ULANGAN 32:1-20

ULANGAN 32:1-20 Alkitab Berita Baik (BM)

“Hai langit dan bumi, dengarlah kata-kataku, dengarlah baik-baik ucapanku. Ajaranku akan turun seperti air hujan, dan menjadi seperti embun di atas bumi. Perkataanku akan turun seperti hujan yang menyirami tanaman muda, dan seperti hujan rintik-rintik yang turun ke atas rerumputan. Aku akan memuji nama TUHAN, dan umat-Nya akan memberitakan kebesaran-Nya. TUHAN pembela kamu yang perkasa, Dia sempurna dan adil dalam segala perkara; Allah kamu setia, tidak ada kecurangan pada-Nya, Dia melakukan yang baik dan yang benar. Tetapi kamu tidak setia, dan tidak layak menjadi umat-Nya; kamu bangsa yang suka menipu dan berdosa. Begitukah caranya kamu memperlakukan TUHAN, hai kamu orang bodoh, dan tidak berfikiran? Dialah Bapa kamu, Pencipta kamu, Dialah yang menjadikan kamu satu bangsa. Ingatlah akan masa lampau, zaman dahulu kala; mintalah bapa kamu menceritakannya kepada kamu; mintalah orang tua-tua menceritakan kisah yang lalu. Ketika Yang Maha Tinggi membahagi tanah kepada bangsa-bangsa, Dia menentukan wilayah tempat tinggal mereka, dengan malaikat sebagai pelindung, tetapi keturunan Yakub dipilih oleh TUHAN untuk diri-Nya sendiri. Dia menjumpai mereka mengembara di padang gurun, padang pasir yang sepi dan terdedah kepada angin. Dia melindungi dan memelihara mereka sebagaimana Dia menjaga biji mata-Nya. Sebagaimana burung helang mengajar anaknya terbang, dan menampungnya dengan sayap yang terbentang, demikianlah TUHAN menjaga Israel supaya tidak jatuh. TUHAN sendiri yang memimpin umat-Nya, tanpa dibantu oleh tuhan-tuhan lain. Dia membolehkan mereka memerintah di gunung-gunung, mereka makan hasil tanaman di ladang-ladang. Mereka mendapat madu hutan di bukit batu; pokok zaitun mereka tumbuh subur di tanah yang berbatu. Lembu dan kambing mereka menghasilkan banyak susu; mereka mempunyai domba, kambing, dan lembu yang terbaik, dan juga gandum, serta wain yang terbaik. Umat TUHAN menjadi kaya, tetapi suka memberontak, mereka kenyang dengan makanan, dan mereka gemuk. Mereka meninggalkan Allah, Pencipta mereka, dan menolak Penyelamat mereka yang perkasa. Mereka menyembah berhala, dan menjadikan TUHAN cemburu, mereka melakukan kejahatan, dan menjadikan-Nya murka. Mereka mempersembahkan korban kepada roh-roh jahat, dan bukan kepada Allah, tuhan-tuhan baru yang tidak dikenal oleh nenek moyang mereka, dewa-dewa yang tidak pernah ditaati oleh Israel. Mereka lupa akan Allah, Penyelamat yang perkasa, Dia yang memberi mereka kehidupan. Apabila TUHAN melihat hal itu, Dia murka, anak-anak-Nya lelaki dan perempuan, ditolak oleh-Nya. ‘Aku tidak mahu menolong mereka lagi,’ firman-Nya, ‘Aku hendak melihat apa yang akan berlaku kepada mereka, umat yang degil dan tidak setia.

ULANGAN 32:1-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

“Berikanlah perhatian, wahai langit, aku hendak berkata-kata. Dengarlah, wahai bumi, ucapan mulutku. Semoga pengajaranku menitik seperti hujan dan perkataanku menitis ke atas rumput muda, bagai hujan lebat ke atas tumbuh-tumbuhan. Aku hendak memasyhurkan nama TUHAN. Nyatakanlah keagungan Allah kita! Dialah Batu Pejal yang sempurna pekerjaan-Nya kerana adil segala jalan-Nya. Allah yang setia, tanpa kecurangan. Dia adil dan benar. Mereka berbuat kekejian terhadap Dia. Oleh sebab noda mereka, mereka bukan lagi anak-anak-Nya, suatu keturunan yang khianat dan rosak fikiran. Begitukah balasanmu terhadap TUHAN, wahai bangsa yang bodoh dan tidak peka? Bukankah Dia Bapamu yang menebus kamu, yang menjadikan dan mengukuhkan kamu? Ingatlah zaman dahulu, pertimbangkanlah tahun-tahun angkatan yang lalu. Tanyalah kepada ayahmu, maka dia akan menunjukkan kepadamu; kepada para tua-tuamu, maka mereka akan memberitahu kamu. Ketika Yang Maha Tinggi membahagi-bahagikan harta pusaka kepada bangsa-bangsa, ketika Dia memisah-misahkan anak manusia, Dia menetapkan daerah bangsa-bangsa menurut jumlah orang Israel. Tetapi bahagian TUHAN ialah umat-Nya, Yakub ialah bahagian harta pusaka-Nya. Didapati-Nya Yakub di daerah gurun, di gurun yang gersang, tempat binatang mengaum. Dikelilingi-Nya dia, diperhatikan-Nya, dan dijaga-Nya seperti apa yang disayangi-Nya. Bagai rajawali menggoncang-goncangkan sarangnya, melayang-layang di atas anak-anaknya, mengembangkan sayapnya, mengambil mereka, dan membawa mereka di atas sayapnya, demikianlah TUHAN sendiri menuntun dia dan tidak ada tuhan asing menyertai dia. Dibuat-Nya dia menunggangi tempat-tempat tinggi di bumi, sehingga dia menikmati hasil ladang. Dibuat-Nya dia menghisap madu daripada bukit batu, dan minyak dari batu pejal yang keras, dadih daripada kawanan lembu dan susu daripada kawanan domba, dengan lemak anak-anak domba; domba-domba jantan muda dari Basan dan kambing-kambing jantan, dengan gandum yang terbaik; juga dari buah anggur yang diperas kauminum air anggur. Namun Yesyurun menjadi gemuk dan menendang ke belakang. Kamu menjadi gemuk, besar, dan tambun! Dia meninggalkan Allah yang telah menjadikannya dan menghina Batu Pejal sumber penyelamatannya. Mereka menyebabkan Dia cemburu dengan tuhan-tuhan asing, mereka membangkitkan murka-Nya dengan tuhan-tuhan kekejian. Mereka mempersembahkan korban kepada roh-roh iblis, bukan Allah; kepada tuhan-tuhan yang tidak dikenal mereka, tuhan-tuhan baru yang belum lama muncul, yang tidak ditakuti oleh nenek moyangmu. Kamu mengabaikan Batu Pejal yang menciptakanmu, dan kamu melupakan Allah yang menjadikanmu. TUHAN melihat hal itu dan menolak mereka, kerana kemurkaan-Nya telah dibangkitkan oleh anak-anak-Nya baik lelaki mahupun perempuan. Firman-Nya, ‘Aku akan menyembunyikan hadirat-Ku daripada mereka. Aku akan melihat bagaimana kesudahan mereka, kerana mereka itu angkatan yang serong, anak-anak yang tidak setia.