KISAH RASUL-RASUL 12:1-11

KISAH RASUL-RASUL 12:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada masa itu Raja Herodes mula menganiaya beberapa orang daripada jemaah. Dengan perintah Raja Herodes, Yakobus, saudara Yohanes dipenggal kepalanya. Apabila Raja Herodes melihat bahawa perkara itu menyenangkan hati orang Yahudi, Raja Herodes melanjutkan perbuatannya yang jahat dengan menangkap Petrus. (Hal ini berlaku pada waktu Perayaan Roti Tidak Beragi.) Setelah Petrus ditangkap, dia dimasukkan ke dalam penjara. Di situ dia dijaga oleh empat kumpulan askar, dan setiap kumpulan terdiri daripada empat orang askar. Raja Herodes bercadang mengadili Petrus di hadapan umum apabila perayaan Paska berakhir. Oleh itu Petrus ditahan di penjara, tetapi jemaah tekun berdoa kepada Allah bagi Petrus. Pada malam sebelum Raja Herodes menghadapkan Petrus kepada orang ramai, Petrus tidur terbelenggu dengan dua rantai yang diikatkan kepada dua orang askar; seorang askar pada setiap sisinya. Di pintu penjara, askar-askar pengawal juga sedang bertugas. Tiba-tiba malaikat Tuhan berdiri di situ dan cahaya bersinar di dalam bilik penjara itu. Malaikat itu menggoyang-goyang Petrus dan membangunkan dia, lalu berkata, “Cepat bangun!” Pada saat itu juga jatuhlah rantai dari tangan Petrus. Malaikat itu berkata lagi, “Ikat tali pinggangmu dan pakailah kasut.” Petrus pun berbuat demikian. Kemudian malaikat itu berkata pula, “Pakailah jubahmu dan ikutlah aku.” Petrus mengikut malaikat itu keluar dari penjara. Tetapi Petrus tidak tahu sama ada perbuatan malaikat itu benar-benar berlaku atau tidak. Petrus menyangka semua itu hanya suatu penglihatan. Mereka melalui tempat penjagaan yang pertama, kemudian yang kedua dan akhirnya tiba di pintu besi yang menuju ke bandar. Pintu itu terbuka dengan sendirinya, lalu mereka keluar. Mereka berjalan melalui suatu lorong, lalu tiba-tiba malaikat itu meninggalkan Petrus. Barulah Petrus menyedari apa yang sudah berlaku kepada dirinya. Dia berkata, “Sekarang aku tahu bahawa semuanya benar-benar berlaku. Tuhan telah mengirim malaikat-Nya untuk melepaskan aku daripada kuasa Raja Herodes dan daripada segala sesuatu yang akan dilakukan orang Yahudi kepadaku.”

