ULANGAN 4:3-10

ULANGAN 4:3-10 Alkitab Berita Baik (BM)

Kamu sendiri sudah nampak apa yang dilakukan oleh TUHAN di Gunung Peor. Di sana Dia membinasakan tiap-tiap orang yang memuja Baal, tetapi kamu yang tetap setia kepada TUHAN, Allah kamu, masih hidup hingga hari ini. Aku sudah mengajar kamu segala hukum itu, seperti yang telah diperintahkan oleh TUHAN, Allahku. Patuhilah semua hukum itu di tanah yang akan kamu rebut dan duduki. Patuhilah hukum itu dengan setia. Dengan demikian, kebijaksanaan kamu akan menjadi nyata kepada bangsa lain. Apabila mereka mendengar tentang semua hukum itu, mereka akan berkata, ‘Alangkah bijaksana dan arifnya bangsa yang besar itu!’ Tidak ada bangsa mana pun, walaupun bangsa besar, yang mempunyai tuhan yang begitu dekat apabila diperlukan mereka sebagaimana TUHAN, Allah kita dekat kepada kita. Dia menjawab bila-bila sahaja kita berseru meminta pertolongan. Tidak ada bangsa mana pun, walaupun bangsa besar, yang mempunyai hukum seadil hukum yang sudah aku ajarkan kepada kamu hari ini. Berjaga-jagalah! Pastikanlah bahawa selama kamu hidup, kamu tidak sekali-kali lupa akan perkara yang sudah kamu lihat dengan mata kamu sendiri. Beritahulah anak cucu kamu tentang hari itu, ketika kamu berdiri di hadapan TUHAN, Allah kamu di Gunung Sinai. Pada masa itu Dia berfirman kepadaku, ‘Kumpulkanlah umat ini. Aku mahu mereka mendengar firman-Ku supaya mereka belajar taat kepada-Ku seumur hidup, dan supaya mereka mengajar anak-anak mereka untuk taat kepada-Ku.’

ULANGAN 4:3-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Matamu sendiri telah melihat apa yang dilakukan TUHAN di Baal-Peor. Semua orang yang mengikuti Baal-Peor dibinasakan oleh TUHAN, Allahmu, daripada kalangan kamu. Akan tetapi, kamu semua yang teguh berpaut pada TUHAN, Allahmu, masih hidup sampai hari ini. Ingatlah, seperti yang diperintahkan kepadaku oleh TUHAN, Allahku, aku telah mengajarmu segala kanun dan peraturan untuk dilaksanakan di negeri yang akan kamu masuki serta duduki kelak. Peganglah teguh dan lakukanlah semua itu, kerana semua itu akan menjadi hikmah dan kearifan kamu di hadapan mata bangsa-bangsa lain. Ketika mereka mendengar segala kanun ini, mereka akan berkata, ‘Sesungguhnya, bangsa yang besar ini memang kalangan yang berhikmah dan arif!’ Bangsa besar manakah yang mempunyai tuhan yang sedemikian dekat kepada mereka seperti TUHAN, Allah kita dekat kepada kita bila-bila sahaja kita berseru kepada-Nya? Bangsa besar manakah yang mempunyai segala kanun dan peraturan yang adil seperti seluruh hukum Taurat yang kusampaikan kepadamu pada hari ini? Hanya, berhati-hatilah dan jagalah dirimu baik-baik. Jangan sampai kamu lupa akan hal-hal yang telah kamu lihat dengan matamu sendiri, dan jangan sampai semua itu lenyap daripada hatimu seumur hidupmu. Ceritakanlah kepada anak cucumu tentang hari ketika kamu menghadap hadirat TUHAN, Allahmu, di Horeb. Pada waktu itu TUHAN berfirman kepadaku, ‘Kumpulkanlah bangsa itu di hadapan-Ku. Aku akan memperdengarkan firman-Ku, supaya mereka dapat belajar bertakwa kepada-Ku seumur hidup mereka di bumi dan dapat mengajarkannya pula kepada anak-anak mereka.’

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami