ULANGAN 4:9-14
ULANGAN 4:9-14 Alkitab Berita Baik (BM)
Berjaga-jagalah! Pastikanlah bahawa selama kamu hidup, kamu tidak sekali-kali lupa akan perkara yang sudah kamu lihat dengan mata kamu sendiri. Beritahulah anak cucu kamu tentang hari itu, ketika kamu berdiri di hadapan TUHAN, Allah kamu di Gunung Sinai. Pada masa itu Dia berfirman kepadaku, ‘Kumpulkanlah umat ini. Aku mahu mereka mendengar firman-Ku supaya mereka belajar taat kepada-Ku seumur hidup, dan supaya mereka mengajar anak-anak mereka untuk taat kepada-Ku.’ Beritahulah anak-anak kamu bagaimana kamu datang dan berdiri di kaki gunung yang diliputi oleh awan tebal daripada asap hitam, dan oleh api yang menyala sampai ke langit. Beritahulah mereka bagaimana TUHAN berfirman kepada kamu dari dalam api itu, dan bagaimana kamu mendengar suara-Nya tetapi tidak melihat Dia dalam bentuk apa pun. Dia memberitahu kamu apa yang harus kamu lakukan untuk menepati perjanjian yang sudah dibuat-Nya dengan kamu; kamu mesti mematuhi Sepuluh Hukum yang ditulis-Nya pada dua buah batu tulis. TUHAN menyuruh aku mengajar kamu semua hukum yang mesti kamu patuhi di tanah yang segera akan kamu rebut dan duduki.”
ULANGAN 4:9-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Hanya, berhati-hatilah dan jagalah dirimu baik-baik. Jangan sampai kamu lupa akan hal-hal yang telah kamu lihat dengan matamu sendiri, dan jangan sampai semua itu lenyap daripada hatimu seumur hidupmu. Ceritakanlah kepada anak cucumu tentang hari ketika kamu menghadap hadirat TUHAN, Allahmu, di Horeb. Pada waktu itu TUHAN berfirman kepadaku, ‘Kumpulkanlah bangsa itu di hadapan-Ku. Aku akan memperdengarkan firman-Ku, supaya mereka dapat belajar bertakwa kepada-Ku seumur hidup mereka di bumi dan dapat mengajarkannya pula kepada anak-anak mereka.’ Kemudian kamu tampil dekat dan berdiri di kaki gunung itu, sementara gunung itu menyala dengan api sampai ke pusat langit di tengah-tengah kegelapan, awan, dan kelam pekat. Lalu berfirmanlah TUHAN kepadamu dari tengah-tengah api itu. Bunyi firman itu kamu dengar, tetapi kamu tidak melihat sesuatu bentuk pun. Yang ada hanya suara. Dia menyatakan kepadamu perjanjian-Nya dan memerintahkan kamu untuk melakukannya, iaitu Sepuluh Hukum, yang kemudian dituliskan-Nya pada dua buah loh batu. Pada waktu itu, TUHAN memerintahkan aku untuk mengajarkan segala kanun dan peraturan ini kepadamu, supaya kamu melaksanakannya di negeri yang akan kamu masuki serta duduki kelak.