KISAH RASUL-RASUL 9:18-43
KISAH RASUL-RASUL 9:18-43 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada saat itu juga sesuatu seperti sisik ikan jatuh daripada mata Saulus dan dia dapat melihat semula. Lalu dia bangkit dan dibaptis. Setelah dia makan, pulihlah kekuatannya. Saulus tinggal beberapa hari dengan pengikut-pengikut Yesus di Damsyik. Dia terus pergi ke rumah-rumah ibadat dan mula mengisytiharkan berita bahawa Yesus Anak Allah. Semua orang yang mendengar kata-kata Saulus menjadi hairan. Mereka berkata sesama sendiri, “Dialah orang di Yerusalem yang membunuh semua orang yang menyembah Yesus. Dia datang ke sini untuk menangkap dan membawa pengikut Yesus kepada ketua-ketua imam.” Tetapi Saulus semakin kuat pengaruhnya. Bukti-bukti yang dikemukakannya bahawa Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah begitu meyakinkan, sehingga orang Yahudi yang tinggal di Damsyik tidak dapat membantah lagi. Beberapa hari kemudian, orang Yahudi bersepakat hendak membunuh Saulus. Tetapi rancangan mereka diketahui oleh Saulus. Siang malam mereka menunggu di pintu gerbang kota untuk membunuh dia. Tetapi pada suatu malam, pengikut-pengikut Saulus menurunkan dia dengan sebuah keranjang ke kaki tembok kota melalui tingkap. Saulus pergi ke Yerusalem dan berusaha bergabung dengan pengikut-pengikut Yesus di situ. Tetapi mereka takut akan dia, kerana mereka tidak percaya bahawa dia benar-benar sudah menjadi pengikut Yesus. Kemudian Barnabas menyambut dia dan membawa dia kepada rasul-rasul. Barnabas memberitahu mereka bahawa Saulus sudah melihat Tuhan dalam perjalanan ke Damsyik, dan bahawa Tuhan sudah berkata-kata kepadanya. Dia juga memberitahu mereka bahawa dengan berani Saulus mengajar di Damsyik demi nama Yesus. Oleh itu Saulus tinggal bersama-sama mereka, dan mengajar dengan berani di seluruh Yerusalem dengan nama Tuhan. Dia juga berbincang dan berdebat dengan orang Yahudi yang berbahasa Yunani, dan mereka cuba membunuh dia. Apabila saudara-saudara seiman mengetahui hal itu, mereka membawa Saulus ke Kaisarea dan kemudian menghantar dia ke Tarsus. Dengan demikian tenteramlah jemaah di seluruh Yudea, Galilea, dan Samaria. Jemaah itu menghormati Tuhan dan dengan pertolongan Roh Allah, jemaah itu bertambah kuat dan bertambah banyak. Petrus berkunjung ke serata tempat. Pada suatu hari dia melawat umat Tuhan yang tinggal di Lida. Di situ dia berjumpa dengan seorang lelaki bernama Eneas, yang lumpuh dan tidak dapat bangun dari katilnya selama lapan tahun. Petrus berkata kepadanya, “Hai Eneas, Yesus Kristus menyembuhkan kamu. Bangunlah dan kemaskan katilmu.” Pada saat itu juga Eneas bangun. Semua penduduk di Lida dan Dataran Saron melihat Eneas, lalu mereka semua percaya kepada Tuhan. Di Yope ada seorang wanita bernama Tabita. Dia percaya kepada Yesus. (Dalam bahasa Yunani namanya Dorkas, yang bererti ‘rusa.’) Dia menggunakan masanya untuk melakukan hal-hal baik dan menolong orang miskin. Pada waktu itu dia jatuh sakit lalu meninggal dunia. Setelah dimandikan, jenazahnya diletakkan di bilik di tingkat atas. Yope tidak berapa jauh dari Lida. Apabila pengikut-pengikut Yesus di Yope mendengar bahawa Petrus di Lida, mereka mengutus dua orang kepadanya dengan berita, “Cepatlah datang ke mari.” Petrus bersiap lalu mengikut mereka. Apabila dia tiba di situ, dia dibawa ke bilik di tingkat atas. Sambil menangis semua balu di situ mengerumuni Petrus dan menunjukkan pakaian dan jubah yang telah dijahit oleh Dorkas bagi mereka, semasa dia masih hidup. Petrus menyuruh mereka semua keluar. Lalu dia berlutut dan berdoa. Kemudian dia menghampiri jenazah itu dan berkata, “Tabita, bangunlah!” Tabita membuka matanya dan apabila dia nampak Petrus, dia pun duduk. Petrus memegang tangannya dan menolong dia berdiri. Kemudian Petrus memanggil semua pengikut Yesus di situ termasuk balu-balu, lalu menyerahkan Tabita yang sudah hidup itu kepada mereka. Berita itu tersebar ke seluruh Yope, dan banyak orang percaya kepada Tuhan. Petrus tinggal di Yope dengan seorang penyamak kulit bernama Simon untuk beberapa hari lamanya.
