ULANGAN 29:1-29
ULANGAN 29:1-29 Alkitab Berita Baik (BM)
Inilah syarat-syarat perjanjian yang diperintahkan TUHAN kepada Musa, untuk dibuat dengan umat Israel semasa mereka di tanah Moab. Perjanjian itu merupakan tambahan kepada perjanjian yang dibuat oleh TUHAN dengan mereka di Gunung Sinai. Musa menyuruh semua orang Israel berkumpul lalu berkata kepada mereka, “Kamu sendiri melihat apa yang sudah dilakukan TUHAN terhadap raja Mesir, pegawai-pegawainya, dan seluruh negerinya. Kamu sudah nampak wabak yang dahsyat, mukjizat, dan keajaiban yang dilakukan TUHAN. Tetapi sampai hari ini Dia masih belum membolehkan kamu memahami semua yang sudah kamu alami. Selama empat puluh tahun ketika TUHAN memimpin kamu melalui padang gurun, pakaian dan kasut kamu tidak usang. Kamu tidak mempunyai roti untuk makanan, wain atau minuman keras untuk minuman, tetapi TUHAN menyediakan segala keperluan kamu supaya kamu tahu bahawa Dialah Allah kamu. Apabila kita sampai ke tempat ini, Raja Sihon dari Hesybon dan Raja Og dari Basan datang menyerang kita, tetapi kita mengalahkan mereka dan merebut tanah mereka. Kemudian kita memberikan tanah mereka kepada suku Ruben, Gad, dan separuh suku Manasye. Patuhilah dengan setia semua syarat perjanjian ini supaya kamu berjaya dalam segala usaha kamu. Pada hari ini kamu semua berdiri di hadapan TUHAN, Allah kamu: semua pemimpin, pegawai, kaum lelaki, kaum wanita, kanak-kanak, dan orang asing yang tinggal bersama dengan kamu, yang memotong kayu serta mengambil air untuk kamu. Kamu berada di sini pada hari ini untuk mengikat perjanjian yang dibuat oleh TUHAN, Allah kamu dengan kamu, dan untuk menerima kewajipan-kewajipannya. Dengan perjanjian itu, TUHAN mengesahkan kamu menjadi umat-Nya, dan Dia menjadi Allah kamu, seperti yang dijanjikan-Nya kepada kamu dan kepada nenek moyang kamu, Abraham, Ishak, dan Yakub. TUHAN membuat perjanjian ini dengan segala tuntutannya, bukan dengan kami sahaja melainkan dengan kita semua yang berdiri di sini pada hari ini, di hadapan TUHAN, Allah kita, dan juga dengan keturunan kita pada masa hadapan.” “Kamu masih ingat akan kehidupan kamu di Mesir, dan keadaannya semasa kamu melalui negeri-negeri bangsa lain. Kamu nampak patung-patung berhala mereka yang menjijikkan, yang dibuat daripada kayu, batu, perak, dan emas. Oleh itu, jagalah supaya tidak seorang pun di sini pada hari ini, sama ada lelaki, perempuan, keluarga, ataupun suku yang berpaling daripada TUHAN, Allah kita, lalu menyembah tuhan-tuhan bangsa lain. Perbuatan itu bagaikan akar yang tumbuh menjadi tanaman pahit dan beracun. Di kalangan kamu yang mendengar tuntutan keras itu pada hari ini, jangan ada seorang pun yang berfikir bahawa dia akan tetap selamat meskipun dia berdegil dan menuruti kemahuannya sendiri. Perbuatan seperti itu akan membinasakan kamu semua, orang yang baik mahupun yang jahat. TUHAN tidak akan mengampuni orang seperti itu. Sebaliknya, kemurkaan TUHAN yang bernyala-nyala akan menghanguskan orang itu, dan segala bencana yang tertulis di dalam kitab ini akan menimpa dia sehingga TUHAN membinasakan dia sama sekali. TUHAN akan menjadikan dia satu contoh di hadapan semua suku Israel, lalu menimpa dia dengan segala kutuk yang disebut dalam