KISAH RASUL-RASUL 10:1-48

KISAH RASUL-RASUL 10:1-48 Alkitab Berita Baik (BM)

Seorang lelaki bernama Kornelius tinggal di Kaisarea. Dia kapten pasukan tentera Roma yang disebut Pasukan Italia. Dia takut akan Allah; dia dan keluarganya menyembah Allah. Dia sering menolong orang Yahudi yang miskin, dan dia sentiasa berdoa kepada Allah. Pada suatu hari kira-kira pukul tiga petang, dalam suatu penglihatan, dengan jelas dia melihat malaikat Tuhan datang kepadanya dan berkata, “Kornelius!” Kornelius memandang malaikat itu dengan ketakutan lalu bertanya, “Ada apa, tuan?” Malaikat itu menjawab, “Doamu dan kemurahan hatimu sudah diterima oleh Allah dan Allah mengabulkan doamu. Sekarang suruhlah beberapa orang ke Yope untuk memanggil seorang bernama Simon Petrus. Dia sedang menumpang di rumah seorang penyamak kulit bernama Simon, yang tinggal di tepi pantai.” Setelah malaikat itu pergi, Kornelius memanggil dua orang hamba yang bekerja di rumahnya dan salah seorang pengawal peribadinya, yang juga takut akan Allah. Dia memberitahu mereka apa yang sudah berlaku, lalu menyuruh mereka pergi ke Yope. Keesokan harinya, semasa mereka masih dalam perjalanan dan hampir tiba di Yope, Petrus naik ke atas bumbung rumah pada tengah hari untuk berdoa. Dia lapar dan hendak makan. Sementara makanan disediakan, dia mendapat suatu penglihatan. Dia melihat langit terbuka dan sesuatu seperti kain lebar diturunkan ke bumi, tergantung pada keempat-empat sudutnya. Di dalamnya terdapat segala macam binatang berkaki empat, binatang menjalar dan burung-burung liar. Lalu ada suara berkata kepadanya, “Petrus, bangunlah! Sembelihlah binatang itu dan makanlah!” Petrus menjawab, “Tidak, Tuhan! Aku belum pernah makan apa-apa yang haram atau najis.” Tetapi suara itu berkata lagi, “Jangan anggap haram apa yang sudah dinyatakan halal oleh Allah.” Perkara itu berulang sehingga tiga kali, lalu kain itu terangkat kembali ke langit. Petrus termenung memikirkan makna penglihatan itu. Pada masa itu orang yang disuruh oleh Kornelius sudah menjumpai rumah Simon, dan mereka sedang berdiri di muka pintu. Mereka memanggil dan bertanya sama ada seorang tamu bernama Simon Petrus menumpang di situ. Petrus masih berusaha untuk memahami makna penglihatan itu, apabila Roh Allah berkata kepadanya, “Dengarlah! Tiga orang sedang mencari kamu. Cepatlah turun ke bawah dan jangan ragu-ragu mengikut mereka, kerana Aku yang menyuruh mereka datang.” Petrus turun ke bawah dan berkata kepada mereka, “Sayalah yang saudara-saudara cari. Mengapa saudara-saudara datang?” Mereka menjawab, “Kapten Kornelius menyuruh kami ke mari. Dia orang baik dan dia takut akan Allah. Dia sangat dihormati oleh semua orang Yahudi. Malaikat Allah menyuruh dia menjemput tuan ke rumahnya supaya dia boleh mendengar apa yang akan tuan katakan.” Lalu Petrus menjemput mereka menginap di situ. Keesokan harinya Petrus bersiap-siap dan pergi dengan mereka. Beberapa orang pengikut Yesus dari Yope pun pergi dengan dia. Sehari sesudah itu, mereka tiba di Kaisarea. Kornelius bersama-sama sanak saudara dan sahabat-sahabat karib yang telah dijemputnya, sedang menunggu mereka. Apabila Petrus tiba, Kornelius menyambut dia dan sujud di hadapannya. Tetapi Petrus menyuruh dia bangun, “Bangunlah,” katanya, “saya sendiri pun manusia.” Sementara bercakap dengan Kornelius, Petrus masuk ke