KISAH RASUL-RASUL 12:1-11 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA maka pada kutika itu raja Herodis pun mŭnaikkan tangannya akan mŭngannyayai bŭbrapa orang deripada sidang jŭmaah itu. Maka dibunohnyalah Yakob saudara Yahya dŭngan pŭdang. Maka apabila dilihat ulih Herodis, bahwa hal itu mŭnjadi kasukaanlah bagie orang Yahudi, maka dimulai pula mŭnangkap Petros pun. Maka adalah pada kutika itu hari raya roti yang tiada bŭragi. Maka apabila sudah ditangkapnya akan Petros, lalu dipŭnjarakannya, sŭrta disŭrahkannya kapada anam blas lashkar, ampat orang bŭrganti ganti bŭrjaga; maka pada hati raja handak mŭngadapkan dia kapada kaum kumdian deripada hari raya langkah kŭlak. Maka tŭrkuronglah Petros dalam pŭnjara; tŭtapi didoakan ulih sagala sidang jŭmaah kapada Allah akan dia dŭngan tiada bŭrkŭputusan. Adapun tŭtkala Herodis handak mŭngluarkan dia pada esoknya, maka pada malamnya itu juga Petros pun tidorlah dŭngan dua rantie bŭlunggunya, diantara dua orang lashkar itu; maka pŭnunggu dipintu pun ada mŭnjaga pŭnjara itu. Maka hieran, datanglah sa’orang mŭliekat Tuhan, maka bŭrsinarlah suatu chahya dalam pŭnjara itu, lalu ditŭpoknya rusok Petros, dibangunkannya akan dia, katanya, Sŭgralah bangun. Maka tiba tiba gugorlah rantie deri tangannya itu. Maka bŭrkatalah mŭliekat itu padanya, Ikatlah pinggangmu, dan pakielah trompamu. Sŭtlah sudah itu maka katanya, Pakielah slimutmu, marilah angkau mŭngikut aku. Maka kluarlah iya mŭngikut dia; kŭrna halnya tiada dikŭtahuinya kŭtŭntuannya apa yang dipŭrbuat ulih mŭliekat itu, mŭlainkan pada sangkanya iya mŭlihat suatu pŭnglihatan. Maka apabila marika itu sudah mŭlalui kawal yang pŭrtama dan yang kadua, maka sampielah marika itu kapada pintu bŭsi ara kanŭgri, maka tŭrbukalah iya sŭndirinya; maka kluarlah mariku itu, sŭrta mŭlalui suatu lorong, maka sŭkunyung kunyung raiblah mŭliekat itu deripadanya. Maka apabila Petros pun sŭdarlah akan dirinya, lalu bŭrkatalah iya, Bahwa skarang tŭlah kukŭtahuilah dŭngan sŭbŭnarnya, bahwa Tuhan tŭlah mŭnyurohkan mŭliekatnya akan mŭlŭpaskan aku deripada tangan Herodis, dan deripada maksud sagala orang Yahudi itu.

KISAH RASUL-RASUL 12:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada masa itu Raja Herodes pula turut menganiaya beberapa orang daripada jemaah. Yakobus saudara Yohanes dibunuhnya dengan pedang. Apabila dilihatnya orang Yahudi sukacita dengan tindakannya, dia menangkap Petrus pula, pada Perayaan Roti Tidak Beragi. Dia memasukkan Petrus ke dalam penjara dan menyerahkannya kepada enam belas orang askar yang bertugas menjaganya bergilir-gilir, empat orang segiliran. Niatnya hendak membawa Petrus ke hadapan orang Yahudi selepas Perayaan Paskah. Sementara itu Petrus dikawal rapi di dalam penjara; tetapi jemaah berdoa dengan sungguh-sungguh kepada Allah untuknya. Pada malam sebelum hari perbicaraan yang ditetapkan oleh Herodes itu, Petrus tidur di antara dua orang askar, terikat dengan dua rantai; di samping itu para pengawal berjaga di hadapan pintu penjara itu. Tiba-tiba malaikat Tuhan terdiri di situ dan cahaya menyinari bilik itu. Malaikat itu menepuk Petrus dan membangunkannya lalu berkata, “Cepat bangun.” Dalam sekelip mata gugurlah rantai daripada tangan Petrus. Malaikat itu berkata lagi, “Ikatlah tali pinggang dan pakailah kasutmu.” Setelah Petrus berbuat demikian, malaikat itu berkata lagi, “Pakailah jubahmu dan ikutlah aku.” Petrus mengikut malaikat itu keluar dari penjara tanpa mengetahui sama ada segalanya itu benar-benar terjadi atau hanya suatu penglihatan. Mereka melalui tempat pengawal berjaga yang pertama dan yang kedua. Akhirnya mereka sampai di pintu besi yang menghala ke kota lalu pintu itu terbuka dengan sendirinya dan mereka pun keluar. Ketika mereka berjalan di suatu lorong, malaikat itu pun tiba-tiba meninggalkan Petrus. Pada saat itu barulah Petrus sedar apa yang telah terjadi. Dia berkata, “Sekarang tahulah aku bahawa segalanya benar-benar berlaku. Tuhan telah mengutus malaikat-Nya untuk menyelamatkan aku daripada Raja Herodes dan segala yang hendak dilakukan oleh orang Yahudi kepadaku.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami