KISAH RASUL-RASUL 20:1-16

KISAH RASUL-RASUL 20:1-16 Alkitab Berita Baik (BM)

Setelah keadaan di Efesus tenteram semula, Paulus mengumpulkan pengikut Yesus di situ lalu menggalakkan mereka. Kemudian dia mengucapkan selamat tinggal dan meneruskan perjalanan ke Makedonia. Dia mengunjungi daerah Makedonia dan dengan banyak ajaran Paulus menggalakkan pengikut Yesus di situ. Kemudian dia pergi ke Akhaya. Di situ dia tinggal selama tiga bulan. Dia sedang bersiap-siap untuk pergi ke Siria, apabila dia mendengar bahawa orang Yahudi berkomplot untuk membunuh dia. Oleh itu, Paulus mengambil keputusan untuk kembali melalui Makedonia. Sopater anak Pirus yang berasal dari Berea pergi bersama-sama dia, begitu juga Aristarkhus dan Sekundus dari Tesalonika, Gayus dari Derbe, Tikhikus dan Trofimus dari daerah Asia, dan Timotius. Mereka pergi terlebih dahulu lalu menunggu kami di Troas. Setelah Perayaan Roti Tidak Beragi, kami belayar meninggalkan Filipi. Lima hari kemudian kami berjumpa dengan mereka di Troas. Di situ kami tinggal selama seminggu. Pada petang Sabtu kami berkumpul untuk makan bersama-sama saudara seiman. Kerana Paulus akan berangkat esoknya, dia mengajar orang di situ. Dia berkata-kata terus sehingga tengah malam. Banyak pelita dinyalakan di dalam bilik di tingkat atas, tempat kami berhimpun. Seorang pemuda bernama Eutikhus duduk di jendela. Kerana Paulus tidak berhenti-henti berkata-kata, pemuda itu mengantuk lalu tertidur di jendela itu dan akhirnya jatuh ke tanah dari tingkat ketiga. Apabila mereka mengangkatnya, dia sudah mati. Tetapi Paulus turun, lalu merebahkan diri ke atas pemuda itu dan memeluk dia. Paulus berkata, “Janganlah khuatir, dia masih hidup!” Kemudian Paulus naik kembali, lalu membahagikan roti dan makan bersama. Setelah lama bercakap dengan mereka, sehingga matahari terbit, Paulus berangkat. Mereka membawa pemuda yang hidup itu pulang ke rumah dan mereka sangat terhibur. Kami pergi ke kapal lalu belayar terlebih dahulu ke Asos. Di situ kami akan menyambut Paulus naik ke kapal. Dia menyuruh kami belayar terlebih dahulu kerana dia mahu ke Asos melalui jalan darat. Setelah Paulus tiba di Asos, kami membawa dia naik ke kapal lalu bertolak ke Metilene. Dari sana kami belayar pula, dan esoknya tiba di pulau Khios. Lusanya kami tiba di Samos dan sehari kemudian di Miletus. Paulus mengambil keputusan supaya tidak singgah di Efesus, agar tidak membuang masa di daerah Asia. Dia ingin cepat-cepat tiba di Yerusalem, jika boleh sebelum hari Pentakosta.