dalam rumah dan mendapati banyak orang sudah berkumpul di situ. Petrus berkata kepada mereka, “Saudara-saudara sendiri tahu bahawa orang Yahudi dilarang oleh agama mereka untuk melawat atau berhubungan dengan orang bukan Yahudi. Tetapi Allah sudah menunjukkan bahawa saya tidak boleh menganggap seseorang pun najis atau haram. Itulah sebabnya apabila saya dijemput, saya tidak berkeberatan datang. Katakanlah, mengapa tuan meminta saya datang?” Kornelius menjawab, “Tiga hari yang lalu, kira-kira pada pukul tiga petang saya sedang berdoa di rumah. Tiba-tiba seorang lelaki yang pakaiannya bersinar-sinar berdiri di hadapan saya. Dia berkata, ‘Kornelius! Allah sudah mendengar doamu, dan ingat akan kemurahan hatimu. Suruhlah orang pergi ke Yope untuk memanggil seorang bernama Simon Petrus. Dia menumpang di rumah seorang penyamak kulit bernama Simon, yang tinggal di tepi pantai.’ Itulah sebabnya saya segera menyuruh orang memanggil tuan, dan tuan sungguh baik hati kerana sudi ke mari. Sekarang kami berkumpul di sini di hadapan Allah, untuk mendengar apa sahaja yang akan tuan katakan seperti yang diperintahkan oleh Tuhan.” Lalu Petrus berkata, “Sekarang barulah saya sedar bahawa Allah memperlakukan semua orang dengan sama rata. Sesiapa yang menghormati Allah dan berbuat apa yang benar, diterima oleh Allah, walau apa pun bangsanya. Saudara-saudara tahu akan perkhabaran yang disampaikan oleh Allah kepada bangsa Israel. Khabar itu Berita Baik tentang kedamaian melalui Yesus Kristus, Tuhan semua orang. Saudara-saudara mengetahui apa yang telah berlaku di seluruh Yudea, mulai dari Galilea, setelah baptisan yang diberitakan oleh Yohanes. Saudara-saudara tahu bahawa Allah telah memilih Yesus orang Nasaret itu dan memberi Dia Roh Allah dan kekuasaan. Yesus pergi ke serata tempat untuk berbuat baik dan menyembuhkan semua orang yang dikuasai oleh Iblis, kerana Allah menyertai Yesus. Kami saksi yang sudah melihat segala sesuatu yang dilakukan-Nya di negeri Yudea mahupun di Yerusalem. Kemudian mereka menyalibkan Dia dan membunuh Dia. Tetapi pada hari ketiga Allah membangkitkan Dia daripada kematian, dan memperlihatkan Dia. Dia tidak dilihat oleh semua orang; tetapi hanya oleh kami yang sudah dipilih oleh Allah untuk menjadi saksi-saksi-Nya. Kami makan dan minum dengan Dia, sesudah Dia bangkit daripada kematian. Dia menyuruh kami mengkhabarkan Berita Baik itu kepada semua orang, dan memberikan kesaksian bahawa Dialah yang diutus oleh Allah untuk menjadi hakim orang yang masih hidup dan yang sudah mati. Semua nabi berkata-kata tentang Dia. Mereka berkata bahawa setiap orang yang percaya kepada Yesus, dosanya akan diampunkan dengan kekuasaan Yesus.” Sementara Petrus berkata-kata, Roh Allah turun dan menguasai semua orang yang mendengar perkhabaran itu. Beberapa orang Yahudi yang percaya kepada Yesus dan menyertai Petrus dari Yope, hairan melihat Allah mengurniakan Roh-Nya kepada orang bukan Yahudi juga. Mereka mendengar semua orang itu bertutur dalam bahasa-bahasa yang ajaib serta memuji-muji kebesaran Allah. Lalu Petrus berkata, “Lihatlah, semua orang ini sudah menerima Roh Allah seperti kita. Bolehkah sesiapa menghalangi mereka dibaptis dengan air?” Oleh itu Petrus menyuruh mereka dibaptis demi nama Yesus Kristus. Kemudian mereka meminta supaya Petrus tinggal dengan mereka untuk beberapa hari.

