PENGKHUTBAH 10:1-14

PENGKHUTBAH 10:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)

Bangkai lalat boleh merosakkan sebotol minyak wangi, demikian juga kebodohan kecil boleh menghilangkan hikmat yang tertinggi. Wajarlah orang bijak melakukan yang betul, dan orang bodoh melakukan yang salah. Kebodohan mereka boleh dilihat bahkan oleh orang yang ditemui mereka di tengah jalan. Mereka menunjukkan kebodohan kepada semua orang. Jika penguasa marah terhadap kamu, janganlah letak jawatan; kesalahan yang besar dapat diampunkan jika kamu bertenang. Ada lagi ketidakadilan yang telah aku lihat di dunia ini: ketidakadilan yang dilakukan oleh penguasa. Orang bodoh diberikan kedudukan yang bertanggungjawab, sedangkan orang kaya diketepikan. Aku pernah melihat hamba menunggang kuda, sedangkan orang bangsawan berjalan kaki seperti hamba. Sesiapa yang menggali lubang di tanah, akan jatuh ke dalamnya. Sesiapa yang memecahkan tembok akan dipatuk ular. Sesiapa yang bekerja di kuari batu akan luka kena batu. Sesiapa yang membelah kayu, mungkin cedera. Jika kapakmu tumpul dan tidak kamu asah, kamu terpaksa bekerja lebih keras. Lebih baik kamu membuat rancangan terlebih dahulu. Kalau ular dibiarkan memagut sebelum dijinakkan, maka mantera pawang ular tidak berguna lagi. Perkataan orang bijak mendatangkan kehormatan kepada diri mereka, tetapi perkataan orang bodoh merosakkan nama mereka sendiri. Mereka mula bercakap yang bukan-bukan, dan akhirnya bercakap seperti orang gila. Orang bodoh bercakap tidak habis-habis. Tidak sesiapa pun tahu perkara yang akan berlaku pada hari depan, dan tidak sesiapa pun dapat memberitahu kita hal yang akan berlaku setelah kita meninggal.

PENGKHUTBAH 10:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Bangkai lalat menyebabkan minyak pembuat minyak urap berbau busuk; begitu juga sedikit kebodohan lebih besar kesannya daripada hikmah dan kehormatan. Hati orang bijaksana memimpin ke arah yang betul tetapi hati orang bodoh menjurus ke jalan yang salah. Perjalanan orang bodoh pun kurang akal budinya hinggakan ternyata kebodohannya kepada semua orang. Jika meluap kemarahan pihak berkuasa terhadap kamu, janganlah meninggalkan tempatmu, kerana kesabaran menenteramkan kesalahan besar. Ada nahas yang kulihat di bawah matahari sebagaimana kesilapan yang berpunca daripada seorang penguasa: kalangan bodoh mengisi tempat tinggi sedangkan mereka yang kaya memenuhi tempat yang rendah. Kulihat ada abdi yang menunggang kuda manakala para pembesar berjalan kaki seperti kalangan abdi. Sesiapa yang menggali lubang akan jatuh ke dalamnya, dan sesiapa menembusi tembok akan dipagut ular. Sesiapa yang memecahkan batu luka kerana batu dan sesiapa yang membelah kayu akan terancam oleh bahaya daripada kayu itu. Mata kapak yang tumpul dan tidak diasah akan memerlukan penggunanya mengeluarkan tenaga yang banyak tetapi hikmah membantu keberhasilan usaha. Jika ular memagut sebelum mantera dibunyikan, tiadalah kelebihan bagi si pawang ular itu. Kata-kata orang bijaksana penuh kurnia walhal bibir orang bodoh menelan diri orang itu sendiri. Permulaan cakapnya pun bodoh dan penyudahnya hanya kegilaan yang durjana. Si bodoh mengeluarkan kata-kata yang berleret-leret, meskipun tiada seorang manusia yang mengetahui apa akan berlaku dan apa kelak terjadi sesudah dia tiada.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami