KOLOSE 2:1-23

KOLOSE 2:1-23 Alkitab Berita Baik (BM)

Aku ingin kamu tahu bahawa aku bekerja keras untuk kamu dan untuk mereka yang di Laodikia, serta untuk semua orang lain yang belum mengenal aku. Aku berbuat demikian supaya kamu dan mereka berteguh hati, dan juga bersatu kerana saling mengasihi. Dengan demikian kamu dan mereka sungguh-sungguh meyakini dan mengerti serta mengenal rahsia Allah, iaitu Kristus sendiri. Kristuslah yang menyingkap segala kebijaksanaan dan pengetahuan Allah yang diibaratkan sebagai harta tersembunyi. Aku memberitahu kamu hal ini supaya tidak disesatkan oleh hujah yang menarik dan kedengarannya betul. Meskipun aku tidak bersama-sama kamu, anggaplah aku hadir di kalangan kamu. Aku gembira melihat kamu sehati dan percaya kepada Kristus dengan teguh. Kamu sudah menerima Kristus Yesus sebagai Tuhan. Oleh itu hendaklah kamu hidup bersatu dengan Dia. Hendaklah kamu berakar umbi dalam Dia. Binalah hidup kamu, dengan Kristus sebagai asasnya. Hendaklah kamu semakin percaya kepada Kristus, seperti yang sudah diajarkan kepada kamu. Hendaklah hati kamu penuh kesyukuran. Berwaspadalah supaya tidak seorang pun memperhamba kamu dengan falsafah manusia, yang tidak berguna dan menyesatkan. Ajaran itu bukan daripada Kristus, melainkan ajaran manusia yang diturunkan dari generasi ke generasi, dan ajaran daripada roh-roh yang menguasai alam semesta. Seluruh keperibadian Allah juga terdapat dalam diri Kristus, pada waktu Dia hidup di bumi sebagai manusia. Kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus, kamu juga diberikan hidup sejati. Semua roh yang berkuasa dan yang memerintah berada di bawah kekuasaan Kristus. Kerana bersatu dengan Kristus, kamu sudah disunat, bukan dengan sunat yang dilakukan oleh manusia, tetapi dengan sunat yang dilakukan oleh Kristus, yang membebaskan kamu daripada kuasa keinginan yang berdosa. Hal itu demikian kerana pada waktu kamu dibaptis, kamu dikubur bersama-sama Kristus. Dengan baptisan itu juga kamu dihidupkan kembali bersama-sama Kristus, kerana kamu percaya kepada kuasa Allah yang telah membangkitkan Kristus daripada kematian. Dahulu kamu sudah mati secara rohani kerana kamu berdosa, dan juga kerana kamu bukan orang Yahudi dan tidak mengenal Taurat Musa. Tetapi sekarang Allah telah menghidupkan kamu bersama-sama Kristus. Allah telah mengampunkan semua dosa kita. Dia telah membatalkan surat hutang kita yang mengancam kita dengan syarat-syarat berat. Dia menghapuskan semuanya dengan menyalibkan surat hutang itu di kayu salib. Di kayu salib itu Kristus membebaskan diri daripada kuasa roh-roh yang berkuasa dan yang memerintah. Dia menjadikan mereka tontonan umum apabila Dia menggiring mereka sebagai tawanan dalam perarakan kemenangan-Nya. Oleh itu janganlah biarkan orang membuat peraturan tentang apa yang kamu makan atau minum, atau tentang hari-hari perayaan agama, atau perayaan bulan baru, ataupun tentang hari Sabat. Semua peraturan itu cuma bayangan daripada hal-hal yang akan datang, tetapi kenyataan daripada hal-hal itu ialah Kristus! Janganlah biarkan diri kamu ditipu oleh sesiapa yang pura-pura rendah hati dan yang menyembah malaikat. Orang seperti itu sombong kerana fikiran duniawi, dan mereka bangga kerana melihat penglihatan tertentu. Dia tidak lagi bergantung kepada Kristus yang menjadi kepala kepada jemaah, iaitu tubuh-Nya. Di bawah pimpinan Kristus seluruh tubuh itu dipelihara, dan juga disatukan oleh sendi dan urat, serta membesar menurut kehendak Allah. Kamu sudah mati bersama-sama Kristus, dan sudah dibebaskan daripada roh-roh yang menguasai alam semesta. Tetapi mengapakah kamu hidup seperti orang yang masih dikuasai dunia ini? Mengapakah kamu menurut peraturan seperti berikut, “Jangan jamah ini,” “Jangan kecap itu,” “Jangan sentuh itu”? Semua itu tidak berguna lagi, sebaik sahaja dipatuhi. Semua itu hanya peraturan dan ajaran manusia. Memang peraturan-peraturan itu kelihatannya bijaksana, dengan desakan supaya orang menyembah malaikat, menyeksa diri, dan berpura-pura merendahkan diri. Tetapi semua peraturan itu tidak berguna untuk mengendalikan nafsu manusia.