KISAH RASUL-RASUL 10:1-48 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

ALKESAH maka adalah dinŭgri Kesaria sa’orang yang bŭrnama Kornelius, iya itu pŭnghulu orang sa’ratus dalam pasukan yang bŭrnama Italian. Adapun iya itu sa’orang bŭrbakti, lagi takot akan Allah, sŭrta dŭngan orang isi rumahnya pun, maka banyak iya mŭmbri sŭdŭkah pada orang, dan sŭntiasa iya mŭminta doa kapada Allah. Maka ada kira kira pada jam pukol tiga pŭtang, dalam khial dilihatnya dŭngan nyatanya akan sa’orang mŭliekat Allah datang kapadanya, lalu bŭrkata, Kornelius, Maka dŭmi dipandangnya akan dia, takotlah iya, sŭrta bŭrkata, Apa bichara Tuan? Maka jawabnya, Bahwa sagala doamu dan sŭdŭkahmu tŭlah mŭnjadi suatu pŭringatan kapada Allah. Maka skarang pun surohlah ulihmu akan orang pŭrgi kaJopa, supaya mŭnjŭmpot Simon yang bŭrgŭlar Petros. Maka adalah iya mŭnumpang dirumah sa’orang tukang samak kulit yang bŭrnama Simon, adapun rumahnya itu ditŭpi laut; maka iyalah kŭlak akan mŭmbri tahu padamu apa yang patut angkau pŭrbuat. Adapun sŭtlah sudah undorlah mŭliekat yang bŭrkata kata kapada Kornelius, maka dipanggilnyalah dua orang hambanya yang dirumahnya, sŭrta dŭngan sa’orang lashkar yang bŭrbakti deri ŭntara orang yang mŭngawali akan dia sŭntiasa. Maka sŭtlah sudah iya mŭngatakan kapada marika itu sagala pŭrkara itu, maka disurohnyalah akan marika itu pŭrgi kaJopa. ¶ Bŭrmula pada ka’esokkan harinya, tŭngah marika itu bŭrjalan sŭrta mŭnghampiri nŭgri, maka pada tŭtkala itu Petros naik ka’atas rumah handak mŭminta doa, ada kira kira pukol duablas tŭngah hari. Maka laparlah iya handak makan, maka sŭmŭntara orang sŭdiakan makanan itu, maka tŭrpengsanlah iya. Maka dilihatlah langit tŭrbuka, lalu turonlah kapadanya suatu bŭnda spŭrti sah’lie slimut yang bŭsar yang tŭrpanjut pada ampat punchanya, maka tŭrhulurlah iya sampie kabumi. Maka dalamnya itu ada banyaklah jŭnis binatang dibumi yang bŭrkaki ampat, dan binatang liar, dan yang mŭlata, dan burong yang diudara. Maka datanglah kapadanya suatu swara, katanya, Bangunlah angkau hie Petros, sŭmblehlah sŭrta makan. Tŭtapi jawab Petros, Bukannya dŭmkian, ya Tuhan; kŭrna bŭlom pŭrnah hamba mŭmakan barang apa yang haram atau nŭjis. Maka datanglah pula swara kadua kalinya, Barang yang dihalalkan Allah akan dia, janganlah angkau sŭbotkan haram. Maka dŭmkianlah halnya tiga kali, maka bŭnda itu pun tŭrangkatlah kŭmbali kŭlangit. Adapun sŭmŭntara Petros dudok bŭrfikir fikirkan dalam hatinya, bahwa apakah garangan artinya pŭnglihatan yang tŭlah dilihatnya itu, maka hieran, orang orang yang disurohkan ulih Kornelius itu tŭrdiri dipintu, sambil