KISAH RASUL-RASUL 9:18-43 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka sŭkunyung kunyung gugorlah deripada mata Saul itu spŭrti rupa sisek, maka dŭngan skutika itu juga tampaklah matanya, sŭrta bangunlah iya, lalu dibaptisakanlah akan dia. Maka sŭtlah suda iya makan, kuatlah iya pula. Maka tinggallah iya sŭrta dŭngan sagala murid diDamsek bŭbrapa hari lamanya. Mnka dŭngan sŭgranya dimashorkannyalah nama Almasih dalam kŭnisa kŭnisa, bahwa iyalah anak Allah. Maka tŭrchŭngang chŭnganglah sagala orang yang mŭnŭngar itu, katanya, Bukankah iyaini orang yang mŭmbinasakan sagala orang yang mŭnyŭbot nama Isa itu diJerusalem, maka iya datang kŭmari pun dŭngan kahandak itu juga, supaya iya mŭmbawa sagala marika itu dŭngan ikatnya kapada kŭpala kŭpala imam? Maka makin lama makin lebih bŭrtambah tambah kuat Saul itu, sŭrta mŭmbingungkan sagala orang Yahudi yang dudok dinŭgri Damsek, mŭnyatakan bahwa iya itulah Almasih adanya. ¶ Sŭtlah sudah bŭhrapa hari lalu, maka bŭrbicharalah orang Yahudi handak mŭmbunoh akan Saul. Maka dikŭtahui ulih Saul akan niat marika itu, maka orang pun mŭnjagakan akan dia pada sagala pintu nŭgri siang dan malam, supaya mŭmbunoh akan dia. Maka tŭtkala itu diambil ulih sagala murid itu akan dia pada malam, sŭrta dihulorkannya dia dalam suatu bakol diluar tembok. Adapun sŭrta sampielah Saul kaJerusalem, maka dichobainya bŭrdŭkat dŭkat dŭngan murid itu, maka takotlah sŭmuanya akan dia, sŭbab tiadalah marika itu pŭrchaya, bahwa iya pun sa’orang murid adanya. Maka diambil ulih Barnabas akan dia, sŭrta dibawanya kapada sagala Rasol, lalu dibrinya tahu kapada marika itu, bagimana hal Saul itu tŭlah mŭlihat Tuhan ditŭngah jalan, sŭrta Tuhan tŭlah bŭrkata kata padanya, dan bagimana iya tŭlah mŭngajar nama Isa itu dŭngan bŭrani hati diDamsek. Maka adalah iya masok kluar bŭrsama sama dŭngan marika itu diJerusalem. Maka dŭngan brani hati iya mŭngajar akan nama Tuhan Isa itu, sŭrta bŭrbantah bantahlah iya dŭngan orang Grika, tŭtapi marika itu pun chari daya upaya handak mŭmbunoh akan dia. Maka apabila dikŭtahui ulih sagala saudara akan hal itu, dibawanyalah akan Saul kanŭgri Kesaria, sŭrta disurohnya pŭrgi kanŭgri Tarsus. Shahadan pada tŭtkala itu sagala sidang jŭmaah yang ditanah Yahuda, dan diGalalia, dan diSamaria sŭntosalah, sŭrta bŭrulih