PENGKHUTBAH 1:1-18

PENGKHUTBAH 1:1-18 Alkitab Berita Baik (BM)

Berikut ini kata-kata Si Pemikir, raja di Yerusalem. Baginda putera Raja Daud. Semuanya sia-sia dan tidak berguna, kata Si Pemikir. Hidup itu sia-sia, semuanya tidak bererti. Orang bekerja dan membanting tulang seumur hidup, tetapi apakah hasil yang dapat dibanggakan? Keturunan yang satu datang dan keturunan yang lain pergi, tetapi dunia ini tetap sama juga. Matahari terbit dan matahari terbenam, lalu tergesa-gesa kembali ke tempat terbitnya. Angin bertiup ke selatan dan ke utara, berpusing-pusing lalu kembali semula. Tiap-tiap sungai mengalir ke laut, namun laut tidak penuh. Airnya kembali ke hulu sungai, lalu mulai mengalir lagi. Semuanya menjemukan, tidak terkata. Mata tidak puas-puas melihat, telinga tidak puas-puas mendengar. Hal yang telah berlaku dahulu, akan berulang lagi. Apa yang telah dilakukan dahulu, akan dilakukan lagi. Tiada sesuatu yang baru di seluruh dunia ini. “Lihatlah,” kata orang, “yang ini baru!” Tetapi semua itu telah berlaku lama sebelum kita dilahirkan. Tiada sesiapa pun ingat akan kejadian pada masa lampau; kejadian sekarang dan yang akan datang tidak diingat oleh sesiapa pun pada masa hadapan. Aku, Si Pemikir, telah menjadi raja Israel di Yerusalem. Aku bertekad untuk mengkaji dan mempelajari dengan bijaksana segala yang dilakukan di dunia ini. Hidup yang ditentukan oleh Allah bagi manusia di dunia sungguh menyedihkan. Aku telah melihat segala perbuatan orang di dunia, dan sesungguhnya semua itu sia-sia seperti mengejar angin. Yang bengkok tidak dapat diluruskan; yang tidak wujud tidak dapat dihitung. Aku berkata dalam hati, “Aku telah menjadi agung, lebih bijak daripada sesiapa pun yang pernah memerintah Yerusalem sebelum zamanku. Aku tahu akan hikmat dan pengetahuan yang sebenar.” Aku bertekad untuk mengetahui perbezaan antara pengetahuan dan kebodohan, antara hikmat dan kebebalan. Tetapi ternyata aku ini seperti mengejar angin sahaja. Semakin banyak hikmat, semakin banyak kekhuatiran. Semakin banyak pengetahuan, semakin banyak penderitaan.

PENGKHUTBAH 1:1-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Inilah kata-kata Pengkhutbah, anak Daud, raja di Yerusalem. Kesia-siaan semata-mata, kata Pengkhutbah, kesia-siaan semata-mata, segala-galanya hanya sia-sia. Apa keuntungan yang diperoleh manusia atas segala jerih payahnya di bawah matahari? Keturunan terus silih berganti, namun dunia ini tetap ada. Matahari terbit dan terbenam lalu bergegas lagi ke tempat terbitnya. Bertiup angin ke selatan dan berputar pula ke utara lantas terus-menerus berputaran dan kembali menurut kitaran yang sama. Semua sungai mengalir ke laut, namun laut tidak pernah penuh. Maka sungai terus-menerus kembali mengalir ke arah aliran yang sama. Segala sesuatu meletihkan sehingga tidak terkatakan oleh manusia. Mata tidak puas memandang dan telinga tidak jemu mendengar. Yang sudah ada akan diadakan lagi, dan yang sudah dibuat akan dibuat lagi. Tiada apa-apa pun yang baru di bawah matahari. Dalam sesuatu hal, dapatkah dikatakan: “Lihatlah, ini sesuatu yang baru!”? Hal itu sudah sekian lama adanya, sudahlah lama ada sebelum kita ada. Tiadalah kenangan tentang perkara yang lampau. Tiadalah pula kenangan tentang hal-hal yang akan datang bagi mereka yang hidup kelak. Aku, Pengkhutbah, ialah raja pemerintah Israel di Yerusalem. Maka sepenuh hatiku aku tetapkan untuk menerapkan hikmah demi menyelidiki segala yang terjadi di bawah langit. Berat, teruk lagi menghibakan, pekerjaan yang diberikan Allah kepada anak-anak manusia. Telah aku lihat segala perbuatan yang dilakukan orang di bawah matahari, dan lihatlah, betapa segala-galanya semata-mata kesia-siaan bagaikan usaha menjaring angin. Yang bongkok tidak dapat diluruskan, dan apa yang tiada tidak dapat dihitung. Berbicaralah aku dengan hatiku sendiri: “Lihatlah, aku kini hebat dan hikmahku jauh lebih daripada yang dimiliki oleh semua orang yang memerintah Yerusalem sebelum aku. Ya, hatiku sudah mengalami begitu banyak hikmah dan ilmu pengetahuan.” Maka sepenuh hatiku aku tetapkan untuk mengenali hikmah dan mengenali segala yang gila dan yang bodoh. Tetapi aku sedari itu pun usaha menjaring angin. Ada banyak kehibaan dalam banyak hikmah, dan sesiapa yang menambah ilmu pengetahuan sekadar meningkatkan sakit dan rasa hiba.