ULANGAN 15:7-11
ULANGAN 15:7-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Jika ada seorang Israel yang memerlukan pertolongan di salah sebuah kota di tanah yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu, jangan pentingkan diri sendiri, dan jangan kamu enggan memberikan pertolongan kepadanya. Sebaliknya, kamu harus bermurah hati dan memberi pinjam kepada orang itu seberapa banyak yang diperlukannya. Jangan kamu enggan memberi dia pinjam sesuatu, hanya kerana tahun untuk menghapuskan hutang sudah hampir. Jangan biar fikiran sejahat itu masuk ke dalam hati kamu. Jika kamu enggan memberi pinjam, orang itu akan mengadu kepada TUHAN, dan kamu akan dinyatakan bersalah. Berilah dia apa sahaja dengan rela dan murah hati, lalu TUHAN akan memberkati kamu dalam segala usaha kamu. Di kalangan orang Israel, selalu akan terdapat beberapa orang miskin dan yang memerlukan pertolongan. Oleh itu aku memerintahkan kamu supaya bermurah hati terhadap mereka.”
ULANGAN 15:7-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Apabila antaramu ada orang miskin, iaitu salah seorang saudaramu di kota mana pun di negeri yang dikurniakan TUHAN, Allahmu, kepadamu, maka jangan keraskan hatimu dan jangan tutup tanganmu terhadap saudaramu yang miskin itu. Sebaliknya, bukalah tanganmu lebar-lebar baginya dan berilah pinjaman dengan murah hati kepadanya untuk mencukupkan sebarang kekurangan yang dialaminya. Hati-hati, jangan sampai tersimpan fikiran tidak wajar seperti ini dalam hatimu, ‘Hampir tiba tahun ketujuh, iaitu tahun pembebasan hutang,’ lalu engkau memandang saudaramu yang miskin itu dengan mata yang jahat dan tidak memberikan apa-apa kepadanya. Dia akan berseru kepada TUHAN mengenai engkau, dan engkau akan menjadi berdosa. Berilah dengan murah hati. Janganlah hatimu berat ketika engkau memberikan kepadanya. Maka kerana hal itu TUHAN, Allahmu, akan memberkati segala pekerjaanmu dan segala usaha kamu. Orang miskin memang tidak akan pernah habis di negeri itu lantas aku memerintahkan kepadamu supaya kamu membuka tanganmu lebar-lebar bagi saudaramu, iaitu bagi orang yang tertindas dan yang miskin di negerimu.