bŭrtanya, Dimanakah rumah Simon itu. Maka bŭrsrulah iya disana sambil bŭrtanya, Adakah Simon yang tŭrgŭlar Petros itu mŭnumpang disini? ¶ Adapun sŭmŭntara Petros lagi mŭmikirkan pŭnglihatan itu, maka bŭrkatalah Roh padanya, Bahwasanya adalah tiga orang mŭnchari akan dikau. Maka bangunlah angkau, turon, pŭrgilah bŭrsama sama dŭngan marika itu, maka janganlah angkau shak, kŭrna akulah yang mŭnyurohkan marika itu. Maka turonlah Petros mŭndapatkan orang orang yang tŭlah disuroh ulih Kornelius kapadanya itu, sambil bŭrkata, Bahwa sŭsungguhnya akulah dia yang kamu chari; apa sŭbab kamu datang kŭmari ini? Maka jawab marika itu, Bahwa Kornelius pŭnghulu orang sa’ratus, iya itu sa’orang bŭnar, dan yang takot akan Allah, lagi yang tŭrpuji bagie sagala orang Yahudi; iya tŭlah diingatkan Allah dŭngan sa’orang mŭliekat yang suchi akan mŭnjŭmpot dikau kŭrumahnya, supaya didŭngar pŭrkataan deripada kamu. Maka dipanggilnyalah marika itu masok mŭnumpang sŭrtanya. Maka pada ka’esokkan harinya Petros pun pŭrgilah sŭrta marika itu, diiringkan ulih bŭbrapa saudara yang diJopa. Hata pada ka’esokkan harinya sampielah marika itu kaKesaria. Maka Kornelius pun adalah mŭnantikan marika itu, maka tŭlah dihimponkannyalah akan sagala kaum kŭlorganya, dan sahabat handienya yang akrab. Shahadan tŭtkala masoklah Petros, maka datanglah Kornelius mŭndapatkan dia, sŭrta sujud mŭnyŭmbah dikakinya. Maka diangkatlah ulih Petros akan dia katanya, Bangunlah angkau, kŭrna aku ini pun sa’orang manusia juga. Maka sŭmŭntara iya bŭrkata kata dŭngan dia itu, lalu masoklah iya, maka didapatinya bŭbrapa orang bŭrhimpon. Maka bŭrkatalah iya kapada marika itu, Kamu tŭlah mŭngtahui, bahwa tiada patut orang Yahudi bŭrkampong kampong, atau masok kŭrumah orang bangsa lain; tŭtapi tŭlah ditunjokkan Allah padaku, jangan mŭngatakan bahwa barang sa’orang manusia haram atau nŭjis adanya. Maka sŭbab itulah aku datang sŭrta kamu mŭnjŭmpot aku dŭngan tiada shak: maka skarang pun aku bŭrtanya kapadamu, apa kahandakmu mŭnjŭmpot aku? Maka jawab Kornelius, Adalah ampat hari lalu aku puasa sampie ini jam, maka ada sŭkira kira pukol tiga pŭtang aku mŭminta doa dalam rumahku, maka hieran, tŭrdirilah sa’orang orang dihadapanku dŭngan mŭmakie pakiean yang gilang gumilang chahyanya. Lalu katanya, Hie Kornelius, doamu tŭlah ditrima, dan sagala sŭdŭkahmu pun tŭlah mŭnjadi suatu pŭringatan kapada Allah. Sŭbab itu surohlah orang pŭrgi kaJopa, mŭnjŭmpot Simon yang bŭrgŭlar Petros, bahwa iya ada mŭnumpang dirumah Simon tukang samak kulit yang ditŭpi laut; maka apabila iya datang kŭlak, iyalah akan mŭngajar kamu. Sŭbab itu sŭgralah aku