ULANGAN 6:1-9
ULANGAN 6:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)
“TUHAN, Allah kamu memerintah aku mengajarkan semua hukum ini kepada kamu. Patuhilah semuanya di tanah yang segera akan kamu duduki. Seumur hidup, kamu dan keturunan kamu harus menghormati TUHAN, Allah kamu dan mematuhi segala hukum-Nya yang aku berikan kepada kamu, supaya kamu panjang umur di tanah itu. Dengarkanlah dan patuhilah hukum-hukum itu, hai umat Israel! Dengan demikian kamu akan sejahtera dan menjadi bangsa yang kuat, serta tinggal di tanah yang kaya dan subur itu, sebagaimana yang sudah dijanjikan TUHAN, Allah nenek moyang kita. Ingatlah, hai Israel! TUHAN - dan TUHAN satu-satunya - ialah Allah kita. Kasihilah TUHAN, Allah kamu dengan segenap hati: Tunjukkanlah kasih itu dalam cara hidup dan perbuatan kamu. Jangan sekali-kali lupa akan hukum yang aku berikan kepada kamu hari ini. Ajarkanlah hukum itu kepada anak-anak kamu. Percakapkanlah hukum itu semasa kamu di rumah ataupun berpergian, semasa kamu berehat ataupun bekerja. Ikatkan hukum itu pada lengan kamu dan ikatkannya pada dahi kamu sebagai peringatan. Tuliskanlah hukum itu pada tiang pintu rumah dan pada pintu pagar kamu.”
ULANGAN 6:1-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Inilah perintah, iaitu segala kanun dan peraturan yang kuajarkan kepadamu atas perintah TUHAN, Allahmu, untuk dilaksanakan di negeri yang akan kamu masuki serta duduki, supaya kamu dan anak cucumu takut kepada TUHAN, Allahmu, seumur hidupmu dengan berpegang teguh pada segala kanun serta perintah-Nya yang kusampaikan kepadamu, dan supaya lanjut umurmu. Jadi, dengarlah baik-baik, wahai Israel! Laksanakanlah semua itu dengan setia supaya baik keadaanmu dan supaya jumlahmu menjadi sangat ramai di negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu, seperti yang telah dijanjikan TUHAN, Allah nenek moyangmu, kepadamu. Dengarlah, wahai Israel! TUHAN ialah Allah kita. TUHAN itu esa. Kasihilah TUHAN, Allahmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu, dan dengan sepenuh kekuatanmu. Simpanlah dalam hatimu kata-kata yang kusampaikan kepadamu pada hari ini. Ajarkanlah kesemuanya dengan saksama kepada anak-anakmu dan bicarakanlah semua itu ketika engkau duduk di rumahmu, ketika engkau dalam perjalanan, ketika engkau berbaring, dan ketika engkau bangun. Ikatkanlah semua itu sebagai tanda peringatan pada tangan dan dahimu, kemudian tuliskanlah pada tiang-tiang pintu rumahmu dan pada pintu-pintu gerbangmu.