KISAH RASUL-RASUL 12:1-25

KISAH RASUL-RASUL 12:1-25 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada masa itu Raja Herodes mula menganiaya beberapa orang daripada jemaah. Dengan perintah Raja Herodes, Yakobus, saudara Yohanes dipenggal kepalanya. Apabila Raja Herodes melihat bahawa perkara itu menyenangkan hati orang Yahudi, Raja Herodes melanjutkan perbuatannya yang jahat dengan menangkap Petrus. (Hal ini berlaku pada waktu Perayaan Roti Tidak Beragi.) Setelah Petrus ditangkap, dia dimasukkan ke dalam penjara. Di situ dia dijaga oleh empat kumpulan askar, dan setiap kumpulan terdiri daripada empat orang askar. Raja Herodes bercadang mengadili Petrus di hadapan umum apabila perayaan Paska berakhir. Oleh itu Petrus ditahan di penjara, tetapi jemaah tekun berdoa kepada Allah bagi Petrus. Pada malam sebelum Raja Herodes menghadapkan Petrus kepada orang ramai, Petrus tidur terbelenggu dengan dua rantai yang diikatkan kepada dua orang askar; seorang askar pada setiap sisinya. Di pintu penjara, askar-askar pengawal juga sedang bertugas. Tiba-tiba malaikat Tuhan berdiri di situ dan cahaya bersinar di dalam bilik penjara itu. Malaikat itu menggoyang-goyang Petrus dan membangunkan dia, lalu berkata, “Cepat bangun!” Pada saat itu juga jatuhlah rantai dari tangan Petrus. Malaikat itu berkata lagi, “Ikat tali pinggangmu dan pakailah kasut.” Petrus pun berbuat demikian. Kemudian malaikat itu berkata pula, “Pakailah jubahmu dan ikutlah aku.” Petrus mengikut malaikat itu keluar dari penjara. Tetapi Petrus tidak tahu sama ada perbuatan malaikat itu benar-benar berlaku atau tidak. Petrus menyangka semua itu hanya suatu penglihatan. Mereka melalui tempat penjagaan yang pertama, kemudian yang kedua dan akhirnya tiba di pintu besi yang menuju ke bandar. Pintu itu terbuka dengan sendirinya, lalu mereka keluar. Mereka berjalan melalui suatu lorong, lalu tiba-tiba malaikat itu meninggalkan Petrus. Barulah Petrus menyedari apa yang sudah berlaku kepada dirinya. Dia berkata, “Sekarang aku tahu bahawa semuanya benar-benar berlaku. Tuhan telah mengirim malaikat-Nya untuk melepaskan aku daripada kuasa Raja Herodes dan daripada segala sesuatu yang akan dilakukan orang Yahudi kepadaku.” Apabila Petrus menyedari keadaannya, dia pergi ke rumah Maria, ibu Yohanes Markus. Banyak orang berkumpul di situ dan sedang berdoa. Petrus mengetuk pintu luar, dan seorang hamba perempuan bernama Rode datang untuk membuka pintu. Dia mengenali suara Petrus, tetapi kerana terlalu gembira dia cepat-cepat masuk kembali tanpa membuka pintu. Dia memberitahu bahawa Petrus berdiri di luar. “Kamu gila!” kata mereka. Tetapi Rode berkeras mengatakan orang itu Petrus. Oleh itu mereka berkata, “Dia itu malaikatnya!” Sementara itu Petrus terus-menerus mengetuk pintu. Akhirnya mereka membuka pintu, dan apabila mereka melihat Petrus, mereka hairan sekali. Petrus memberikan isyarat dengan tangan supaya mereka tenang. Lalu dia menceritakan bagaimana Tuhan sudah membawa dia keluar dari penjara. Kemudian Petrus berkata, “Beritahukan hal ini kepada Yakobus dan saudara-saudara yang lain.” Kemudian dia meninggalkan tempat itu dan pergi ke tempat lain. Pagi berikutnya berlakulah kegemparan di kalangan askar-askar itu. Apakah yang sudah berlaku terhadap Petrus? Raja Herodes menyuruh orang mencari Petrus, tetapi mereka tidak dapat menjumpai dia. Lalu Raja Herodes memberikan perintah supaya askar-askar pengawal itu disoal siasat lalu dihukum mati. Setelah itu Raja Herodes meninggalkan Yudea lalu tinggal di Kaisarea untuk beberapa waktu. Raja Herodes sangat murka terhadap orang Tirus dan Sidon. Oleh itu mereka datang bersama untuk menghadap Raja Herodes. Mula-mula mereka meyakinkan Blastus, orang yang mengepalai istana Raja Herodes, supaya memihak mereka. Kemudian mereka pergi menghadap Raja Herodes dan minta berdamai, kerana bekalan makanan negeri mereka bergantung kepada negeri Raja Herodes. Pada hari yang sudah ditetapkan, Raja Herodes mengenakan pakaian kebesaran lalu bersemayam di takhta dan menyampaikan ucapan kepada rakyat. Orang ramai yang mendengar ucapan Raja Herodes berseru, “Dewalah yang berkata-kata, bukan manusia.” Pada saat itu juga malaikat Tuhan memukul Raja Herodes, kerana raja tidak menghormati Allah. Raja Herodes dimakan cacing lalu mangkat. Sementara itu firman Allah semakin tersebar luas dan banyak orang percaya kepada Yesus. Setelah Barnabas dan Saulus menyelesaikan tugas, mereka kembali dari Yerusalem dan membawa serta Yohanes Markus.