KOLOSE 2:1-23 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

MAKA kukahandakilah supaya kamu mŭngatahui, bagimana garangan bŭsarnya pŭprangan yang ada padaku kŭrna kamu, dan kŭrna sagala orang yang ada dinŭgri Laodekia, dan kŭrna sŭbrapa pula orang yang bŭlom mŭlihat mukaku dalam ka’adaanku ini. Supaya hiburlah hati marika itu, sŭrta mŭnjadi tŭrikat bŭrsama sama dŭngan kasih, sahingga iya mŭndapat sagala kŭkayaan katŭntuan yang samporna deripada pŭngatahuan, akan mŭngaku rahsia Allah, iya itu Ayah dan Almasih. Maka dalamnyalah juga tŭrslindong sagala pŭrbandahran hikmat dan pŭngatahuan. Maka aku mŭngatakan ini, asal jangan barang sa’orang jua pun mŭmpŭrdayakan kamu dŭngan pŭrkataan tipu. Kŭrna jikalau aku ini tiada bŭrhalir dŭngan tubohku skalipun, maka adalah juga aku bŭrhalir kadada kamu dŭngan nyawa, bŭrsuka chita, sŭrta mŭmandang pratoran kamu, dan katŭtapan iman kamu akan Almasih. Maka sŭbab kamu tŭlah mŭnŭrima Isa Almasih Tuhan itu, maka dŭmkianlah juga jalanlah kamu mŭnurot Tuhan. Maka bŭrakarlah dan bŭralaslah diatasnya, dan tŭtaplah dalam iman spŭrti yang tŭlah kamu pŭlajari, bŭrtambah tambahlah dalamnya dŭngan mŭnguchap shukor. Maka ingatlah, asal jangan barang sa’orang mŭrosakkan kamu dŭngan ilmu ilmu dunia, dan tipu sia sia, iya itu mŭnurot adat nenek moyang, dan mŭnurot pŭngajaran alif ba ta dunia, tŭtapi bukannya mŭnurot Almasih. Kŭrna dalamnyalah juga ada diam sagala kŭlangkapan katuhanan dalam tuboh Maka kamulah ada langkap dalamnya; iyalah kŭpala sagala pŭmrentahan dan kwasa. Maka dalamnya pula kamu tŭlah disunatkan dŭngan sunat yang tiada dipŭrbuat dŭngan tangan, iya itu dŭngan mŭmbuangkan tuboh dosa deripada hawa nafsu ulih sunat Almasih. Maka kamu tŭlah ditanamkan sŭrtanya dŭngan baptisan, maka deripada itulah kamu tŭlah dibangkitkan sŭrtanya ulih iman yang dipŭrlakukan Allah, yang tŭlah mŭmbangkitkan dia deripada mati. Maka ulih sŭbab kamu tŭlah mati dalam dosamu, dan ulih sŭbab tiada tubohmu bŭrsunat itu, maka dihidopkan kamu bŭrsama sama dŭngan Isa, kŭrna sudah diampunilah sagala kasalahanmu itu. Dan diparangnya tulisan tangan rukun rukun yang mŭlawan kami, yang tiada stuju dŭngan kami, dan dilalukannya itu sŭrta dipakukannya pada kayu salibnya. Maka sŭtlah sudah dialahkannya sagala pŭmrentahan dan pŭnguasaan, lalu diunjokkan dia nyata nyata, sŭrta dipŭragakannya atasnya. Maka sŭbab itu janganlah kŭlak barang sa’orang mŭnyalahkan kamu deri kŭrna makanan, atau deri kŭrna minuman, atau deri kŭrna hal hari raya, atau bulan bahru, atau hari hari pŭrhŭntian. Maka adalah iya itu bagie bayang juga deri hal pŭrkara pŭrkara yang akan datang, akan tŭtapi batinnya itu Almasih adanya. Maka janganlah kŭlak barang sa’orang mŭmpŭrdayakan kamu deri hal faalahmu itu, dŭngan mŭmbuat buat rŭndah dirinya, dan mŭnyŭmbah mŭliekat mŭliekat, sŭrta mŭnyangarakan pŭrkara yang bŭlom dilihatnya, maka jadilah sumbong ulih akal hawa nafsunya itu. Dan tiada iya bŭrgantong kapada kŭpala itu, maka deripadanyalah sŭgŭnap tuboh bŭrtambah dŭngan pŭnambahan Allah, apabila iya tŭrplihara, dan tŭrhubong bŭrsama sama ulih sagala sŭndi sŭndi, dan pŭngikat pŭngikat. Maka sŭbab itulah jikalau kamu matikan diri dŭngan Almasih, sŭrta lŭpaslah deri hal pŭlajaran alif ba ta dunia itu, mŭngapakah kamu tŭrta’lok kapada rukun rukun, mŭnurot hukum hukum dan pŭngajaran manusia, sa’olah olah kamu hidop kŭrna dunia? Jangan mŭnjabat, jangan mŭngŭchap, jangan mŭmŭgang. Maka sŭmuanya itu kŭlak akan binasa tŭtkala dipakie orang. Maka pŭrkara pŭrkara itu sŭsungguhnya mŭngunjokkan sahja hikmat dŭngan mŭmbuat bakti, dan mŭnurot sangka sangka orang, dan mŭrŭndahkan diri, dan tiada sayangkan tuboh, tŭtapi iya itu bukannya mŭndatangkan barang kamuliaan akan mŭmuaskan hawa nafsu.