kabajikan, sambil mŭlakukan dirinya dŭngan takot akan Tuhan, dan bŭrulih pŭnghiboran deripada Roh Alkudus, maka bŭrtambah tambahlah banyak orang. ¶ Alkesah maka pada skali pŭrstua tŭtkala Petros mŭnjalani sagala tŭmpat itu, maka turonlah iya mŭndapatkan sagala orang orang salih yang mŭngdiami nŭgri Lida. Maka disanalah iya mŭndapat akan sa’orang yang bŭrnama Enias, iya itu tŭlah tŭrhantar diatas katilnya dŭlapan tahun lamanya dŭngan sakit tepok. Maka bŭrkatalah Petros kapadanya, Hie Enias, Isa Almasih mŭnyŭmbohkan dikau, bangunlah, bŭtolkan tŭmpat tidormu itu. Maka dŭngan skutika itu juga bangunlah iya. Maka apabila dilihat ulih sagala orang yang diam dinŭgri Lida, dan Saron akan hal itu, lalu bŭrbaliklah hati marika itu kapada Tuhan. ¶ Sŭbarmula maka adalah sa’orang murid diJopa yang bŭrnama Tabitha, iya itu tŭrsalin artinya Dorkas: bahwa pŭrampuan itu lampaulah pŭrbuatannya yang baik, dan mŭmbri sŭdŭkah. Maka pada masa itu jatohlah iya sakit payah, lalu mati: maka sŭtlah sudah dimandikan orang akan dia, lalu dibawanya naik ka’atas loteng. Maka sŭbab nŭgri Lida itu adalah dŭkat nŭgri Jopa, sŭtlah didŭngar ulih sagala murid, bahwa Petros ada disana, lalu disurohnyalah dua orang pŭrgi kapadanya, sambil mŭminta jangan lambat datang pada marika itu. Maka dŭngan skutika itu juga Petros pun pŭrgilah sŭrta marika itu; maka apabila iya sampie, dibawa oranglah akan dia naik ka’atas loteng: maka adalah sagala pŭrampuan janda itu bŭrdiri dŭkat sambil mŭnangis, sŭrta mŭngunjokkan baju baju, dan pakiean yang tŭlah dipŭrbuat ulih Dorkas itu, tŭtkala iya lagi bŭsŭrta dŭngan marika itu. Maka disurohlah ulih Petros kluar akan sagala marika itu, maka bŭrtŭlotlah iya, sŭrta mŭminta doa, lalu bŭrpalinglah kapada mayat itu, katanya, Tabitha, bangunlah angkau. Maka pŭrampuan itu pun mŭmbukakanlah matanya, maka apa bila dilihatnya akan Petros, lalu dudoklah iya. Maka diunjokkan Petros tangannya, lalu mŭmbangunkan dia; hata maka sŭtlah dipanggilnya sagala orang yang salih, dan sagala pŭrampuan janda, maka diunjokkannyalah akan pŭrampuan itu dŭngan hidopnya kapada marika itu. Maka pŭchahlah khabar itu kapada sagala nŭgri Jopa, maka banyaklah orang pŭrchaya akan Tuhan. Arkian maka tinggallah Petros bŭbrapa hari lamanya dinŭgri Jopa, dirumah sa’orang tukang samak kulit yang bŭrnama Simon.