mŭnyurohkan orang pŭrgi kapadamu, maka sŭbaik baiklah kŭdatanganmu ini. Maka skarang pun adalah sŭmua kami halir disini dihadapan Allah, sŭbab handak mŭnŭngar barang yang dititahkan Allah kapadamu. ¶ Maka Petros pun mŭmbuka mulotnya sŭrta bŭrkata, Bahwa dŭngan sŭbŭnarnyalah aku tŭlah mŭlihat Allah itu tiada mŭngindahkan muka manusia. Hanya dalam barang bangsa pun baik, maka siapa yang takot akan dia, dan mŭngŭrjakan yang bŭnar, iya itulah ditrimanya. Maka fŭrman yang tŭlah disampiekan Allah kapada bŭni Israil, sŭrta dimashorkannya pŭrdamiean dŭngan bŭrkat Isa Almasih, bahwa iyalah Tuhan sagala alam. Maka fŭrman itulah kamu pun tŭlah mŭngtahui yang tŭlah mashor pada sagala tanah Yahuda, mulanya deri Galilia, iya itu kumdian deri pada baptisan yang tŭlah dimashorkan ulih Yahya. Bagimana hal Allah tŭlah mŭlantek akan Isa orang Nazareth itu dŭngan Roh Alkudus, dan dŭngan kwasa, maka iyalah mŭnjalani kliling sambil bŭrbuat baik, dan mŭnyŭmbohkan sagala orang yang digagahi ulih Iblis, kŭrna Allah ada mŭnyŭrtai dia. Maka kami inilah saksinya derihal sagala pŭrkara yang tŭlah dipŭrbuatnya, baik dalam bŭnua orang Yahudi, baik diJerusalem; maka tŭlah dibunoh orang akan dia dŭngan digantongkan dikayu. Maka iyalah tŭlah dihidopkan Allah pada hari yang katiga, sŭrta mŭnunjokkan dia dŭngan nyatanya; Bukannya pada sagala orang, mŭlainkan kapada orang orang saksi yang tŭlah tŭrdahulu dipileh ulih Allah, iya itu pada kami ini yang tŭlah makan minum sŭrtanya kumdian deripada iya tŭlah hidop deripada matinya. Maka Allah tŭlah mŭnyurohkan kami mŭngajar orang, dan mŭnyaksikan, bahwa Isa itulah yang tŭlah ditŭntukan Allah mŭnjadi hakim sagala orang yang hidop dan yang mati. Maka derihalnya itulah juga sagala nabi tŭlah mŭnyaksikan, bahwa barang siapa yang tŭlah pŭrchaya akan dia, maka dosanya akan dihapuskan dŭngan bŭrkat namanya. ¶ Maka sŭmŭntara Petros bŭrkata kata akan sagala pŭrkataan itu, Maka turonlah Roh Alkudos atas sagala orang yang mŭnŭngar pŭrkataan itu. Maka hieranlah sagala orang bŭrsunat yang tŭlah pŭrchaya itu, iya itu sŭbrapa orang yang tŭlah mŭngiringkan Petros, sŭbab anugrah Roh Alkudos tŭlah dituangkan ka’orang sŭsat pun. Kŭrna didŭngar ulih marika itu akan orang sŭsat itu bŭrkata kata dŭngan bahsa lain lain, sŭrta mŭmbŭsarkan Allah. Maka tŭtkala itu disahut Petros, Katanya, Dapatkah ditahankan orang ayer, supaya jangan dibaptisakan marika itu yang tŭlah bŭrulih Roh Alkudos spŭrti kami ini juga? Maka disurohnyalah baptisakan marika itu dŭngan nama Tuhan. Tŭtkala itu dipintalah ulih marika itu akan Petros supaya iya tinggal bŭrsama sama dŭngan marika itu bŭbrapa hari.