perjanjian, yang tertulis di dalam kitab ini, yang mengandungi ajaran TUHAN. Pada kemudian hari, keturunan kamu dan orang asing dari negeri-negeri jauh akan melihat bencana dan penderitaan yang didatangkan TUHAN ke tanah kamu. Ladang kamu akan menjadi kersang dan tidak berguna kerana diliputi belerang dan garam. Tanahnya tidak dapat ditanami, bahkan rumput pun tidak dapat tumbuh di sana. Tanah kamu akan menjadi seperti kota Sodom, Gomora, Adma, dan Zeboim yang dimusnahkan TUHAN ketika Dia sangat murka. Pada masa itu seluruh dunia akan bertanya, ‘Mengapakah TUHAN berbuat demikian terhadap tanah mereka? Apakah yang menyebabkan Dia murka sedahsyat itu?’ Jawapannya adalah, ‘Oleh sebab umat TUHAN itu memungkiri perjanjian yang dibuat mereka dengan TUHAN, Allah nenek moyang mereka, ketika Dia membawa mereka keluar dari Mesir. Mereka mengabdi kepada tuhan-tuhan lain yang belum pernah disembah oleh mereka, padahal TUHAN melarang mereka berbuat demikian. Itulah sebabnya TUHAN murka terhadap umat-Nya dan mendatangkan segala bencana yang tertulis di dalam kitab ini ke tanah mereka. Kemurkaan TUHAN menjadi begitu dahsyat sehingga Dia mencabut umat Israel dari negeri mereka, lalu membuang mereka ke tanah asing sampai hari ini.’ Memang ada beberapa hal yang dirahsiakan oleh TUHAN, Allah kita, tetapi Dia sudah menyatakan Taurat-Nya kepada kita, dan kita serta keturunan kita mesti mematuhinya selama-lamanya.”
ULANGAN 29:1-29 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Inilah perkataan perjanjian yang diikat Musa dengan orang Israel di Tanah Moab atas perintah TUHAN, di samping perjanjian yang telah diikat-Nya dengan mereka di Horeb. Musa memanggil semua orang Israel lalu berkata kepada mereka, “Kamu sudah melihat segala hal yang dilakukan TUHAN di hadapan matamu di Tanah Mesir terhadap Firaun, terhadap seluruh pegawainya, dan terhadap seluruh negerinya. Matamu sendiri melihat dugaan yang besar, tanda ajaib, dan mukjizat yang besar itu. Tetapi sampai sekarang ini TUHAN belum juga mengurniakan kepadamu akal budi untuk memahami, mata untuk melihat, dan telinga untuk mendengar. Aku telah memimpin kamu di gurun ini selama empat puluh tahun. Pakaianmu tidak menjadi lusuh di tubuhmu dan kasutmu tidak menjadi usang di kakimu. Roti tidak kamu makan dan air anggur atau minuman keras tidak kamu minum, supaya kamu tahu bahawa Akulah TUHAN, Allahmu. Sesampainya kamu ke tempat ini, Sihon, raja Hesbon dan Og, raja Basan keluar menghadapi kita untuk berperang, tetapi kita mengalahkan mereka. Kita merebut negeri mereka lalu memberikannya kepada suku Ruben, kepada suku Gad, dan kepada separuh suku Manasye sebagai harta pusaka mereka. Oleh sebab itu peganglah dengan teguh perkataan perjanjian ini dan lakukanlah semua itu, supaya kamu berhasil dalam segala sesuatu yang kamu lakukan. Pada hari ini kamu semua berdiri di hadapan TUHAN, Allahmu: para ketua sukumu, para tua-tuamu, para pengatur pasukanmu, semua lelaki Israel, anak-anakmu, isteri-isterimu, dan para pendatang yang ada di perkhemahanmu, juga para pembelah kayu api sampai para penimba air. Kamu hadir untuk masuk ke dalam perjanjian TUHAN, Allahmu, serta ke dalam sumpah yang diikat TUHAN, Allahmu, denganmu pada hari