KISAH RASUL-RASUL 3:1-12

KISAH RASUL-RASUL 3:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada suatu hari, Petrus dan Yohanes pergi ke Rumah Tuhan pada pukul tiga petang, iaitu masa berdoa. Di situ, di pintu yang disebut Pintu Indah, ada seorang lelaki yang kakinya lumpuh sejak dia dilahirkan. Tiap-tiap hari dia dibawa ke situ untuk meminta sedekah daripada orang yang masuk ke Rumah Tuhan. Apabila dia nampak Petrus dan Yohanes sedang masuk ke Rumah Tuhan, dia meminta sedekah daripada mereka. Mereka memandang dia, lalu Petrus berkata, “Pandanglah kami!” Kemudian orang itu memandang mereka dan berharap akan mendapat sesuatu daripada mereka. Tetapi Petrus berkata kepadanya, “Aku sama sekali tidak mempunyai wang, tetapi apa yang ada padaku akan aku berikan kepadamu: dengan kuasa Yesus Kristus orang Nasaret itu, berjalanlah!” Lalu Petrus memegang tangan kanan orang lumpuh itu dan menolong dia bangun. Seketika itu juga kaki dan pergelangan kaki orang lumpuh itu menjadi kuat. Lalu dia melompat bangun, dan mula berjalan ke sana ke mari. Kemudian dia masuk ke Rumah Tuhan bersama-sama Petrus dan Yohanes, sambil berjalan dan melompat-lompat serta memuji Allah. Semua orang melihat dia berjalan dan memuji Allah. Apabila mereka mengenali dia sebagai peminta sedekah yang biasa duduk di hadapan Pintu Indah di Rumah Tuhan, mereka hairan dan kagum melihat apa yang berlaku kepadanya. Orang itu masih mengikuti Petrus dan Yohanes. Apabila mereka tiba di serambi yang disebut Serambi Salomo, semua orang berlari mengerumuni mereka kerana kagum. Apabila Petrus melihat orang ramai itu, dia berkata kepada mereka, “Saudara-saudara orang Israel, mengapa saudara semua hairan akan perkara ini? Mengapa saudara-saudara merenung kami? Adakah saudara-saudara menyangka bahawa orang ini boleh berjalan kerana kuasa kami atau kerana kami taat kepada Allah?

KISAH RASUL-RASUL 3:1-12 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

BŬRMULA maka Petros dan Yahya pun pŭrgilah bŭrsama sama masok ka’abah pada kutika orang sŭmbahyang, iya itu pada pukol tiga pŭtang. Maka adalah sa’orang sakit lŭmpoh deripada prot ibunya, yang dipikol, sŭrta dilŭtakkan oranglah sahari hari dipintu ka’abah yang bŭrnama pintu Elok, akan mŭminta sŭdŭkah deripada orang yang masok kŭdalam ka’abah itu. Maka apabila dilihatnya Petros dan Yahya handak masok kŭdalam ka’abah itu, maka dipintalah sŭdŭkah. Maka Petros dan Yahya pun mŭrnunglah akan dia, sŭrta bŭrkata, Pandanglah ulihmu kapada kami. Maka dipandangnyalah akan marika itu, sŭrta dŭngan harapnya akan bŭrulih barang sa’suatu. Kutika itu bŭrkatalah Petros, Mas dan perak tiada padaku, tŭtapi barang yang ada padaku itulah kubrikan kapadamu; bahwa dŭngan nama Isa Almasih orang Nazareth itu, bangunlah angkau bŭrjalan. Maka dipŭgangnyalah tangannya kanan, sŭrta didirikannnya akan dia, maka dŭngan skutika itu juga kuatlah kakinya, dan mata kakinya. Maka mŭlompatlah iya sŭrta bŭrdiri, lalu bŭrjalan masok bŭsŭrta dŭngan marika itu kŭdalam ka’abah, sambil bŭrjalan, dan mŭlompat, dan mŭmuji akan Allah. Maka sagala orang mŭlihat akan dia bŭrjalan, sŭrta mŭmuji Allah. Shahadan maka dikŭnal oranglah akan dia, bahwa iya inilah orang yang mŭminta sŭdŭkah dipintu ka’abah yang bŭrnama pintu Elok; maka marika itu skalian pun pŭnohlah dŭngan hieran, sŭrta tŭrchŭngang derihal barang yang tŭlah jadi akan orang itu. Adapun orang yang sakit lŭmpoh yang tŭlah disŭmbohkau itu ada mŭrapatkan dirinya kapada Petros dan Yahya; maka sagala orang pun sangatlah hieran, sŭrta bŭrkrumun pada marika itu dalam sŭrambi ka’abah yang bŭrnama sŭrambi Sulieman. ¶ Maka apabila dilihat ulih Petros akan pŭrkara itu, lalu bŭrkatalah iya kapada orang orang itu, Hie orang Israil, mŭngapa kamu tŭrchŭngang akan hal ini, atau mŭngapa kamu skalian mŭrnung sangat akan kami, sa’olah olah dŭngan kwasa, atau kŭbaktian kami sŭndirikah yang tŭlah mŭnjadikan iya bŭrjalan?

KISAH RASUL-RASUL 3:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Petrus dan Yohanes naik ke Bait Suci bersama-sama pada waktu beribadat pada jam kesembilan. Ada seorang lumpuh sejak dari rahim ibunya. Setiap hari dia diangkat orang dan diletakkan di pintu Bait Suci itu yang dinamakan Pintu Indah, untuk meminta sedekah daripada orang yang masuk ke Bait Suci itu. Apabila dia melihat Petrus dan Yohanes sedang hendak masuk ke Bait Suci itu, dia pun meminta sedekah. Petrus merenungnya, bersama Yohanes, lalu berkata, “Pandanglah kami.” Orang itu pun menatap mereka, dengan harapan mendapat sesuatu daripada mereka. Kemudian Petrus berkata, “Emas perak tiada padaku, tetapi apa yang ada padaku kuberikan kepadamu: Dalam nama Yesus Kristus, orang Nazaret, bangkit dan berjalanlah.” Petrus memegang tangan kanannya dan menolongnya berdiri, lalu serta-merta tulang kaki dan buku lalinya mendapat kekuatan. Orang itu melompat bangun, berdiri lalu berjalan. Kemudian dia masuk ke Bait Suci itu mengikut Petrus dan Yohanes sambil berjalan, melompat dan memuji Allah. Semua orang melihatnya berjalan sambil memuji Allah. Ketika itu mereka pun mengetahui dia itu orang yang duduk meminta sedekah di Pintu Indah Bait Suci itu. Mereka pun dipenuhi rasa hairan dan ajaib akan apa yang telah berlaku kepadanya. Sementara orang lumpuh yang telah disembuhkan itu berpegang kepada Petrus dan Yohanes, semua orang yang tersangat hairan itu berlari mengerumuni mereka di serambi yang dinamakan Serambi Salomo. Apabila Petrus melihat keadaan ini, dia terus berkata kepada orang yang berhimpun itu, “Saudara-saudara orang Israel, mengapa kamu takjub melihat kejadian ini? Mengapa pula kamu merenung kami, seolah-olah dengan kuasa atau kesalihan kami sendiri kami telah membolehkan orang ini berjalan?