KISAH RASUL-RASUL 10:1-48 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Di Kaisarea ada seorang bernama Kornelius, ketua tentera yang disebut pasukan Itali. Dia seorang yang bertakwa dan takut akan Allah, begitu juga seisi rumahnya. Dia banyak bersedekah kepada orang yang miskin dan sentiasa berdoa kepada Allah. Pada suatu hari kira-kira jam kesembilan, dalam suatu penglihatan dia melihat dengan nyata malaikat Allah mendapatkannya dan berkata kepadanya, “Hai Kornelius!” Dia merenung dengan ketakutan sambil bertanya, “Ya Tuan, ada apa Tuan?” Malaikat itu berkata, “Segala doa dan sedekahmu telah diredai Allah. Suruhlah orang pergi ke Yope memanggil seorang bernama Simon bergelar Petrus. Dia menumpang di rumah Simon penyamak kulit, di tepi laut.” Setelah malaikat itu pergi, Kornelius memanggil dua orang hambanya dan seorang askar yang takut akan Allah daripada kalangan orang yang bertugas melayaninya. Dia menceritakan segala yang berlaku itu kepada mereka dan menyuruh mereka pergi ke Yope. Esoknya, ketika mereka dalam perjalanan dan hampir sampai ke Yope, Petrus naik ke atas bumbung rumah untuk berdoa, kira-kira jam keenam. Kemudian dia berasa lapar dan hendak makan, tetapi sementara makanan sedang disediakan, dia diliputi kuasa ilahi. Dia melihat langit terbuka dan sesuatu seperti kain yang amat lebar, terikat keempat-empat penjurunya, diturunkan ke arahnya lalu ke bumi. Di dalamnya ada segala jenis binatang, yang berkaki empat dan yang melata, juga burung-burung di langit. Dia terdengar suara berkata, “Hai Petrus, bangunlah, sembelih dan makanlah.” Petrus berkata, “Ya Tuhan, jangan demikian, aku belum pernah makan barang yang haram atau najis.” Suara itu berkata pula kepadanya, “Barang yang dihalalkan oleh Allah, jangan kauharamkan.” Ini berulang tiga kali, kemudian kain itu terangkat naik ke langit. Sedang Petrus bertanya-tanya apa agaknya erti penglihatan itu, orang yang disuruh oleh Kornelius itu telah bertanyakan rumah Simon. Mereka berdiri di muka pintu. Lalu mereka berseru bertanya sama ada Simon bergelar Petrus ada menumpang di situ. Petrus masih lagi memikirkan penglihatannya itu. Roh Kudus berkata kepadanya, “Ada tiga orang mencarimu. Bangunlah, turun dan pergi bersama mereka tanpa ragu-ragu, kerana Aku yang menyuruh mereka datang.” Petrus pun turun mendapatkan orang itu lalu berkata, “Aku inilah orang yang kamu cari itu; apa hajatmu datang ke mari?” Mereka berkata, “Kornelius, seorang ketua tentera yang benar dan takut akan Allah serta disegani oleh seluruh bangsa Yahudi, telah menerima pesan Allah melalui malaikat yang suci bahawa dia hendaklah menjemput tuan datang ke rumahnya untuk mendengar apa yang akan tuan katakan.” Petrus mengajak ketiga-tiga orang itu masuk dan menumpang bermalam di rumah itu. Esoknya dia bangun lalu pergi bersama mereka; beberapa orang saudara seiman di Yope turut serta. Keesokan harinya mereka sampai di Kaisarea. Kornelius sedang menantikan kedatangan mereka, bersama semua kaum keluarga dan sahabat handai yang diajaknya berhimpun di situ. Apabila Petrus masuk, Kornelius mendapatkannya lalu sujud menyembah di kakinya; tetapi Petrus menariknya bangkit berdiri sambil