KISAH RASUL-RASUL 12:1-25 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA maka pada kutika itu raja Herodis pun mŭnaikkan tangannya akan mŭngannyayai bŭbrapa orang deripada sidang jŭmaah itu. Maka dibunohnyalah Yakob saudara Yahya dŭngan pŭdang. Maka apabila dilihat ulih Herodis, bahwa hal itu mŭnjadi kasukaanlah bagie orang Yahudi, maka dimulai pula mŭnangkap Petros pun. Maka adalah pada kutika itu hari raya roti yang tiada bŭragi. Maka apabila sudah ditangkapnya akan Petros, lalu dipŭnjarakannya, sŭrta disŭrahkannya kapada anam blas lashkar, ampat orang bŭrganti ganti bŭrjaga; maka pada hati raja handak mŭngadapkan dia kapada kaum kumdian deripada hari raya langkah kŭlak. Maka tŭrkuronglah Petros dalam pŭnjara; tŭtapi didoakan ulih sagala sidang jŭmaah kapada Allah akan dia dŭngan tiada bŭrkŭputusan. Adapun tŭtkala Herodis handak mŭngluarkan dia pada esoknya, maka pada malamnya itu juga Petros pun tidorlah dŭngan dua rantie bŭlunggunya, diantara dua orang lashkar itu; maka pŭnunggu dipintu pun ada mŭnjaga pŭnjara itu. Maka hieran, datanglah sa’orang mŭliekat Tuhan, maka bŭrsinarlah suatu chahya dalam pŭnjara itu, lalu ditŭpoknya rusok Petros, dibangunkannya akan dia, katanya, Sŭgralah bangun. Maka tiba tiba gugorlah rantie deri tangannya itu. Maka bŭrkatalah mŭliekat itu padanya, Ikatlah pinggangmu, dan pakielah trompamu. Sŭtlah sudah itu maka katanya, Pakielah slimutmu, marilah angkau mŭngikut aku. Maka kluarlah iya mŭngikut dia; kŭrna halnya tiada dikŭtahuinya kŭtŭntuannya apa yang dipŭrbuat ulih mŭliekat itu, mŭlainkan pada sangkanya iya mŭlihat suatu pŭnglihatan. Maka apabila marika itu sudah mŭlalui kawal yang pŭrtama dan yang kadua, maka sampielah marika itu kapada pintu bŭsi ara kanŭgri, maka tŭrbukalah iya sŭndirinya; maka kluarlah mariku itu, sŭrta mŭlalui suatu lorong, maka sŭkunyung kunyung raiblah mŭliekat itu deripadanya. Maka apabila Petros pun sŭdarlah akan dirinya, lalu bŭrkatalah iya, Bahwa skarang tŭlah kukŭtahuilah dŭngan sŭbŭnarnya, bahwa Tuhan tŭlah mŭnyurohkan mŭliekatnya akan mŭlŭpaskan aku deripada tangan Herodis, dan deripada maksud sagala orang Yahudi itu. Maka sŭtlah sudah iya bŭrfikir dŭmkian, maka sampielah kŭrumah Mŭriam ibu Yahya, yang bŭrgŭlar Markus; iya itu ditŭmpat orang banyak bŭrhimpon minta doa. Maka Petros mŭngŭtok pintu