KISAH RASUL-RASUL 25:13-19
KISAH RASUL-RASUL 25:13-19 Alkitab Berita Baik (BM)
Beberapa lama kemudian, Raja Agripa dan Puteri Bernike datang ke Kaisarea untuk menyambut kedatangan Gabenor Festus. Setelah beberapa hari mereka di situ, Festus menerangkan perkara Paulus kepada Raja Agripa. Festus berkata, “Di sini ada seorang tahanan yang ditinggalkan oleh Feliks. Semasa patik di Yerusalem, ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi mengemukakan tuduhan terhadap dia dan memohon patik menjatuhkan hukuman kepadanya. Tetapi patik memberitahu mereka bahawa bukan kebiasaan orang Roma menyerahkan seseorang, sebelum orang itu berhadapan dengan para pendakwanya dan berpeluang membela diri. Apabila mereka datang ke mari, pada keesokan harinya dengan tidak membuang masa lagi patik duduk sebagai hakim di mahkamah. Lalu patik memberikan perintah supaya orang itu dibawa menghadap. Apabila para pendakwanya berdiri untuk mengemukakan tuduhan, mereka tidak mengajukan suatu kejahatan pun seperti yang patik sangka akan dilakukan mereka. Mereka hanya berdebat dengan dia tentang agama mereka sendiri dan tentang seorang bernama Yesus. Orang itu sudah mati, tetapi Paulus berkeras mengatakan bahawa Dia hidup.
KISAH RASUL-RASUL 25:13-19 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Adapun kumdian deri pada bŭbrapa hari antaranya, datanglah raja Agripa dan Berniki kaKesaria handak mŭlawat Festus. Maka bŭbrapa hari lamanya iya disana, maka dichŭrtrakan ulih Festus akan sagala hal ahwal Paulus kapada raja, katanya, Ada sa’orang orang yang ditinggalkan tŭrblunggu ulih Felix. Maka tŭtkala aku diJerusalem, sagala imam yang bŭsar dan orang orang tua tŭlah mŭngadap deri kŭrnanya, mŭminta hukumkan akan dia. Maka sahutku kapada marika itu, Tiada adat orang Rom mŭnyurohkan barang orang yang akan dibunoh itu dahulu deripada yang ditudohi itu bŭrhadapan dŭngan orang orang yang mŭnudoh, sŭrta mŭndapat izin mŭmbri jawab akan hal pŭrdawaannya itu. Sŭtlah itu apabila marika itu sudah datang kamari dŭngan tiada bŭrlambatan, maka pada kaesokkan harinya dudoklah aku ka’atas tŭmpat bichara, lalu orang itu pun kusuroh mŭngadap. Maka tŭtkala halirlah sagala orang yang mŭnudoh itu, maka ta’dapatlah marika itu mŭmbawa pŭrdawaan barang suatu spŭrti yang tŭlah kusangkakan. Mŭlainkan adalah bŭbrapa sual kapada marika itu mŭlawan akan dia derihal agamanya, dan lagi deripada sa’orang yang bŭrnama Isa yang tŭlah mati, iya itu dikatakan ulih Paulus ada hidop.
KISAH RASUL-RASUL 25:13-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Beberapa hari kemudian, Raja Agripa berangkat bersama Bernike ke Kaisarea untuk meraikan kedatangan Festus. Dalam beberapa hari raja itu tinggal di sana, Festus menceritakan hal Paulus kepadanya, “Di sini ada seorang yang ditinggalkan oleh Feliks di dalam penjara. Ketika aku di Yerusalem, ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi menuduh orang itu dan meminta supaya dia dihukum. Tetapi aku menjawab bahawa menurut adat orang Romawi, seseorang itu tidak boleh diserahkan sebelum berhadapan dengan pendakwanya dan diberi peluang membela diri. Apabila mereka datang ke sini, esoknya tanpa berlengah-lengah aku duduk sebagai hakim dan mengarahkan supaya orang itu dibawa masuk ke mahkamah. Para pendakwanya mengemukakan tuduhan tetapi tiada satu pun merupakan perbuatan jahat sebagaimana aku jangkakan. Semua tuduhan itu berlegar sekitar perselisihan tentang agama, tentang seorang bernama Yesus yang sudah mati dan dikatakan hidup semula oleh Paulus.