DANIEL 6:11-24

DANIEL 6:11-24 Alkitab Berita Baik (BM)

Apabila Daniel mengetahui bahawa perintah itu sudah ditandatangani, dia pulang ke rumah. Di bilik pada tingkat atas rumahnya ada beberapa buah tingkap yang menghadap Yerusalem. Seperti biasanya, Daniel berlutut di hadapan tingkap-tingkap yang terbuka itu, lalu berdoa kepada Allah tiga kali sehari. Apabila musuh-musuh Daniel nampak dia berdoa kepada Allah, mereka semua menghadap raja untuk mengadu tentang Daniel. Mereka berkata, “Tuanku telah menandatangani satu perintah yang melarang sesiapa pun selama tiga puluh hari ini untuk meminta apa-apa daripada dewa atau manusia, kecuali daripada tuanku sendiri. Sesiapa yang melanggar perintah itu akan dibuang ke dalam gua singa.” Raja bertitah, “Memang benar. Perintah itu menjadi undang-undang Media dan Persia yang tidak boleh diubah.” Lalu mereka berkata kepada raja, “Daniel, salah satu orang buangan dari Yehuda, tidak menghormati tuanku dan tidak mematuhi perintah tuanku. Dia tetap berdoa tiga kali sehari.” Apabila mendengar hal itu, raja dukacita dan berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan Daniel. Raja terus berusaha sehingga petang. Kemudian orang yang berkomplot itu kembali dan berkata kepada raja, “Tuanku tahu bahawa menurut undang-undang Media dan Persia, perintah yang dikeluarkan oleh raja tidak boleh diubah.” Lalu raja pun memberikan perintah agar Daniel ditangkap dan dibuang ke dalam gua singa. Raja bertitah kepada Daniel, “Semoga Allah yang kamu sembah dengan setia itu menyelamatkan kamu.” Kemudian mulut gua ditutup dengan sebuah batu besar, dan raja memeteraikan batu itu dengan meterainya sendiri serta meterai para pembesarnya, supaya tidak seorang pun dapat menyelamatkan Daniel. Selepas itu raja kembali ke istana, tetapi malam itu baginda tidak dapat beradu. Baginda tidak bersantap dan tidak mahu dihibur. Pada waktu subuh, raja bangun dan tergesa-gesa pergi ke gua singa itu. Setibanya di situ, baginda memanggil dengan cemas, “Daniel, hamba Allah yang hidup! Adakah Allah yang kamu layani dengan begitu setia itu dapat menyelamatkan kamu daripada singa-singa itu?” Daniel menjawab, “Daulat tuanku! Allah telah mengirim malaikat-Nya untuk menutup mulut singa-singa itu sehingga hamba tidak diapa-apakan. Dia berbuat demikian kerana Dia tahu hamba tidak bersalah, baik terhadap Dia mahupun terhadap tuanku.” Alangkah gembiranya raja! Baginda memberikan perintah agar Daniel dikeluarkan dari gua itu. Maka Daniel pun ditarik keluar, dan dia didapati tidak cedera sedikit pun, kerana dia percaya kepada Allah.

DANIEL 6:11-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kemudian lelaki-lelaki itu datang bersama-sama dan mendapati Daniel sedang memanjatkan doa dan permohonan kepada Allahnya. Setelah itu, mereka menghadap raja dan berbicara kepadanya mengenai titah larangan raja, “Bukankah tuanku telah menandatangani titah larangan supaya setiap orang yang memohonkan sesuatu dalam tiga puluh hari ini kepada tuhan atau manusia mana-mana pun selain Tuanku Raja harus dihumban ke dalam gua singa?” Jawab raja, “Hal itu benar selaras dengan hukum yang berkuat kuasa atas orang Media dan orang Parsi yang tidak dapat dibatalkan.” Lalu mereka berkata kepada raja, “Daniel, salah seorang buangan daripada bani Yehuda, tidak mengendahkan Tuanku Raja atau titah larangan yang telah ditandatangani tuanku. Tiga kali sehari dia memanjatkan doa.” Apabila raja mendengar hal itu, dia berasa sangat susah. Dia membulatkan hati untuk melepaskan Daniel. Sampai matahari terbenam dia masih berupaya untuk menyelamatkannya. Kemudian lelaki-lelaki itu datang lagi bersama-sama kepada raja. Mereka berkata kepada raja, “Ingatlah, ya Raja, bahawa menurut hukum orang Media dan orang Parsi setiap titah larangan atau ketetapan yang dibuat raja tidak dapat diubah lagi.” Maka raja memberikan perintah supaya Daniel dibawa dan dihumban ke dalam gua singa. Raja berkata kepada Daniel, “Semoga tuhan kamu yang selalu kamu sembah kelak melepaskan engkau!” Lalu sebuah batu dibawa dan diletakkan di mulut gua itu. Raja memateraikan batu itu dengan cincin materainya dan dengan cincin para pembesarnya, supaya tidak ada yang dapat mengubah keputusan dalam hal Daniel itu. Setelah itu, raja pulang ke istananya dan ia berpuasa pada malam itu. Para penghibur tidak dibawa masuk kepadanya dan ia tidak dapat tidur. Kemudian raja bangun pada waktu fajar menyingsing dan pergi dengan segera ke gua singa. Setelah sampai dekat gua itu, berserulah dia kepada Daniel dengan suara yang penuh kesayuan. Kata raja kepada Daniel, “Daniel, hamba kepada Allah yang hidup, apakah Allahmu yang selalu kausembah itu sanggup melepaskan engkau daripada singa-singa itu?” Pada waktu itu Daniel berbicara kepada raja, “Semoga Raja hidup selama-lamanya! Allah yang hamba sembah telah mengutus malaikat-Nya untuk mengatupkan mulut singa-singa ini sehingga tidak dapat menghancurkan hamba, kerana hamba didapati tidak bersalah di hadapan-Nya. Di hadapan Tuanku Raja juga hamba tidak melakukan kejahatan.” Maka raja menjadi sangat gembira dan memberikan perintah supaya Daniel ditarik keluar dari gua itu. Lalu Daniel ditarik keluar dari gua, dan sesuatu luka pun tidak didapati padanya, kerana dia beriman kepada Allahnya. Kemudian raja memberikan perintah supaya lelaki-lelaki yang melontarkan tuduhan terhadap Daniel itu dicampakkan ke dalam gua singa berserta anak-anak dan isteri mereka. Sebelum mereka sampai ke dasar gua, singa-singa sudah menerkam dan meremukkan segala tulang mereka.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami