KISAH RASUL-RASUL 6:1-15 - Compare All Versions
KISAH RASUL-RASUL 6:1-15 BM (Alkitab Berita Baik)
Tidak berapa lama kemudian, apabila bilangan pengikut Yesus semakin bertambah, berlakulah pertengkaran antara orang Yahudi yang berbahasa Yunani dengan orang Yahudi yang berbahasa Ibrani. Orang Yahudi yang berbahasa Yunani berkata bahawa balu di kalangan mereka tidak menerima bantuan wang sehari-hari. Oleh itu, dua belas orang rasul itu mengumpulkan semua pengikut Yesus dan berkata kepada mereka, “Tidak patut kami abaikan tugas mengkhabarkan firman Allah untuk mengurus masalah kewangan. Oleh itu, pilihlah tujuh orang di kalangan saudara yang dikuasai oleh Roh Allah dan juga bijaksana. Lalu kami akan menugaskan mereka mengurus hal itu. Kami sendiri akan menggunakan masa kami untuk berdoa dan memberitakan perkhabaran daripada Allah.” Semua orang itu bersetuju dengan cadangan rasul-rasul. Oleh itu mereka memilih Stefanus, seorang yang sangat percaya kepada Yesus dan dikuasai oleh Roh Allah. Mereka juga memilih Filipus, Prokhorus, Nikanor, Timon, Parmenas, dan Nikolaus dari Antiokhia. Nikolaus seorang bukan Yahudi yang sudah memeluk agama Yahudi. Tujuh orang itu dihadapkan kepada rasul-rasul. Lalu rasul-rasul berdoa dan meletakkan tangan ke atas kepala mereka untuk melantik mereka melakukan tugas itu. Dengan demikian perkhabaran daripada Allah semakin tersebar luas dan bilangan pengikut Yesus di Yerusalem pun bertambah-tambah. Banyak imam juga percaya kepada Yesus. Stefanus sangat diberkati oleh Allah dan diberikan-Nya kuasa untuk melakukan mukjizat. Banyak mukjizat dan keajaiban yang dilakukannya di kalangan orang ramai. Tetapi beberapa orang menentang dia. Mereka anggota rumah ibadat yang disebut Rumah Ibadat Orang Bebas. Anggota rumah ibadat itu terdiri daripada orang Yahudi dari Kirene dan Aleksandria. Mereka dengan beberapa orang Yahudi dari Kilikia dan Asia berdebat dengan Stefanus. Tetapi Roh Allah memberi Stefanus kebijaksanaan untuk berkata-kata, sehingga mereka tidak dapat menyangkal kata-katanya. Oleh itu mereka memberikan rasuah kepada beberapa orang supaya berkata, “Kami mendengar dia menghina Musa dan mengkufuri Allah!” Demikianlah mereka menghasut orang ramai, para pemimpin masyarakat Yahudi, dan guru-guru Taurat. Lalu mereka pergi menangkap Stefanus, dan membawa dia menghadap Majlis Agama. Kemudian mereka menghadapkan beberapa orang yang memberikan kesaksian palsu tentang Stefanus. Mereka berkata, “Orang ini sentiasa menghina Rumah Tuhan yang suci dan Taurat Musa. Kami mendengar dia berkata bahawa Yesus dari Nasaret itu akan meruntuhkan Rumah Tuhan dan mengubah semua adat istiadat yang sudah kita terima daripada Musa!” Mata semua orang yang duduk di Majlis Agama menumpu kepada Stefanus dan mereka nampak muka Stefanus kelihatan seperti muka malaikat.
KISAH RASUL-RASUL 6:1-15 KEAS (Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry))
SŬBARMULA pada masa itu, tŭtkala bŭrtambah tambah umat itu mŭnjadi banyak, maka bŭrsungotlah orang Gŭrika kapada orang Ibrani, deri sŭbab jandanya pŭrampuan dilaliekannya deripada pliharaan sahari hari. Maka kadua blas Rasol itu pun mŭm: nggil umat yang banyak itu bŭrhimpon, sambil bŭrkata, Tiadalah patut kami mŭninggalkan pŭkŭrjaan mŭngajar pŭrkataan Allah, sŭbab mŭlayani meja. Sŭbab itu, hie sagala saudara, handaklah kamu mŭnchari diantara kamu tujoh orang yang tŭrpuji, lagi pun pŭnoh hatinya dŭngan Roh Alkudus, dan budiman, yang bulih kami wakilkan pŭkŭrjaan ini. Akan tŭtapi ta’dapat tiada kami ini handak sŭntiasa mŭminta doa, dan mŭngajar akan pŭrkataan Allah. ¶ Maka orang skalian itu pun bŭrkŭnanlah akan pŭrkataan ini, maka dipileh ulih marika itu Istifanus, iya itu sa’orang yang pŭnoh hatinya dŭngan iman, dan Roh Alkudus; dan lagi Filipus, dan Prokorus, dan Nikanor, dan Timon, dan Parminas, dan Nikolas, iya itu sa’orang moalaf deri Antiok. Maka sagala marika itu pun