KISAH RASUL-RASUL 9:18-43 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Serta-merta sesuatu seperti sisik gugur daripada mata Saul dan dia dapat melihat semula. Dia pun bangun lalu dibaptiskan. Kemudian dia makan dan kekuatannya pun pulih. Saul tinggal beberapa hari di Damsyik bersama para murid Yesus. Dia terus mengkhabarkan di saumaah tentang Yesus, bahawa Dia Anak Allah. Semua yang mendengarnya tercengang lalu berkata, “Bukankah dia ini yang menganiaya semua yang menyebut nama itu di Yerusalem? Bukankah dia datang ke mari untuk menangkap semua orang yang demikian di sini dan menyeret mereka ke hadapan ketua-ketua imam?” Makin sehari makin bertambah kuasa yang diberikan Allah kepada Saul. Semua orang Yahudi di Damsyik tercengang apabila dia menyatakan bahawa Yesus itu Kristus. Selepas beberapa hari, orang Yahudi berpakat hendak membunuh Saul. Akan tetapi, Saul mendapat tahu tentang pakatan itu. Orang yang hendak membunuhnya itu menunggu di pintu gerbang siang malam; tetapi murid-murid Saul mengambilnya pada waktu malam dan menurunkannya melalui tingkap ke kaki tembok di dalam sebuah keranjang. Apabila Saul sampai di Yerusalem, dia cuba menghubungi para murid Yesus tetapi mereka takut dan tidak percaya bahawa dia benar-benar murid Yesus. Barnabas membawa Saul ke hadapan para rasul dan menceritakan bagaimana dia telah melihat Tuhan ketika dalam perjalanan, kata-kata Tuhan kepadanya dan keberanian Saul menyebarkan nama Yesus di Damsyik. Selepas itu, Saul keluar masuk di Yerusalem bersama para rasul serta mengajar nama Tuhan dengan berani. Dia bercakap dan berhujah dengan orang Yahudi peranakan Yunani; mereka pun hendak membunuhnya. Apabila para murid Yesus yang lain mengetahui hal itu, mereka membawa Saul ke Kaisarea dan menghantarnya ke Tarsus. Dengan demikian sejahteralah jemaah di seluruh Yudea, Galilea dan Samaria. Jemaah itu diberi kekuatan dan hidup dengan takut kepada Tuhan. Dengan pertolongan Roh Kudus bilangan mereka semakin besar. Ketika Petrus melawat daerah-daerah, dia mengunjungi orang salih yang tinggal di Lida. Di situ dia menemui seorang bernama Eneas yang sudah lapan tahun lumpuh terlantar di tempat tidur. Petrus berkata kepadanya, “Eneas, Yesus Kristus menyembuhkanmu. Bangunlah, kemaskan tempat tidurmu.” Pada saat itu juga Eneas bangun. Semua penduduk Lida dan Saron melihatnya lalu beriman kepada Tuhan. Di Yope ada seorang murid perempuan bernama Tabita (dalam bahasa Yunani disebut Dorkas); dia sentiasa membuat kebajikan dan memberi sedekah. Pada masa itu dia jatuh sakit lalu meninggal dunia. Setelah dimandikan, jenazahnya dibaringkan di dalam bilik di tingkat atas. Lida berdekatan dengan Yope. Apabila para murid Yesus mendapat tahu bahawa Petrus ada di Lida, mereka menghantar dua orang berjumpa dengannya dan memintanya datang secepat mungkin. Petrus segera pergi bersama mereka. Setibanya di situ, dia dibawa naik ke bilik di tingkat atas itu. Semua balu di situ berdiri di sisinya sambil menangis dan menunjukkan pelbagai pakaian yang telah dijahit oleh Dorkas untuk mereka sewaktu hidupnya. Petrus menyuruh semuanya keluar; kemudian dia bertelut dan berdoa. Selepas itu, dia berpaling kepada jenazah itu lalu berkata, “Hai Tabita, bangunlah.” Tabita membuka matanya dan apabila dia melihat Petrus, dia pun duduk. Petrus memegang tangannya dan membantunya berdiri. Seterusnya Petrus memanggil semua murid Yesus, termasuk balu-balu itu dan menunjukkan kepada mereka perempuan yang sudah hidup itu. Berita itu tersebar di seluruh Yope dan ramai orang beriman kepada Tuhan. Petrus tinggal beberapa hari di Yope di rumah Simon, seorang penyamak kulit.