luar, maka datanglah sa’orang dayang yang bŭrnama Roda handak mŭnŭngar. Maka apabila dikŭnallah ulih pŭrampuan itu akan swara Petros, sŭbab suka chitanya, tiadalah jadi iya mŭmbuka pintu, mŭlainkan bŭrlarilah iya masok mŭmbri tahu, bahwa Petros ada bŭrdiri dipintu. Maka bŭrkatalah marika itu kapadanya, Angkau gila. Maka kata pŭrampuan itu bŭrturot turot, Sungguh dŭmkian. Maka bŭrkatalah marika itu pula, Iya itulah mŭliekatnya. Maka Petros pun bŭrturot turot juga mŭngŭtok pintu: maka sŭtlah sudah dibukakan, sŭrta dilihatnya akan dia, maka tŭrchŭngang chŭnganglah marika itu. Maka dibrinya isharat akan marika itu dŭngan tangannya, mŭnyurohkan diam, sambil iya mŭnchŭrtrakan bagimana hal tŭlah dikluarkan Tuhan akan dia deri dalam pŭnjara. Maka bŭrkata pula iya, Pŭrgilah mŭnyatakan akan hal ini kapada Yakob, dan kapada sagala saudara. Maka kluarlah iya bŭrjalan, pŭrgi pada tŭmpat yang lain. Maka sŭtlah sianglah hari, maka gŭmparlah diantara sagala lashkar itu bukannya sŭdikit, apakah kŭsudahannya Petros itu. Maka apabila Herodis sudah mŭnchari akan dia, sŭrta tiada didapatinya, lalu dipreksainya akan sagala orang yang bŭrkawal itu, sŭrta disurohkannya hukumkan akan marika itu dŭngan hukum bunoh. Maka bŭrpindahlah iya deri tanah Yahuda pŭrgi kanŭgri Kesaria, maka tingallah iya disana. ¶ Alkesah maka Herodis pun tŭrlalulah sangat marahnya kapada orang nŭgri Thor dan Sidon: tŭtapi datanglah marika itu dŭngan satu hati mŭngadap akan dia, sŭtlah sudah dibuatnya sahabat akan Blastus, pŭnghulu bilek pŭraduan raja itu, lalu dipintanya damie; kŭrna nŭgrinya itu tŭrpliharalah ulih nŭgri raja itu. Maka adalah pada suatu hari yang tŭrtŭntu, maka Herodis pun mŭmakielah pakiean krajaan, lalu dudoklah iya ka’atas singahsananya, sŭrta bŭrkata kata kapada marika itu. Maka bŭrsrulah sagala rayat itu katanya, Bahwa inilah sa’olah olah swara Allah, bukannya swara manusia. Maka pada sa’at itu juga disŭngsarakan ulih mŭliekat Tuhan akan Herodis, sŭbab tiada iya mŭmuliakan Allah; maka iya pun dimakanlah ulih chaching, lalu putuslah nyawanya. ¶ Maka pŭrkataan Allah pun makinlah bŭrtambah tambah mashornya, sŭrta dŭngan ramienya. Adapun Barnabas dan Saul pun apabila sudah mŭnjŭlaskan pŭkŭrjaannya, lalu kŭmbalilah iya deri Jerusalem kaAntiok, sŭrta dibawanya bŭrsama sama akan Yahya yang bŭrgŭlar Markus.

