KELUARAN 1:6-14
KELUARAN 1:6-14 Alkitab Berita Baik (BM)
Lama-kelamaan Yusuf dan saudara-saudaranya meninggal, demikian juga semua orang yang seangkatan dengan dia. Tetapi keturunan mereka, iaitu orang Israel, mempunyai anak yang banyak. Mereka beranak cucu sangat banyak, dan bilangan mereka bertambah dengan cepat sekali sehingga negeri Mesir penuh dengan mereka. Kemudian seorang raja baru, yang tidak mengenal Yusuf mula memerintah negeri Mesir. Raja itu bertitah kepada rakyat, “Orang Israel sangat berbahaya bagi kita, kerana mereka banyak sekali dan lebih kuat daripada kita. Sekiranya berlaku peperangan, ada kemungkinan mereka bergabung dengan musuh untuk menentang kita, lalu lari meninggalkan negeri ini. Kita mesti mencari jalan supaya bilangan mereka tidak bertambah lagi.” Oleh itu orang Mesir melantik beberapa orang pengerah abdi untuk menindas orang Israel dengan kerja paksa. Orang Israel dipaksa membina kota Pitom dan Raamses yang dijadikan pusat penyimpanan perbekalan bagi raja Mesir. Tetapi semakin keras orang Mesir menindas orang Israel, semakin banyak pula bilangan mereka, dan mereka tersebar luas di seluruh negeri itu, sehingga orang Mesir takut kepada mereka. Orang Mesir menindas orang Israel dengan kejam, dan menyebabkan hidup mereka menderita. Tanpa belas kasihan, orang Israel dipaksa bekerja keras di projek-projek pembinaan dan di ladang-ladang.
KELUARAN 1:6-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Masa berlalu dan Yusuf meninggal, dan begitu jugalah halnya dengan semua saudaranya dan kalangan orang Israel yang satu keturunan dengannya. Namun begitu, orang Israel terus beranak cucu dan bilangan mereka meningkat dengan pesatnya. Mereka bertambah ramai dan menjadi luar biasa kuatnya, sehingga negeri itu padat dengan warga mereka. Kemudian seorang raja baru yang tidak kenal akan Yusuf memerintah kerajaan Mesir. Dia berkata kepada rakyatnya, “Lihatlah, betapa rakyat orang Israel ini menjadi teramat ramai dan lebih kuat daripada kita. Mari kita cari akal mengatasi mereka. Jika tidak, mereka akan terus bertambah ramai, dan jika berlaku perang mereka akan bersekutu dengan para musuh kita lalu berperang melawan kita dan meninggalkan negeri ini.” Maka warga Mesir melantik tukang kerah atas orang Israel untuk menindas mereka serta menjadikan mereka buruh paksa. Mereka membangunkan kota perbekalan, iaitu Pitom dan Raamses untuk Firaun. Walau bagaimanapun, semakin tertindas, bilangan mereka semakin ramai dan terus berkembang, lantas warga Mesir menjadi takut kepada orang Israel. Maka semakin kuat dan kejamlah warga Mesir menzalimi orang Israel, dan menjadikan kehidupan mereka menderita dalam perhambaan yang cukup perit. Mereka dipaksa mengerjakan tanah liat dan batu bata serta semua jenis pekerjaan yang menjerihkan di padang.