KOLOSE 2:1-23 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Aku mahu kamu tahu betapa perasaanku bergolak keranamu dan orang Laodikia, juga semua yang belum lagi bertemu muka denganku. Aku ingin hati mereka terhibur, terjalin rapat dalam kasih, dan mereka mencapai pengertian penuh dalam segala kekayaan serta kepastiannya, supaya mereka mengetahui rahsia Allah Bapa dan Kristus, yang dalam-Nya tersembunyi seluruh harta kebijaksanaan dan pengetahuan. Aku mengatakan ini supaya kamu tidak tertipu dengan hujah. Sungguhpun tubuhku tiada di sisimu, namun rohku tetap bersamamu, dan aku sukacita kerana melihat keadaanmu yang teratur rapi dan imanmu yang kukuh dalam Kristus. Oleh sebab kamu telah menerima Kristus Yesus sebagai Tuhan, hiduplah melangkah dalam Dia, berasas dan terbina dalam-Nya serta bertapak teguh dalam iman, sebagaimana kamu telah diajar, penuh melimpah dengan kesyukuran. Awaslah, jangan tertipu oleh orang yang menggunakan falsafah dan tipu daya yang sia-sia, menurut adat manusia, menurut ajaran asas dunia, bukan menurut Kristus. Dalam-Nya terhimpun seluruh ketuhanan berbentuk jasmani, dan kamu sempurna dalam-Nya, yang merupakan kepala segala perintah dan kuasa. Dalam-Nya juga kamu telah disunatkan dengan persunatan tanpa menggunakan tangan, iaitu dengan membuangkan segala dosa hawa nafsu dunia daripada tubuhmu, melalui persunatan Kristus. Kamu telah dikuburkan bersama-Nya dengan baptisan, dan telah dibangkitkan bersama-Nya melalui iman dalam kuasa Allah yang telah membangkitkan-Nya daripada kematian. Kamu dahulu mati kerana melakukan dosa dan kerana tidak bersunat secara lahiriah. Allah telah menghidupkan kamu bersama Tuhan dan mengampunkan segala kesalahanmu. Dia telah memansuhkan hukum-hukum bertulis yang menghimpit dan menghalang kita; Dia telah mencabutnya dan memakukannya pada salib. Setelah menumpaskan segala roh yang berkuasa dan memerintah, Dia mendedahkan mereka di hadapan orang ramai dan menunjukkan bahawa Dia telah menakluki mereka dalam salib. Oleh itu, janganlah siapa pun menghakimi kamu tentang makanan atau minuman, hari raya, bulan baru atau hari Sabat. Segala ini hanya bayang-bayang perkara akan datang, sedangkan yang nyata ialah Kristus. Janganlah ganjaranmu dikurangkan oleh seseorang yang pura-pura bersikap rendah diri dan menyembah malaikat. Orang seperti itu berpaut pada penglihatan-penglihatannya dan tanpa alasan menyombongkan dirinya dengan fikiran-fikirannya yang duniawi, dan tidak berpegang teguh pada Kristus sebagai Kepala. Daripada-Nya seluruh tubuh, yang dibesarkan dan dijalin rapat dengan sendi urat, bertumbuh seperti yang dikehendaki oleh Allah. Oleh itu, jika kamu telah mati bersama Kristus daripada ajaran asas dunia, mengapakah kamu berkelakuan seolah-olah kamu hidup berpandukan kebiasaan dunia, dengan mematuhi peraturan-peraturannya, iaitu: “Jangan sentuh! Jangan kecap! Jangan pegang!”? Peraturan sedemikian melibatkan perkara-perkara yang lenyap setelah dipakai. Mengapa kamu masih menurut hukum-hukum dan pengajaran manusia? Peraturan-peraturan begini memang kelihatan seolah-olah bijaksana, dalam pegangan agama yang dikenakan pada diri sendiri, sikap merendah diri yang palsu, dan pengabaian tubuh, tetapi segalanya tidak menolong kamu melawan hawa nafsu dunia.