa tulang-tulang Yusuf, kerana Yusuf telah meminta orang Israel sungguh-sungguh bersumpah, katanya, “Allah pasti akan memperhatikan kamu. Pada waktu itu kamu harus membawa tulang-tulangku dari sini.” Mereka berangkat dari Sukot lalu berkhemah di Etam, di tepi gurun. TUHAN hadir di hadapan mereka. Pada siang hari Dia memimpin mereka dalam perjalanan dengan tiang awan, dan pada malam hari Dia menerangi mereka dengan tiang api, sehingga mereka dapat berjalan tidak kira pada hari siang ataupun malam. Pada siang harinya tiang awan tidak berganjak dari hadapan umat itu, demikian pula dengan tiang api pada malam harinya.