2 TESALONIKA 1:5-11
2 TESALONIKA 1:5-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Di sini nyata betapa adilnya penghakiman Allah: Allah akan menjadikan kamu layak untuk menikmati Dunia Baru Allah, yang baginya kamu telah mengalami penderitaan. Allah akan melakukan apa yang adil. Dia akan mendatangkan penderitaan kepada orang yang membuat kamu menderita. Dia pun akan memberikan kelegaan kepada kamu yang menanggung penderitaan dan juga kepada kami. Allah akan melakukan hal ini apabila Tuhan Yesus turun dari syurga dan menampakkan diri dengan malaikat-malaikat-Nya yang perkasa, dan dengan api yang bernyala-nyala. Dia datang untuk menghukum orang yang tidak mahu mengakui Allah dan orang yang tidak mahu mentaati Berita Baik tentang Yesus Tuhan kita. Mereka akan menerima hukuman kebinasaan selama-lamanya; mereka akan terpisah daripada hadirat Tuhan dan kekuasaan-Nya yang mulia. Semua itu akan berlaku, apabila Tuhan datang pada Hari itu kelak untuk menerima kemuliaan daripada semua umat-Nya dan penghormatan daripada semua orang yang percaya kepada-Nya. Kamu pun akan bersama-sama umat Allah itu, kerana kamu percaya kepada perkhabaran yang kami sampaikan. Itulah sebabnya kami sentiasa mendoakan kamu. Kami berdoa supaya Allah menjadikan kamu layak untuk hidup menurut kehendak-Nya; untuk hal itulah Dia telah memanggil kamu. Semoga Allah dengan kekuasaan-Nya memenuhi segala keinginan kamu untuk berbuat baik, dan menyempurnakan segala usaha yang kamu lakukan, kerana percaya kepada Kristus.
2 TESALONIKA 1:5-11 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Yang tŭlah mŭnjadi suatu alamat kanyataan deri hal adil hukum Allah, supaya kamu tŭrbilang layak bagie krajaan Allah, kŭrna deri sŭbab itulah juga yang kamu pun tahan kasukaran. Sŭbab tampaknya adillah Allah, akan mŭmbalas kasukaran atas sagala orang yang mŭnyusahkan kamu. Maka kapada kamu yang ada susah itu dibrinya pŭrhŭntian bŭsŭrta dŭngan kami, pada masa kŭlak kanyataan Tuhan Isa deri dalam shorga, bŭsŭrta dŭngan sagala mŭliekatnya yang bŭrkwasa itu. Dan dŭngan api yang bŭrnyala iya akan mŭngambil bela atas marika itu yang tiada mŭngŭnal Allah, dan yang tiada mŭnurot akan Injil Tuhan kami Isa Almasih. Maka marika itu akan diseksakan dŭngan kabinasaan kŭkal, iya itu jauh deripada halrat Tuhan, dan deripada kamuliaan kwasanya. Tŭtkala iya kŭlak datang akan dipŭrmuliakan ulih orang orang salihnya, dan diindahkan ulih sagala orang yang bŭriman pada hari itu, sŭbab saksi kami diantara kamu tŭlah dipŭrchayai. Maka sŭbab itulah kami mintakan doa pada sŭdiakala akan kamu, supaya dibilangkan Allah kamu layak akan jŭmpotan ini, dan mŭnggŭnapi sagala kŭrelaan kŭbajikannya, dan pŭrbuatan iman itu dŭngan kwasa.
2 TESALONIKA 1:5-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Segala ini bukti nyata penghakiman yang adil daripada Allah, supaya kamu dikira layak memasuki kerajaan Allah, yang untuknya kamu telah menderita. Allah akan melakukan keadilan, membalas dengan kesengsaraan terhadap mereka yang menyebabkan kamu sengsara, dan Dia akan memberikan kelegaan kepadamu yang menderita dan juga kepada kami apabila Tuhan Yesus muncul dari syurga diiringi malaikat-malaikat perkasa-Nya dengan api yang menyala. Dia mengenakan hukuman kepada mereka yang tidak mengenal Allah, dan mereka yang tidak taat akan Injil Tuhan kita Yesus Kristus. Mereka akan dihukum dengan kebinasaan selama-lamanya, tersingkir dari hadirat Tuhan kita dan kemuliaan kuasa-Nya. Semua itu akan berlaku apabila Dia datang, pada hari itu, untuk dimuliakan oleh murid-murid-Nya yang salih dan untuk diberi penghormatan oleh semua orang beriman. Ini termasuk kamu kerana kamu percaya kepada kesaksian kami antara kamu. Oleh itu, kami sentiasa berdoa untukmu supaya Allah kita menganggapmu layak dipanggil, dan supaya Dia memenuhi segala hasratmu berbuat baik untuk-Nya serta menyempurnakan segala usaha imanmu dengan kuasa-Nya.