2 SAMUEL 7:1-7
2 SAMUEL 7:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN melindungi Raja Daud daripada segala gangguan musuh, sehingga baginda dapat menetap di istananya. Kemudian Raja Daud bertitah kepada Nabi Natan, “Lihatlah, beta tinggal di dalam istana yang diperbuat daripada kayu sedar, sedangkan Tabut Perjanjian Allah disimpan di dalam khemah!” Natan menjawab, “Lakukanlah apa saja kehendak tuanku, kerana TUHAN menolong tuanku.” Tetapi malam itu TUHAN berfirman kepada Natan, “Pergilah beritahu hamba-Ku Daud, firman-Ku ini, ‘Bukan engkau yang akan membina rumah bagi-Ku. Sejak Aku menyelamatkan umat Israel dari Mesir sehingga kini, belum pernah Aku tinggal di dalam sebuah rumah. Aku mengembara dan tinggal di dalam khemah. Selama perjalanan-Ku dengan umat Israel, belum pernah Aku bertanya kepada sesiapa pun pemimpin yang Aku pilih, apa sebabnya mereka tidak membina rumah daripada kayu sedar untuk Aku.’
2 SAMUEL 7:1-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setelah raja menetap di dalam istananya dan TUHAN mengurniakan ketenteraman kepadanya daripada semua musuh di sekelilingnya, berkatalah raja kepada nabi Natan, “Lihatlah, aku ini tinggal dalam rumah kayu araz walhal tabut Allah tinggal di dalam khemah.” Jawab Natan kepada raja, “Lakukanlah segala sesuatu yang tuanku niatkan, kerana TUHAN menyertai tuanku.” Akan tetapi, pada malam itu juga datanglah firman TUHAN kepada Natan demikian, “Pergilah dan katakanlah kepada hamba-Ku Daud, ‘Beginilah firman TUHAN, “Akankah engkau membina bagi-Ku rumah untuk didiami? Sebabnya sejak Aku memimpin orang Israel keluar dari Mesir sampai hari ini, Aku tidak pernah tinggal di dalam rumah apa-apa pun, melainkan Aku selalu hadir menyertaimu dalam sebuah khemah sebagai tempat kediaman. Ke mana-mana jua sahaja Aku mengembara bersama dengan seluruh orang Israel, pernahkah Kukatakan kepada mana-mana hakim yang Kuperintahkan menggembala umat-Ku Israel, ‘Mengapakah kamu tidak membina bagi-Ku sebuah bait daripada kayu araz?’ ” ’