KISAH RASUL-RASUL 12:1-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada masa itu Raja Herodes pula turut menganiaya beberapa orang daripada jemaah. Yakobus saudara Yohanes dibunuhnya dengan pedang. Apabila dilihatnya orang Yahudi sukacita dengan tindakannya, dia menangkap Petrus pula, pada Perayaan Roti Tidak Beragi. Dia memasukkan Petrus ke dalam penjara dan menyerahkannya kepada enam belas orang askar yang bertugas menjaganya bergilir-gilir, empat orang segiliran. Niatnya hendak membawa Petrus ke hadapan orang Yahudi selepas Perayaan Paskah. Sementara itu Petrus dikawal rapi di dalam penjara; tetapi jemaah berdoa dengan sungguh-sungguh kepada Allah untuknya. Pada malam sebelum hari perbicaraan yang ditetapkan oleh Herodes itu, Petrus tidur di antara dua orang askar, terikat dengan dua rantai; di samping itu para pengawal berjaga di hadapan pintu penjara itu. Tiba-tiba malaikat Tuhan terdiri di situ dan cahaya menyinari bilik itu. Malaikat itu menepuk Petrus dan membangunkannya lalu berkata, “Cepat bangun.” Dalam sekelip mata gugurlah rantai daripada tangan Petrus. Malaikat itu berkata lagi, “Ikatlah tali pinggang dan pakailah kasutmu.” Setelah Petrus berbuat demikian, malaikat itu berkata lagi, “Pakailah jubahmu dan ikutlah aku.” Petrus mengikut malaikat itu keluar dari penjara tanpa mengetahui sama ada segalanya itu benar-benar terjadi atau hanya suatu penglihatan. Mereka melalui tempat pengawal berjaga yang pertama dan yang kedua. Akhirnya mereka sampai di pintu besi yang menghala ke kota lalu pintu itu terbuka dengan sendirinya dan mereka pun keluar. Ketika mereka berjalan di suatu lorong, malaikat itu pun tiba-tiba meninggalkan Petrus. Pada saat itu barulah Petrus sedar apa yang telah terjadi. Dia berkata, “Sekarang tahulah aku bahawa segalanya benar-benar berlaku. Tuhan telah mengutus malaikat-Nya untuk menyelamatkan aku daripada Raja Herodes dan segala yang hendak dilakukan oleh orang Yahudi kepadaku.” Setelah itu, Petrus pergi ke rumah Maria, ibu kepada Yohanes yang bergelar Markus. Di situ ramai orang berhimpun dan sedang berdoa. Apabila Petrus mengetuk pintu, seorang hamba perempuan bernama Rode datang ke pintu. Dia mengenali suara Petrus. Akan tetapi, dia begitu sukacita hinggakan terus masuk semula tanpa membukakan pintu. Dia memberitahu bahawa Petrus ada di luar. “Kamu gila!” seru mereka, namun Rode beria-ia mengatakan orang yang di luar itu Petrus. Mereka berkata, “Tentu itu malaikatnya!” Petrus mengetuk pintu lagi berulang-ulang. Akhirnya mereka membukakan pintu dan tercengang apabila melihat Petrus. Petrus memberikan isyarat meminta mereka bertenang lalu mengisahkan betapa Tuhan telah mengeluarkannya dari penjara. Selepas itu Petrus berkata, “Khabarkanlah hal ini kepada Yakobus dan saudara-saudara lain.” Kemudian dia pun pergi ke tempat lain. Setelah hari siang, askar-askar yang berkawal itu gempar, tertanya-tanya apakah yang telah terjadi kepada Petrus. Raja Herodes menyuruh orang mencari Petrus tetapi tidak berjaya. Lantas Raja Herodes mengeluarkan perintah supaya askar-askar yang berkawal itu disoal siasat dan kemudiannya dihukum bunuh. Selepas itu, Raja Herodes berpindah dari Yudea ke Kaisarea lalu tinggal di sana. Raja Herodes amat murka terhadap orang Tirus dan Sidon. Oleh yang demikian, mereka datang bersama-sama untuk menghadap Raja Herodes. Pertama sekali mereka mendapatkan sokongan Blastus, ketua istana Raja Herodes. Selepas itu, mereka menghadap Raja Herodes dan meminta berdamai, kerana bekalan makanan negeri mereka bergantung kepada negeri Raja Herodes. Pada hari yang telah ditetapkan, Raja Herodes mengenakan pakaian kebesaran diraja, duduk di atas singgahsana lalu berkata kepada rakyat. Mereka berseru, “Itu suara seorang tuhan, bukan manusia.” Pada saat itu malaikat Tuhan memukul Raja Herodes kerana tidak menghormati Allah. Raja Herodes pun mati dimakan ulat. Firman Allah semakin luas tersebar dan kian ramai orang percaya kepada Yesus. Setelah Barnabas dan Saul menjalankan tugas mereka pulang dari Yerusalem dan membawa Yohanes yang bergelar Markus itu bersama mereka.