PENGKHUTBAH 9:11-18
PENGKHUTBAH 9:11-18 Alkitab Berita Baik (BM)
Ada lagi yang aku dapati di dunia ini: pelari yang pantas tidak selalu menang, dan orang yang berani tidak selalu menang dalam pertempuran. Orang bijak tidak selalu dapat mencari nafkah, orang berakal tidak selalu menjadi kaya, dan orang yang handal tidak selalu memperoleh kedudukan yang tinggi. Nasib malang boleh menimpa setiap orang. Manusia tidak tahu saat ketibaan bencana. Seperti burung yang terjerat, dan ikan yang terjala, begitu juga manusia ditimpa bencana dengan tidak disangka-sangka. Aku juga melihat contoh baik tentang bagaimana hikmat dihargai orang di dunia ini. Ada sebuah kota kecil dan penduduknya tidak ramai. Seorang raja yang kuat menyerang kota itu, mengepungnya dan bersiap untuk merobohkan tembok kota itu. Di kota itu ada seorang miskin yang bijak. Dengan hikmatnya dia sebenarnya dapat menyelamatkan kota itu, tetapi tidak seorang pun ingat akan dia. Selama ini aku telah mengatakan bahawa hikmat lebih baik daripada kekuatan, tetapi hikmat orang miskin dihina. Perkataan orang miskin tidak dipeduli. Lebih baik mendengar kata-kata lembut orang yang berilmu daripada teriakan penguasa dalam perhimpunan orang bodoh. Hikmat lebih baik daripada senjata, tetapi seorang berdosa dapat merosakkan banyak hal yang baik.
PENGKHUTBAH 9:11-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Satu lagi yang kulihat di bawah matahari ialah perlumbaan tidak dimenangi baik oleh pelari yang pantas mahupun perjuangan diungguli mereka yang terkuat. Begitu jugalah tidak semestinya rezeki untuk yang bijaksana atau kekayaan untuk mereka yang bestari. Begitu juga kelebihan bukan khusus bagi kalangan yang mahir kerana masa dan nasib dialami mereka semua. Manusia tidak mengetahui bila waktunya tiba. Sebagaimana ikan yang terjebak di dalam jala dan seperti burung yang tertangkap di dalam jerat, demikian juga bencana menimpa anak-anak manusia secara tiba-tiba. Kulihat hal ini sebagai contoh hikmah di bawah matahari dan hal itu berkesan hebat terhadap aku. Sebuah kota kecil yang tidak ramai penduduknya diserang dan dikepung oleh tentera seorang raja yang agung. Lalu didirikan pelbagai kubu pengepungan yang besar di sekeliling kota itu. Seorang warga miskin yang bijaksana di kota itu menyelamatkan kota itu dengan hikmahnya namun tiada orang pun yang mengenang jasa si miskin itu. Kataku: “Hikmah tetap lebih baik daripada keperkasaan meskipun hikmah si miskin di kota itu diremehkan dan tidak dihiraukan orang.” Kata-kata orang bijaksana yang didengar dengan tenang, lebih baik daripada teriakan orang yang berkuasa dalam kalangan bodoh. Hikmah lebih baik daripada segala alat peperangan tetapi seorang pendosa memusnahkan banyak kebaikan.