2 TIMOTIUS 1:1-5
2 TIMOTIUS 1:1-5 Alkitab Berita Baik (BM)
Surat ini daripada Paulus yang menjadi rasul Kristus Yesus kerana kehendak Allah, dan yang diutus untuk mengisytiharkan hidup yang dijanjikan oleh Allah. Hidup itu kita terima kerana bersatu dengan Kristus Yesus. Aku menulis surat ini untuk Timotius, anakku yang aku kasihi. Semoga Allah Bapa dan Kristus Yesus Tuhan kita mengurniai engkau berkat, rahmat, dan kesejahteraan. Aku bersyukur kepada Allah yang aku sembah dengan hati nurani yang murni, seperti yang dilakukan nenek moyangku dahulu. Semasa berdoa, aku bersyukur kepada Allah setiap kali aku teringat akan engkau, baik siang mahupun malam. Aku ingat akan tangisanmu dan aku ingin sekali berjumpa dengan engkau supaya aku benar-benar gembira. Aku teringat akan imanmu yang sungguh-sungguh itu, seperti iman nenekmu Lois dan ibumu Eunike. Aku yakin bahawa engkau pun memiliki iman itu.
2 TIMOTIUS 1:1-5 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
BAHWA Paulus, sa’orang rasul Isa Almasih dŭngan kahandak Allah, iya itu mŭnurot pŭrjanjian slamat yang ada dalam Isa Almasih, Kapada Timothius anak yang kŭkasih: maka biarlah kiranya anugrah, dan rahmat, dan sŭjahtra padamu, deripada Allah iya itu Ayah, dan Isa Almasih Tuhan kami. Bahwa mŭnguchap shukorlah aku kapada Allah, yang aku bŭrbakti deripada nenek moyangku sŭrta dŭngan angan angan yang suchi, maka tŭringat ingatlah juga aku akan dikau dŭngan tiada bŭrkaputusan didalam sagala doaku baik malam baik siang. Sŭrta dŭngan rindu dŭndam handak bŭrtŭmu dŭngan dikau, sŭbab tŭrkŭnang kŭnang akan ayer matamu, supaya kŭlak aku dipŭnohkan dŭngan kasukaan. Apabila aku tŭringat akan iman yang bukan pura pura, yang ada dalammu itu, mula mula dalam nenekmu pŭrampuan Lois itu, dan ibumu Eunike itu, maka yakinlah aku bahwa dŭmkian itulah juga ada kapadamu.
2 TIMOTIUS 1:1-5 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Daripada Paulus, rasul Kristus Yesus, dengan kehendak Allah, menurut apa yang telah dijanjikan, iaitu hidup dalam Kristus Yesus, Kepada Timotius, anakku yang dikasihi: Semoga Allah Bapa dan Kristus Yesus, Tuhan kita, menganugerahimu kasih kurnia, belas kasihan dan damai sejahtera. Aku bersyukur kepada Allah yang kusembah dengan hati nurani yang suci sebagaimana telah dilakukan oleh nenek moyangku. Aku sentiasa mengingatimu dalam doaku siang malam. Apabila aku mengenang air matamu, aku sungguh ingin bertemu kembali denganmu supaya hatiku dipenuhi rasa bahagia. Aku juga mengingati imanmu yang tulus ikhlas, yang mula tersemai dalam jiwa nenekmu Lois dan ibumu Eunike, dan aku yakin bertapak dalam dirimu juga.