DANIEL 9:24-27
DANIEL 9:24-27 Alkitab Berita Baik (BM)
Tujuh kali tujuh puluh tahun ialah jangka masa yang telah ditentukan Allah untuk membebaskan bangsamu dan kotamu yang suci itu daripada dosa dan kejahatan. Dosa akan diampunkan dan keadilan yang kekal akan ditegakkan, agar penglihatan dan nubuat itu menjadi kenyataan, dan agar Rumah TUHAN yang suci ditahbiskan semula. Perhatikanlah dan fahamilah hal ini: Dari saat perintah dikeluarkan untuk membina semula Yerusalem, hingga kedatangan pemimpin yang dipilih oleh Allah, jangka masanya ialah tujuh kali tujuh tahun. Yerusalem akan dibina semula dengan jalan-jalan raya dan pertahanan yang kuat, dan akan bertahan selama tujuh kali enam puluh dua tahun, tetapi masa itu penuh kesusahan. Pada akhir jangka masa itu, pemimpin yang dipilih oleh Allah itu akan dibunuh walaupun dia tidak bersalah. Kota Yerusalem dan Rumah TUHAN akan dimusnahkan oleh pasukan tentera seorang raja yang berkuasa. Akhir jangka masa itu akan tiba seperti banjir yang membawa peperangan dan kemusnahan yang telah ditentukan oleh Allah. Raja itu akan membuat perjanjian yang kukuh dengan banyak orang selama tujuh tahun. Pada pertengahan jangka masa itu, raja itu akan menghentikan segala korban dan persembahan. Kemudian sesuatu yang disebut ‘Bencana Yang Dahsyat’ akan diletakkan di Rumah TUHAN, dan tetap di situ sehingga orang yang meletakkannya menemui kebinasaan yang telah ditentukan oleh Allah baginya.”
DANIEL 9:24-27 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Tempoh masa tujuh puluh minggu telah ditentukan atas bangsamu dan atas kota sucimu untuk mengakhiri pelanggaran, untuk menghentikan dosa, untuk melakukan pendamaian atas kesalahan, untuk mendatangkan perbenaran yang kekal, untuk memenuhi penglihatan dan nubuat, dan untuk mentakdiskan yang maha suci. Oleh sebab itu ketahuilah dan fahamilah: sejak keluarnya perintah untuk memulihkan dan membangunkan kembali Yerusalem sampai datangnya Orang Yang Dilantik, yakni seorang raja, akan ada tempoh masa tujuh minggu. Kemudian, selama enam puluh dua minggu, kota itu akan dibangunkan semula dengan tempat-tempat umum dan parit-paritnya, tetapi masa itu penuh kesusahan. Selepas tempoh selama enam puluh dua minggu itu, Orang Yang Dilantik itu akan dilenyapkan dan tidak akan memiliki apa-apa. Kota dan tempat suci itu akan dimusnahkan oleh rakyat daripada seorang raja yang akan datang. Masa itu akan diakhiri dengan air bah dan sampai akhir zaman akan ada peperangan. Kebinasaan sudah ditentukan. Raja itu akan mengukuhkan perjanjian dengan ramai orang selama satu minggu. Pada pertengahan minggu itu, dia akan menghentikan korban sembelihan dan persembahan bahan makanan. Si pembinasa akan datang di atas sayap kekejian, sampai kesudahan yang telah ditentukan dicurahkan ke atas si pembinasa itu.”