ULANGAN 10:12-19
ULANGAN 10:12-19 Alkitab Berita Baik (BM)
“Sekarang, hai umat Israel, dengarlah tuntutan TUHAN, Allah kamu daripada kamu: Hormatilah TUHAN dan laksanakanlah segala perintah-Nya. Kasihilah Dia dan mengabdilah kepada-Nya dengan segenap hati; patuhilah segala hukum-Nya. Aku memberikan hukum-hukum itu kepada kamu hari ini untuk kepentingan kamu. Langit yang tertinggi sekalipun milik TUHAN; bumi dan segala yang ada di atasnya juga milik Dia. Namun kasih TUHAN terhadap nenek moyang kamu sedemikian besar sehingga Dia memilih kamu dari antara semua bangsa, dan kamu tetap umat pilihan-Nya. Oleh itu, mulai sekarang, taatlah kepada TUHAN dan jangan keras kepala lagi. TUHAN, Allah kamu itu berkuasa atas semua tuhan lain dan semua kekuasaan. Dia agung dan berkuasa, dan Dia harus ditaati. Dia tidak berat sebelah dan tidak menerima rasuah. Dia memastikan agar anak yatim piatu dan balu diperlakukan dengan adil. Dia mengasihi orang asing yang tinggal bersama dengan bangsa kita; Dia memberi mereka makanan dan pakaian. Oleh itu, kamu harus mengasihi orang asing tersebut kerana kamu sendiri pernah menjadi orang asing di Mesir.
ULANGAN 10:12-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sekarang, wahai orang Israel, apakah yang dituntut TUHAN, Allahmu, daripada dirimu? Tidak lain daripada takut kepada TUHAN, Allahmu, hidup menurut segala jalan-Nya, mengasihi-Nya, beribadat kepada TUHAN, Allahmu, dengan sepenuh hatimu dan dengan sepenuh jiwamu, serta berpegang teguh pada segala perintah TUHAN dan segala kanun-Nya yang kusampaikan kepadamu pada hari ini, supaya baik keadaanmu. Sesungguhnya, TUHAN, Allahmu, yang empunya langit, bahkan langit di atas segala langit, juga bumi dengan segala isinya. Meskipun begitu, kepada nenek moyangmulah TUHAN terpaut sehingga Dia mengasihi mereka dan memilih kamu, iaitu keturunan mereka, daripada segala bangsa seperti yang terjadi pada hari ini. Oleh sebab itu, sunatlah hatimu dan jangan lagi keras kepala. TUHAN, Allahmu, sememangnya Allah segala allah, Tuhan segala tuhan, Allah yang besar, perkasa, dan tersangat hebat, yang tidak memilih kasih serta tidak menerima sogokan. Dia membela hak anak yatim dan balu. Dia mengasihi kaum pendatang, dan memberikan kepada mereka makanan serta pakaian. Oleh sebab itu hendaklah kamu mengasihi kaum pendatang, kerana kamu pun pernah menjadi pendatang di Tanah Mesir.