dihadapkannyalah kapada sagala Rasol; maka sŭtlah sudah iya mŭminta doa, lalu dilŭtakkannya tangan ka’atas sagala orang itu. Maka bŭrtambah tambah mashor pŭrkataan Allah itu; maka bilangan umat jadilah tŭrbanyak diJerusalem, dan bŭsarlah pŭrhimponan imam imam pun mŭngikot iman itu. Shahadan maka Istifanus pun pŭnohlah dŭngan iman, dan pŭnguasaan, diadakannyalah bŭbrapa tandah, dan ajaib yang bŭsar diantara kaum itu. ¶ Sŭbarmula maka bŭrbangkitlah bŭbrapa orang deri pada kŭnisa yang bŭrnama Libartina, dan Sirini, dan Iskandria, dan Asia, marika itu pun bŭrbantah bantahlah dŭngan Istifanus. Maka tiadalah dapat marika itu mŭlawan bijaksana dan kwasa pŭrkataannya itu. Maka tŭtkala itu diajaklah ulih marika itu bŭbrapa orang yang mŭngatakan, Bahwa kami sudah mŭnŭngar iya ini bŭrkata bŭbrapa pŭrkataan hujat mŭlawan Musa dan Allah. Maka dihasutnyalah kaum itu, sŭrta orang tua tua, dan khatib khatib, maka disŭrbunya marika itu, lalu ditangkapnya akan Istifanus, sŭrta dibawanyalah kahadapan mŭjlis; Lagi pun diadakannya pula bŭbrapa saksi dusta yang mŭngatakan, Bahwa iya ini tiada bŭrhŭnti deripada mŭngatakan pŭrkataan hujat atas tŭmpat yang suchi ini dan tauret: Kŭrna kami tŭlah mŭnŭngar iya ini mŭngatakan, Bahwa Isa orang Nazareth itu akan mŭrombak tŭmpat ini, dan mŭnukarkan sagala adat yang dibri ulih Musa kapada kita. Maka sagala orang yang dudok dalam mŭjlis itu pun mŭrŭnunglah mukanya, dilihatnya mukanya sa’olah olah spŭrti muka mŭliekat.
KISAH RASUL-RASUL 6:1-15 AVB (Alkitab Versi Borneo)
Tidak berapa lama selepas itu, ketika murid Yesus kian meningkat bilangannya, timbullah aduan daripada orang Yahudi peranakan Yunani terhadap orang Yahudi Ibrani. Orang Yahudi peranakan Yunani berkata bahawa balu dalam kalangan mereka diabaikan dalam pengagihan bantuan harian. Dengan demikian, dua belas rasul itu menghimpunkan semua murid lalu berkata, “Kami ini tidaklah wajar mengetepikan kewajipan menyampaikan firman Allah untuk melayan di meja makan. Oleh itu, pilihlah tujuh orang dalam kalangan saudara yang mempunyai nama baik dan dipenuhi Roh Kudus serta kebijaksanaan, supaya kami tugaskan mereka mengendalikan hal itu. Kami akan memenuhi masa kami dengan berdoa dan menyampaikan perkhabaran firman.” Semua bersetuju dengan cadangan para rasul. Mereka memilih Stefanus, seorang yang sangat teguh imannya serta dikuasai oleh Roh Kudus. Di samping itu, mereka memilih Filipus, Prokhorus, Nikanor, Timon, Parmenas, dan Nikolaus dari Antiokhia, seorang penganut agama Yahudi. Tujuh orang itu dibawa ke hadapan para rasul. Para rasul pun berdoa dan meletakkan tangan ke atas mereka. Dengan demikian firman Allah semakin tersebar dan bilangan murid Yesus di Yerusalem kian meningkat, dan ramai imam menjadi orang beriman. Stefanus, yang dipenuhi kasih kurnia dan kuasa rohani, banyak melakukan keajaiban dan tanda dalam kalangan orang ramai. Tetapi ada beberapa orang yang bangkit menentangnya, iaitu anggota saumaah yang disebut Saumaah Orang Yang Dibebaskan (terdiri daripada orang Yahudi dari Kirene, Aleksandria, Kilikia dan Asia). Mereka mulai berbahas dengan Stefanus. Namun demikian, mereka tidak dapat menewaskan kebijaksanaan dan Roh Kudus yang mengilhamkan kata-katanya. Setelah itu, mereka senyap-senyap mendorong beberapa orang berkata, “Kami telah mendengar dia melafazkan kata-kata kufur terhadap Musa dan Allah.” Mereka menghasut orang ramai, tua-tua dan ahli-ahli Taurat sehingga Stefanus ditangkap dan dihadapkan ke Majlis Agama. Mereka membawa saksi-saksi palsu yang berkata tentang Stefanus, “Orang ini tidak putus-putus meluahkan kata-kata kufur tentang tempat suci ini dan hukum agama kita. Kami mendengar dia berkata bahawa Yesus orang Nazaret itu akan membinasakan tempat ini dan mengubah segala adat yang telah disampaikan kepada kita oleh Musa.” Ketika itu semua orang yang duduk di Majlis Agama merenung Stefanus dan melihat mukanya seperti wajah malaikat.