ini, supaya Dia meneguhkan kamu pada hari ini sebagai umat-Nya dan supaya Dia menjadi Allahmu, seperti yang dijanjikan-Nya dan disumpah-Nya kepada nenek moyangmu, iaitu Abraham, Ishak, dan Yakub. Perjanjian serta sumpah ini bukan hanya kuikat dengan kamu sahaja, iaitu setiap orang yang pada hari ini berdiri di sini bersama dengan kita di hadapan TUHAN, Allah kita, melainkan juga dengan setiap orang yang pada hari ini tidak berada di sini bersama-sama kita. Kamu tahu bagaimana kita tinggal di Tanah Mesir dan bagaimana kita berjalan di tengah-tengah bangsa yang telah kamu lalui. Kamu telah melihat barang-barang kejijikan dan berhala-berhala mereka yang terbuat daripada kayu, batu, perak, atau emas yang ada antara mereka. Jangan sampai ada antaramu lelaki, perempuan, kaum, ataupun suku yang pada hari ini hatinya berpaling daripada TUHAN, Allah kita, untuk pergi beribadat menyembah tuhan bangsa-bangsa itu. Jangan sampai ada antaramu akar yang menghasilkan pokok beracun atau buah yang pahit. Jika orang semacam itu mendengar perkataan laknat ini, dia menyangka bahawa dirinya tetap diberkati, katanya, ‘Aku akan tetap sejahtera, meskipun aku hidup dalam kedegilan hatiku.’ Akibatnya lenyaplah tanah yang basah mahupun yang kering. TUHAN tidak akan rela mengampuni orang itu. Sebaliknya, kemurkaan TUHAN serta kecemburuan-Nya akan membara terhadap orang itu pada waktu itu. Segala laknat yang tertulis dalam kitab ini akan menimpanya, dan TUHAN akan menghapuskan namanya dari kolong langit. TUHAN akan memisahkan dia daripada segala suku Israel dan membuatnya tertimpa bencana, selaras dengan segala laknat daripada perjanjian yang tertulis dalam Kitab Suci Taurat ini. Keturunan yang kemudian, iaitu anak-anakmu yang akan muncul setelah kamu, serta orang asing yang datang dari negeri jauh akan menyaksikan azab yang menimpa negeri itu, juga penderitaan yang didatangkan TUHAN kepadanya. Seluruh negeri itu menjadi hangus dengan belerang dan garam, tidak dapat disemai, tidak dapat menumbuhkan sesuatu, dan tidak tumbuh sesuatu pun di atasnya, sama seperti kehancuran Sodom, Gomora, Adma, dan Zeboim, yang ditunggangbalikkan TUHAN dalam kemurkaan serta amarah-Nya. Segala bangsa akan berkata, ‘Mengapakah TUHAN memperlakukan negeri ini demikian? Apakah erti bernyala-nyalanya kemurkaan-Nya yang hebat ini?’ Lalu orang akan menjawab, ‘Sebab mereka mengabaikan perjanjian TUHAN, Allah nenek moyang mereka, yang diikat-Nya dengan mereka ketika Dia membawa mereka keluar dari Tanah Mesir. Mereka pergi beribadat menyembah tuhan-tuhan lain dan sujud menyembah semua itu, iaitu tuhan-tuhan yang tidak dikenal mereka dan yang tidak diperuntukkan TUHAN untuk mereka. Sebab itulah kemurkaan TUHAN menyala-nyala terhadap negeri ini, sehingga Dia mendatangkan ke atasnya segala kutukan yang tertulis dalam kitab ini. Dalam kemurkaan-Nya, kegusaran-Nya, serta dalam amarah-Nya yang besar TUHAN mencabut mereka daripada tanah mereka lalu dibuang-Nya mereka ke negeri lain, seperti yang terjadi pada hari ini.’ Hal-hal yang tersembunyi adalah bagi TUHAN, Allah kita, tetapi hal-hal yang dinyatakan adalah bagi kita dan bagi anak-anak kita untuk selama-lamanya, supaya kita dapat mengikut semua kata dalam hukum Taurat ini.