ULANGAN 14:23-29 - Compare All Versions
ULANGAN 14:23-29 BM (Alkitab Berita Baik)
Kemudian pergilah ke satu tempat yang dipilih oleh TUHAN, Allah kamu sebagai tempat ibadat. Di hadirat TUHAN, Allah kamu, di tempat yang dipilih-Nya itu, makanlah persembahan persepuluhan itu: biji-bijian, wain, minyak zaitun, anak sulung lembu, dan anak sulung domba kamu. Buatlah demikian supaya kamu sentiasa belajar menghormati TUHAN, Allah kamu. Jika kamu tinggal terlalu jauh dari satu tempat ibadat itu, dan susah bagi kamu membawa persembahan persepuluhan daripada hasil ladang yang diberikan oleh TUHAN, kepada kamu, maka lakukanlah hal ini: Juallah hasil ladang itu dan bawalah wang harganya ke satu tempat ibadat itu. Dengan wang itu belilah apa sahaja yang kamu mahu - lembu, domba, wain, dan minuman keras. Kemudian di tempat itu, di hadirat TUHAN, Allah kamu, kamu dan keluarga kamu harus makan dan bersukacita. Jangan abaikan orang Lewi yang tinggal di kota-kota kamu; mereka tidak mempunyai harta milik. Pada akhir setiap tahun ketiga, bawalah persembahan persepuluhan daripada segala hasil tanaman kamu dan simpanlah semuanya di dalam kota-kota kamu. Makanan itu untuk orang Lewi kerana mereka tidak mempunyai harta milik. Makanan itu juga untuk orang asing, anak yatim piatu, dan balu yang tinggal di kota-kota kamu. Mereka boleh datang dan mengambil segala yang diperlukan mereka. Buatlah demikian, maka TUHAN, Allah kamu akan memberkati kamu dalam segala usaha kamu.”
ULANGAN 14:23-29 AVB (Alkitab Versi Borneo)
Makanlah persembahan sepersepuluh daripada gandummu, anggurmu, minyakmu, dan anak-anak sulung daripada kawanan lembumu atau kawanan dombamu di hadapan TUHAN, Allahmu, iaitu di tempat yang akan dipilih-Nya sebagai tempat untuk menegakkan nama-Nya. Dengan demikian engkau belajar untuk sentiasa bertakwa kepada TUHAN, Allahmu. Akan tetapi, jika perjalanannya terlalu jauh bagimu kerana tempat yang akan dipilih TUHAN, Allahmu, untuk menegakkan nama-Nya itu terlalu jauh daripadamu, padahal TUHAN, Allahmu, telah memberkati kamu sedemikian sehingga kamu tidak dapat mengangkut persembahan sepersepuluh kamu, maka hendaklah engkau menukarnya dengan wang. Bungkuslah wang itu dan bawalah ke tempat yang akan dipilih TUHAN, Allahmu. Belanjakanlah wang itu untuk sesuatu yang disukai hatimu — lembu, domba, atau air anggur, atau minuman hasil petapaian, atau apa-apa pun yang diinginkan hatimu — lalu engkau bersama dengan keluargamu harus makan dan bersuka ria di sana, di hadapan TUHAN, Allahmu. Jangan abaikan bani Lewi yang ada di kotamu, kerana mereka tidak mendapat bahagian atau harta pusaka seperti halnya kamu. Pada akhir setiap tiga tahun, keluarkanlah segala persembahan sepersepuluh dari hasil usaha kamu dalam tahun itu dan tempatkanlah di kotamu, supaya orang Lewi, yang tidak mendapat bahagian atau harta pusaka seperti kamu, demikian pula para pendatang, anak yatim, dan balu yang ada di kotamu dapat datang dan makan sampai kenyang. Dengan demikian TUHAN, Allahmu, akan memberkati segala pekerjaan yang dilakukan tanganmu.