KISAH RASUL-RASUL 9:10-19

KISAH RASUL-RASUL 9:10-19 Alkitab Berita Baik (BM)

Seorang pengikut Yesus bernama Ananias tinggal di Damsyik. Dalam penglihatan, dia melihat Tuhan berkata kepadanya, “Ananias!” “Ya Tuhan,” jawab Ananias. Tuhan berkata kepadanya, “Bersiap-siaplah dan pergilah ke rumah Yudas di Jalan Lurus. Bertanyalah tentang seorang bernama Saulus dari kota Tarsus. Dia sedang berdoa, dan dalam penglihatan, dia melihat seorang lelaki bernama Ananias datang meletakkan tangan padanya supaya dia boleh melihat semula.” Ananias menjawab, “Ya Tuhan, banyak orang sudah memberitahu aku tentang orang ini. Dia sudah melakukan banyak perkara yang kejam terhadap umat-Mu di Yerusalem. Sekarang dia datang ke Damsyik dengan kuasa daripada ketua-ketua imam untuk menangkap semua orang yang menyembah Engkau.” Tetapi Tuhan berkata kepadanya, “Pergilah, kerana Aku sudah memilih dia untuk mengabdikan diri kepada-Ku, supaya dia memberitakan nama-Ku kepada bangsa-bangsa bukan Yahudi, raja-raja, dan umat Israel. Semua penderitaan yang harus dialaminya kerana Aku, akan Aku tunjukkan kepadanya.” Oleh itu Ananias pergi dan masuk ke rumah itu lalu meletakkan tangannya pada Saulus. “Saudara Saulus,” katanya, “Tuhan sudah mengutus saya - Yesus yang menampakkan diri kepada saudara dalam perjalanan ke mari, sudah mengutus saya ke sini supaya saudara boleh melihat semula dan dikuasai oleh Roh Allah.” Pada saat itu juga sesuatu seperti sisik ikan jatuh daripada mata Saulus dan dia dapat melihat semula. Lalu dia bangkit dan dibaptis. Setelah dia makan, pulihlah kekuatannya.

KISAH RASUL-RASUL 9:10-19 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Sŭbarmula maka adalah dinŭgri Damsek sa’orang murid Isa yang bŭrnama Ananias; maka bŭrkatalah Tuhan kapadanya dŭngan suatu pŭngŭlihatan, Ananias, maka jawabnya, Sahya Tuhan. Maka kata Tuhan kapadanya, Bangunlah angkau, pŭrgi mŭngikot lorong yang bŭrnama bŭtol, maka tanyalah angkau dirumah Yahuda akan sa’orang yang bŭrnama Saul, orang nŭgri Tarsus; kŭrna sŭsungguhnya adalah iya itu mŭminta doa. Dan adalah iya tŭlah mŭlihat dalam suatu pŭnglihatan akan sa’orang yang bŭrnama Ananias masok, sŭrta mŭlŭtakkan tangan ka’atasnya, supaya klihatan pula matanya. Maka mŭnyahutlah Ananias katanya, Bahwa aku tŭlah mŭnŭngar deripada banyak orang akan hal orang itu, bŭbrapa kŭjahatan yang tŭlah dipŭrbuatnya kapada sagala orang salihmu diJerusalem. Maka skarang pun iya tŭlah bŭrulih kwasa deripada kŭpala kŭpala imam akan mŭngikat sagala orang yang bŭrsru dŭngan namamu. Tŭtapi bŭrkatalah Tuhan padanya, Pŭrgilah juga angkau, kŭrna orang itulah kŭlak akan mŭnjadi suatu pŭgawi yang tŭrpileh padaku, akan mŭmashorkan namaku kapada orang orang sŭsat, dan raja raja, dan bŭni Israil. Kŭrna aku akan mŭnunjokkan padanya bŭbrapa kasukaran kŭlak akan ditanggongkan sŭbab namaku. Maka Ananias pun pŭrgilah, lalu masok kŭdalam rumah itu, sambil mŭlŭtakkan tangan ka’atasnya, sŭrta bŭrkata, Hie saudaraku Saul, bahwa Tuhan, iya itu Isa, yang tŭlah klihatan padamu dijalan yang angkau datang kŭmari, iyalah tŭlah mŭnyurohkan aku datang kapadamu, supaya matamu bulih klihatan pula, dan hatimu pun dipŭnohi dŭngan Roh Alkudus. Maka sŭkunyung kunyung gugorlah deripada mata Saul itu spŭrti rupa sisek, maka dŭngan skutika itu juga tampaklah matanya, sŭrta bangunlah iya, lalu dibaptisakanlah akan dia. Maka sŭtlah suda iya makan, kuatlah iya pula. Maka tinggallah iya sŭrta dŭngan sagala murid diDamsek bŭbrapa hari lamanya.

KISAH RASUL-RASUL 9:10-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ada seorang murid Yesus yang bernama Ananias tinggal di Damsyik. Dalam suatu penglihatan dia mendengar Tuhan berkata, “Ananias!” “Ya, Tuhan,” sahut Ananias. Tuhan berkata kepadanya, “Bersiaplah dan pergilah ke rumah Yudas di Jalan Lurus. Tanyakanlah seorang yang bernama Saul dari kota Tarsus. Dia sedang berdoa, dan melihat seorang bernama Ananias meletakkan tangan di atasnya supaya dia dapat melihat semula.” Ananias menjawab, “Ya Tuhan, aku telah mendengar ramai orang mengatakan hal orang itu. Dia telah banyak menganiaya umat-Mu yang salih di Yerusalem. Sekarang dia datang ke Damsyik membawa kuasa daripada ketua-ketua imam untuk menangkap semua orang yang menyebut nama-Mu.” Namun demikian, Tuhan berkata, “Pergilah, kerana Aku telah memilihnya sebagai alat pilihan-Ku untuk mengkhabarkan nama-Ku kepada bangsa-bangsa asing, raja-raja, dan umat Israel. Aku akan menunjukkan kepadanya segala kesengsaraan yang akan ditanggungnya kerana nama-Ku.” Dengan demikian Ananias pun pergi lalu masuk ke rumah itu dan meletakkan tangannya ke atas Saul sambil berkata, “Saudaraku Saul, Tuhan Yesus yang telah menampakkan diri-Nya kepadamu dalam perjalanan ke sini telah mengutusku supaya engkau dapat melihat semula dan dipenuhi Roh Kudus.” Serta-merta sesuatu seperti sisik gugur daripada mata Saul dan dia dapat melihat semula. Dia pun bangun lalu dibaptiskan. Kemudian dia makan dan kekuatannya pun pulih.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami