AMOS 3:1-10
AMOS 3:1-10 Alkitab Berita Baik (BM)
Hai umat Israel, dengarlah perkhabaran TUHAN tentang segenap bangsa kamu, yang sudah dibawa-Nya keluar dari Mesir. TUHAN berfirman, “Daripada semua bangsa di dunia, kamulah satu-satunya bangsa yang Aku kenal dan pelihara. Itulah sebabnya dosa kamu besar, dan Aku mesti menghukum kamu.” Bolehkah dua orang berangkat bersama-sama tanpa berjanji untuk berjumpa lebih dahulu? Adakah singa mengaum di hutan, jika belum mendapat mangsa? Adakah anak singa mengaum di dalam lubangnya, jika belum menangkap apa-apa? Bolehkah burung terjebak dalam perangkap, jika perangkap tidak berumpan? Bolehkah perangkap membingkas jika tiada yang tertangkap? Jika trompet tanda perang dibunyikan, tidakkah orang di kota ketakutan? Bolehkah bencana menimpa sesuatu kota, jika TUHAN tidak mendatangkan bencana itu? TUHAN Raja tidak pernah melakukan sesuatu pun tanpa menyatakan rancangan-Nya kepada para nabi, hamba-hamba-Nya. Apabila singa mengaum, siapakah tidak takut? Apabila TUHAN Raja berfirman, siapakah dapat berdiam diri dan tidak mengisytiharkan perkhabaran-Nya? Umumkanlah perkhabaran ini kepada orang yang tinggal di istana Mesir dan Asdod, “Berkumpullah di bukit-bukit di sekitar Samaria, dan lihatlah huru-hara serta jenayah yang berlaku di sana.” TUHAN berfirman, “Penduduk Samaria mengisi rumah besar mereka dengan benda-benda yang diperoleh daripada kejahatan dan kekejaman. Mereka sama sekali tidak tahu berlaku jujur.
AMOS 3:1-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dengarlah firman ini yang disampaikan TUHAN menentang kamu, hai orang Israel, menentang seluruh kaum yang telah Kutuntun keluar dari Tanah Mesir, bunyinya, “Hanyalah kamu yang Kupilih daripada semua kaum di bumi. Oleh sebab itu Aku akan menghukum kamu atas sebab segala kesalahanmu. Adakah dua orang akan berjalan bersama-sama sekiranya mereka belum bermuafakat? Adakah singa mengaum di dalam hutan sebelum ada mangsa dalam cengkamannya? Adakah singa muda bersuara dari dalam sarangnya kalau belum menangkap apa-apa? Masakan burung terjebak masuk perangkap di tanah kalau tiada denak dipasang untuk memikatnya? Masakan perangkap bingkas dari tanah jika belum ada apa-apa yang terjebak? Kalau sangkakala ditiup di dalam kota, masakan rakyat tidak gementar? Masakan terjadi malapetaka di sebuah kota jika bala itu bukan TUHAN yang datangkan? Sesungguhnya, Tuhan ALLAH tidak akan melakukan sesuatu tanpa menyingkapkan rahsia-Nya kepada para nabi, hamba-hamba-Nya. Apabila singa telah mengaum, siapakah yang tidak takut? Tuhan ALLAH telah berfirman, maka siapakah yang tidak bernubuat?” Canangkanlah di dalam puri-puri di Asdod dan di dalam puri-puri di Tanah Mesir. Katakanlah, “Berkumpullah di gunung-gunung sekitar Samaria. Lihatlah kegemparan besar yang ada di dalamnya dan penindasan yang berlaku di tengah-tengahnya.” “Mereka tidak tahu berbuat jujur,” demikianlah firman TUHAN, “merekalah yang menimbunkan kekerasan dan perompakan di dalam puri-puri mereka.”