PENGKHUTBAH 2:17-25
PENGKHUTBAH 2:17-25 Alkitab Berita Baik (BM)
Oleh itu, hidup tidak bermakna bagiku, kerana semua yang telah kualami, memberikan aku kesusahan semata-mata. Semua itu sia-sia; aku telah mengejar angin sahaja. Tiada sesuatu pun yang telah kuusahakan dan kucapai bermakna bagiku, kerana aku tahu bahawa aku mesti menyerahkannya kepada penggantiku. Siapa tahu? Mungkin dia bijak, mungkin dia bodoh! Namun dia akan mewarisi semua yang telah kuusahakan; segala yang telah kuperoleh di dunia dengan hikmatku. Semua itu sia-sia. Aku menyesal kerana telah bekerja begitu keras. Seseorang mengusahakan sesuatu dengan segala hikmat, pengetahuan, dan kemahirannya, kemudian terpaksa menyerahkan segala hasil jerih payahnya kepada seseorang yang tidak mengusahakannya. Bukankah itu sia-sia dan tidak adil? Manusia bekerja dan khuatir seumur hidup, tetapi apakah hasilnya? Selama mereka hidup, semua perbuatan mereka itu mendatangkan kekhuatiran dan penderitaan batin. Pada waktu malam pun hati mereka resah. Semua itu sia-sia! Sebaik-baiknya yang dapat dilakukan oleh manusia adalah makan, minum, dan menikmati hasil usaha mereka. Namun aku sedar bahawa semua ini pemberian Allah juga. Siapakah yang dapat makan dan menikmati hidup tanpa Allah?
PENGKHUTBAH 2:17-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Maka aku membenci kehidupan kerana kerja yang kubuat di bawah matahari perkara yang teruk kepadaku, segala-galanya hanya kesia-siaan laksana usaha menjaring angin. Ya, aku membenci segala usaha jerih payahku yang dilakukan di bawah matahari kerana aku tetap terpaksa meninggalkannya kepada orang yang datang sesudah aku. Siapa yang tahu sama ada orang itu bijaksana atau bodoh? Namun begitu, dia tetap menguasai segala yang kuusahakan dengan jerih payah dan bijaksana di bawah matahari itu. Maka hanya sia-sia juga semuanya. Lalu aku berubah hati dan berputus asa dengan segala usahaku berpenat lelah di bawah matahari. Ada orang yang berjerih payah dengan bijaksana, ilmu pengetahuan dan kemahiran akhirnya terpaksa menyerahkan hasilnya kepada orang yang tidak berpenat lelah untuk hasil itu. Hal ini pun kesia-siaan dan amat malang. Faedah apa yang diperoleh manusia hasil segala usahanya sepenuh hati serta dengan berpenat lelah di bawah matahari? Sepanjang usianya, hidupnya penuh dengan kesedihan dan pekerjaannya begitu teruk, malahan pada malam hari pun ketenteraman tidak mengunjunginya. Itu juga kesia-siaan. Bukankah tiada yang lebih baik bagi manusia kecuali makan dan minum dan bersenang-lenang hasil usahanya berpenat lelah? Aku sedar betapa rahmat itu juga daripada tangan Allah. Sebabnya siapalah yang dapat makan dan merasai kenikmatan itu tanpa rahmat-Nya?