KISAH RASUL-RASUL 20:1-16 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

ADAPUN apabila bŭrhŭntilah pŭrgadohan itu, maka Paulus pun mŭmanggillah sagala murid itu datang kapadanya, sŭrta dipŭlok marika itu, lalu kluarlah iya handak pŭrgi kaMakadonia. Maka sŭtlah sudah iya mŭlalui sagala jajahan itu sambil mŭmbri bŭbrapa nasihat, lalu sampielah iya kŭtanah Grika. Maka tinggallah iya tiga bulan lamanya disana; maka apabila diadang ulih orang Yahudi akan dia tŭtkala iya handak bŭrlayar kabŭnua Syria, sŭbab itu bŭrfikirlah iya handak pulang mŭlalui Makadonia. Maka Supater orang nŭgri Beria, dan Aristarkus, dan Sekundus orang Thessalonika, dan Gaius orang Derbi, dan Timothius, dan Tychikus, dan Trofimus orang Asia; skaliannya itu mŭngikot dia sampie kaAsia. Maka orang orang itu pun pŭrgilah dahulu mŭnantikan kami dinŭgri Troas. Adapun kumdian deripada hari raya roti yang tiada bŭragi, maka kami pun bŭrlayarlah kaFilipi, dalam lima hari juga sampielah kami kaTroas; maka disanalah kami tinggal tujoh hari lamanya. Bŭrmula pada hari ahad apabilah sagala murid tŭlah bŭrhimponlah akan mŭmakan roti, maka Paulus mŭngajar marika itu, niatnya handak bŭrjalan pada esok harinya, sŭrta dilanjotkannya pŭrkataannya sampie tŭngah malam. Maka adalah banyak pŭlita diatas loteng ditŭmpat marika itu bŭrhimpon. Bŭrmŭla maka adalah sa’orang orang muda bŭrnama Eutykus dudok dijŭnela, maka iya tŭrtidorlah lŭlap; sŭmŭntara Paulus lagi mŭngajar lambat itu, maka sŭkunyung kunyung jatohlah iya dŭngan lŭlapnya itu deri tengkat rumah yang katiga sampie kŭbawah, maka didapati orang akan dia sudah mati. Maka turonlah Paulus mŭmbaringkan dirinya ka’atasnya, sŭrta didakapnya akan dia, katanya, Janganlah kamu susah, kŭrna adalah lagi nyawanya. Maka sŭtlah naiklah iya kŭmbali, sŭrta dipŭchahkannya roti lalu makan, sambil mŭngajar pula iya bŭbrapa lamanya sahingga tŭrbit fajar, maka kluarlah iya lalu bŭrjalan. Maka dibawalah orang akan orang muda itu sudah hidop, maka sŭnanglah hati marika itu bukannya sŭdikit. ¶ Maka kami pun naiklah kŭkapal, lalu bŭrlayar dahulu kanŭgri Assos, disanalah kami handak mŭnantikan Paulus; kŭrna dŭmkianlah pŭsannya, iya sŭndiri handak bŭrjalan kaki. Maka sŭtlah bŭrtŭmulah iya dŭngan kami diAssos, maka kami pun mŭngambil akan dia, lalu sampielah kanŭgri Mitilini. Maka deri sana bŭrlayarlah kami, lalu sampielah kasŭbarng pulau Kios pada esoknya; maka lusanya sampielah kami kaSamos, lalu tinggallah dinŭgri Trogilium; maka pada hari yang lain sampielah kami kaMilitus. Kŭrna Paulus tŭlah bŭrniat handak bŭrlayar mŭlalui Efesus, sŭbab iya tiada mahu kŭchewa waktunya diAsia; maka bŭrsŭgralah iya, supaya dŭngan sŭbulih bulihnya juga iya handak sampie kaJerusalem pada hari raya Pentikosta.

KISAH RASUL-RASUL 20:1-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah kota itu aman semula, Paulus memanggil para murid Yesus dan menasihatkan mereka, kemudian memohon diri lalu bertolak ke Makedonia. Dia menjelajahi seluruh Makedonia sambil memberikan nasihat kepada orang di situ. Kemudian dia tiba di Yunani dan tinggal di sana selama tiga bulan. Apabila dia hendak belayar ke Siria, dia mendengar bahawa orang Yahudi berpakat hendak membunuhnya. Oleh itu, dia membuat keputusan hendak berangkat melalui Makedonia. Dia diiringi hingga ke Asia oleh Sopater anak Purrus orang Beria, oleh Aristarkhus dan Sekundus orang Tesalonika, oleh Gayus orang Derbe, Timotius, dan dua orang dari Asia, Tikhikus dan Trofimus. Mereka berjalan dahulu, menantikan kami di Troas. Kami belayar dari Filipi selepas Perayaan Roti Tidak Beragi, lalu menemui mereka di Troas lima hari kemudian. Kami tinggal di situ selama tujuh hari. Pada hari pertama minggu itu, kami berkumpul untuk memecah-mecahkan roti. Paulus yang akan belayar esoknya bercakap dengan orang di situ sampai tengah malam. Di dalam bilik atas, tempat kami berhimpun itu, ada beberapa pelita. Seorang pemuda bernama Eutikhus duduk di jendela. Dia tertidur sementara Paulus masih bercakap. Oleh sebab lena tidurnya, pemuda itu jatuh dari tingkat ketiga itu sampai ke bawah. Orang mengangkatnya dan mendapatinya sudah mati. Paulus turun lalu merebahkan diri ke atas pemuda itu serta memeluknya sambil berkata, “Jangan bimbang, kerana ada lagi nyawanya.” Selepas itu dia naik, membahagikan roti, makan lalu bertutur sampai dinihari. Kemudian dia pun berangkat. Pemuda itu didapati hidup dan dibawa pulang ke rumahnya. Mereka semua amat terhibur. Kami berjalan dahulu naik ke kapal lalu belayar ke Asos untuk menyambut Paulus di sana; demikianlah yang telah dirancangnya, kerana dia sendiri hendak berjalan kaki. Setelah menyambutnya di Asos, kami mengiringinya ke Metilene. Kami belayar dari sana: Esoknya kami bertentangan dengan Pulau Khios; lusanya kami singgah di Samos; dan tulatnya kami sampai di Miletus. Paulus telah membuat keputusan untuk belayar melalui Efesus, supaya jangan berlarutan di Asia; dia hendak cepat, dengan harapan sampai di Yerusalem pada Perayaan Pentakosta.