DANIEL 7:1-14

DANIEL 7:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada suatu malam, pada tahun pertama masa pemerintahan Raja Belsyazar sebagai raja Babilonia, aku bermimpi dan mendapat satu penglihatan. Aku mencatat mimpi itu dan inilah yang aku lihat pada malam itu: Angin kencang bertiup dari semua penjuru dan memukul permukaan laut. Tiba-tiba muncullah empat binatang raksasa dari laut. Tiap-tiap satu binatang itu berlainan rupanya. Yang pertama rupanya seperti singa, tetapi mempunyai sayap seperti sayap burung helang. Sedang aku memandang, sayapnya tercabut daripadanya. Binatang itu terangkat dari tanah, dan ditegakkan pada kakinya seperti manusia, dan diberikan akal manusia. Binatang kedua rupanya seperti beruang dan berdiri di atas kaki belakangnya. Binatang itu sedang menggigit tiga tulang rusuk. Lalu terdengar suara yang berkata, “Makanlah daging sebanyak yang kausuka!” Sedang aku memandang, seekor lagi binatang muncul. Rupanya seperti harimau bintang, tetapi belakangnya mempunyai empat sayap seperti sayap burung. Binatang itu mempunyai empat kepala, dan kelihatan berwibawa. Sedang aku memandang, binatang keempat pula muncul. Binatang itu sangat kuat, dahsyat, dan mengerikan. Dengan gigi besinya yang besar, binatang itu meremukkan mangsanya, lalu menginjak-injaknya. Berbeza dengan binatang-binatang yang sebelumnya, binatang itu mempunyai sepuluh buah tanduk. Semasa aku merenung tanduk-tanduk itu, aku nampak sebuah lagi tanduk yang kecil muncul di antaranya. Tanduk itu menyingkirkan tiga buah tanduk yang ada di situ. Tanduk kecil itu mempunyai mata seperti mata manusia, dan mulut yang bercakap dengan sombong. Sementara aku memandang, beberapa buah takhta disusun. Dia yang hidup selama-lamanya bersemayam di atas salah sebuah takhta itu. Pakaian-Nya putih seperti salji, dan rambutnya putih seperti bulu domba. Takhta-Nya mempunyai roda yang bernyala-nyala dengan api, dan api mengalir dari takhta-Nya. Beribu-ribu orang berada di situ untuk melayani Dia, dan berjuta-juta orang berdiri di hadapan-Nya. Kemudian mahkamah pengadilan memulakan pembicaraan, dan kitab-kitab dibuka. Sementara aku memandang, aku masih mendengar suara tanduk kecil itu bercakap dengan sombong. Sedang aku memandang, binatang keempat itu dibunuh, dan bangkainya dibuang ke dalam api hingga musnah. Binatang-binatang yang lain, dicabut kuasanya tetapi dibenarkan hidup sehingga waktu yang ditentukan. Dalam penglihatanku pada malam itu, aku nampak sesuatu yang seperti manusia. Dia datang diliputi awan, lalu menghampiri Dia yang hidup selama-lamanya, dan dihadapkan kepada-Nya. Dia diberikan kuasa, kehormatan, dan kedaulatan, agar orang daripada semua bangsa, kaum, dan bahasa mengabdikan diri kepadanya. Kuasanya akan kekal, dan pemerintahannya tidak akan berakhir.

DANIEL 7:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada tahun yang pertama dalam zaman pemerintahan Belsyazar, raja Babel, Daniel mendapat mimpi dan penglihatan ketika dia berbaring di tempat tidurnya. Lalu dicatatkannya mimpi itu dan inilah garis besarnya. Demikianlah kata Daniel, “Tampaklah dalam penglihatanku pada malam hari keempat-empat angin dari langit menggelorakan laut yang besar. Empat ekor binatang besar naik dari dalam laut, rupa yang satu berbeza daripada rupa yang lain. Rupa yang pertama seperti singa, tetapi mempunyai sayap burung rajawali. Aku memperhatikan terus sampai sayap-sayapnya tercabut dan ia terangkat dari tanah dan ditegakkan atas kedua-dua belah kakinya seperti manusia lalu kepadanya diberikan akal manusia. Kemudian tampak pula seekor binatang lain, iaitu yang kedua. Wajahnya seperti beruang dan ia ditegakkan pada sisi badannya yang sebelah. Di dalam mulutnya, di antara gigi-giginya, ada tiga batang tulang rusuk dan kepadanya dikatakan demikian, ‘Ayuh, bangunlah dan makanlah daging banyak-banyak!’ Setelah itu, aku terus memperhatikan dan tampaklah seekor binatang lain yang rupanya seperti harimau bintang. Pada belakangnya ada empat sayap burung. Binatang itu berkepala empat dan kepadanya diberikan kekuasaan. Setelah itu, aku terus memperhatikan dalam penglihatan pada malam hari itu. Tampaklah binatang keempat yang menakutkan, dahsyat, dan amat kuat. Ada dua baris giginya yang besar dan daripada besi. Dia melahap dan meremukkan mangsa, lalu sisanya diinjak-injaknya dengan kaki. Dia berbeza daripada semua binatang yang terdahulu dan dia ada sepuluh batang tanduk. Ketika aku berfikir tentang tanduk-tanduk itu, tampaklah sebatang tanduk lain yang kecil muncul di antara semuanya itu. Lalu tiga batang tanduk yang terdahulu tercabut di hadapannya. Tampaklah pada tanduk itu ada mata seperti mata manusia dan mulut yang bercakap besar. Sambil aku melihat gambaran itu, ditempatkan pula takhta-takhta lantas bersemayamlah Yang Abadi. Pakaian-Nya putih seperti salji dan rambut di kepala-Nya bersih seperti bulu domba. Arasy-Nya merupakan api yang bernyala-nyala, dengan roda-rodanya daripada api yang berkobar. Sungai api mengalir, memancar dari hadapan-Nya. Beribu-ribu orang mengabdikan diri kepada-Nya dan berpuluh-puluh ribu orang siap sedia berkhidmat kepada-Nya. Bersidanglah medan pengadilan dan dibukalah kitab-kitab. Aku terus memperhatikan pada waktu itu kerana bunyi cakap besar yang diucapkan oleh tanduk itu. Aku terus memperhatikannya sehingga binatang itu dibunuh dan bangkainya dibinasakan lalu diserahkan kepada api yang menyala-nyala. Binatang-binatang yang lain pun dicabut kekuasaannya, tetapi dibenarkan hidup lama sedikit sampai waktu dan masa tertentu. Aku terus memperhatikan dalam penglihatan pada malam hari itu. Tampaklah seorang seperti Anak Manusia datang dengan awan-awan langit. Dia sampai kepada Yang Abadi dan dibawa ke hadirat-Nya. Lalu dikurniakan kepada-Nya kekuasaan, kemuliaan, dan kedaulatan, sehingga semua orang daripada segala suku, bangsa, dan bahasa beribadat kepada-Nya. Kekuasaan-Nya ialah kekuasaan kekal yang tidak akan lenyap dan kerajaan-Nya tidak akan binasa.