berkata, “Bangkitlah; aku ini pun seorang manusia juga.” Sambil bercakap dengan Kornelius, Petrus masuk ke dalam rumah itu dan melihat betapa ramainya orang yang berhimpun di situ. Petrus berkata kepada mereka, “Saudara-saudara sedia maklum bahawa orang Yahudi dilarang berhubung dengan orang bangsa lain atau mengunjungi mereka; tetapi Allah telah menyatakan kepadaku supaya jangan memandang sesiapa pun sebagai haram atau najis. Oleh itu, apabila aku dipanggil, aku terus datang tanpa teragak-agak. Sekarang aku bertanya kepadamu, apakah sebabnya aku dipanggil datang ke sini?” Kornelius berkata, “Empat hari lalu, kira-kira jam kesembilan, aku sedang berdoa di rumah; tiba-tiba seorang berdiri di hadapanku, pakaiannya bersinar-sinar. Dia berkata, ‘Hai Kornelius! Segala doa dan sedekahmu telah diredai Allah. Suruhlah orang pergi ke Yope memanggil seorang bernama Simon bergelar Petrus. Dia menumpang di rumah Simon penyamak kulit, di tepi laut.’ Aku terus menyuruhkan orang mendapatkanmu; kamu sungguh baik hati datang ke mari. Sekarang kami semua hadir di sini di hadirat Allah untuk mendengar segala perkara yang diperintahkan Tuhan kepadamu untuk disampaikan kepada kami.” Petrus pun berkata, “Sesungguhnya, aku mengerti sekarang bahawa Allah tidak memilih kasih. Sesiapa yang takut akan Allah dan mengerjakan yang benar, tidak kira apa bangsanya, dialah yang diredai-Nya. Firman yang disampaikan Allah kepada bangsa Israel ialah firman yang mengkhabarkan kesejahteraan melalui Yesus Kristus, Tuhan semua manusia. Saudara-saudara tahu akan apa yang berlaku di seluruh Yudea mulai dari Galilea, selepas baptisan yang dikhabarkan oleh Yohanes. Perkhabaran itu tentang Yesus orang Nazaret, betapa Allah telah memilih-Nya sebagai Kristus dan memberi-Nya Roh Kudus serta kuasa. Dia telah pergi ke merata-rata membuat kebajikan dan menyembuhkan orang yang diseksa oleh Iblis, kerana Allah menyertai Yesus. Kami ini menjadi saksi akan segala yang dilakukan-Nya di tanah orang Yahudi malah juga di Yerusalem. Dia telah dibunuh dengan disalib; tetapi Allah membangkitkan-Nya pada hari yang ketiga serta memperlihatkan Dia; bukan kepada semua orang tetapi kepada kami yang telah dipilih oleh Allah sebagai saksi, kami yang semakan seminum dengan-Nya setelah Dia bangkit daripada kalangan orang mati. Dia memerintah kami mengkhabarkan kepada semua orang dan memberikan kesaksian bahawa Dialah yang dijadikan Allah hakim ke atas orang hidup dan orang mati. Semua nabi bersaksi tentang-Nya bahawa setiap orang yang percaya kepada Yesus akan diampuni dosanya dengan nama-Nya.” Ketika Petrus sedang bercakap, Roh Kudus turun dan memenuhi semua yang mendengar perkhabaran itu. Orang yang percaya kepada Yesus daripada golongan bersunat datang bersama Petrus berasa hairan melihat Allah mencurahkan Roh Kudus kepada bangsa-bangsa asing juga. Mereka mendengar orang itu bertutur dalam aneka bahasa dan memuji Allah. Kemudian Petrus berkata, “Lihatlah, mereka telah menerima Roh Kudus seperti kita. Dapatkah sesiapa menghalang mereka dibaptiskan dengan air?” Petrus pun menyuruh mereka dibaptiskan dengan nama Yesus Kristus. Selepas itu, mereka meminta Petrus tinggal dengan mereka beberapa hari.