2 SAMUEL 6:1-14 - Compare All Versions
2 SAMUEL 6:1-14 BM (Alkitab Berita Baik)
Sekali lagi Raja Daud mengumpulkan askar-askar yang terbaik di Israel, sebanyak tiga puluh ribu orang. Baginda memimpin mereka ke Baale di Yehuda, untuk mengambil Tabut Perjanjian yang disebut dengan nama TUHAN Yang Maha Kuasa, yang bertakhta di atas kerub. Mereka mengambil Tabut Perjanjian itu dari rumah Abinadab di atas bukit, lalu meletakkannya di atas sebuah kereta lembu yang baru. Kereta lembu itu diiringi oleh anak-anak Abinadab, Uza, dan Ahio. Uza berjalan disamping kereta lembu itu, dan Ahio berjalan di hadapannya. Raja Daud dan semua orang Israel berjalan di hadapan Tabut Perjanjian sambil menari dan menyanyi dengan segenap tenaga mereka untuk menghormati TUHAN. Mereka bermain kecapi, gambus, rebana, kelentung, dan ceracap. Apabila mereka sampai di tempat mengirik gandum kepunyaan Nakhon, lembu-lembu itu tergelincir, lalu Uza menghulurkan tangan dan memegang Tabut Perjanjian. Pada saat itu juga TUHAN Allah murka dengan Uza dan membunuh dia, kerana perbuatannya itu merupakan penghinaan kepada TUHAN. Uza mati di sebelah Tabut Perjanjian. Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Peres-Uza. Raja Daud murka kerana TUHAN telah membinasakan Uza. Tetapi Raja Daud takut juga akan TUHAN. Raja Daud bertitah, “Sekarang bagaimanakah beta dapat membawa Tabut Perjanjian itu?” Oleh itu baginda tidak mahu lagi membawa Tabut Perjanjian ke Yerusalem. Sebaliknya baginda membawa Tabut Perjanjian itu ke rumah Obed-Edom, orang yang berasal dari Gat. Tabut Perjanjian berada di sana selama tiga bulan, dan TUHAN memberkati Obed-Edom serta keluarganya. Raja Daud mendengar bahawa TUHAN telah memberkati keluarga Obed-Edom dan segala yang ada padanya, kerana Tabut Perjanjian. Maka Raja Daud pergi ke rumah Obed-Edom dan mengambil Tabut Perjanjian itu. Baginda memindahkan Tabut Perjanjian ke Yerusalem dengan perayaan besar. Setelah orang yang mengangkat Tabut Perjanjian melangkah maju enam langkah, Raja Daud menyuruh mereka berhenti. Lalu baginda mempersembahkan korban kepada TUHAN, iaitu seekor lembu jantan dan seekor anak lembu yang digemukkan. Raja Daud menari-nari dengan penuh semangat untuk menghormati TUHAN. Pada waktu itu baginda hanya memakai kain linen pendek yang diikat pada pinggangnya.
2 SAMUEL 6:1-14 AVB (Alkitab Versi Borneo)
Sekali lagi Daud menghimpunkan semua orang pilihan dari Israel, jumlahnya seramai tiga puluh ribu orang. Kemudian Daud dan seluruh rakyat bersiap-siap lalu berjalan dari Baale-Yehuda, untuk mengangkut dari sana tabut Allah, yang disebut dengan nama TUHAN alam semesta yang bertakhta di atas kerubin. Mereka menaikkan tabut Allah itu ke atas sebuah pedati baru dan mengangkutnya dari rumah Abinadab, yang terletak di bukit. Uza dan Ahio, anak-anak Abinadab, mengendalikan pedati baru itu bersama-sama tabut Allah yang diangkut mereka dari rumah Abinadab di bukit. Ahio berjalan di depan tabut itu, sementara Daud dan seluruh keturunan kaum Israel menari-nari di hadapan TUHAN dengan diiringi nyanyian serta alat muzik kecapi, gambus, rebana, kerincing dan ceracap. Ketika mereka sampai di tempat pembantingan bijirin Nakhon, Uza menghulurkan tangannya untuk memegang tabut Allah, kerana lembu-lembu pedati itu tergelincir. Lalu menyalalah murka TUHAN terhadap Uza. Allah mengajar dia di sana kerana kesalahannya itu, dan matilah dia di sana, berdekatan dengan tabut Allah. Daud berasa kesal kerana TUHAN telah menyambar Uza. Itulah sebabnya tempat itu disebut Peres-Uza sampai hari ini. Namun begitu, pada hari itu Daud menjadi takut kepada TUHAN, katanya, “Bagaimanakah mungkin tabut TUHAN itu dapat sampai kepadaku?” Oleh sebab itu Daud tidak mahu memindahkan tabut TUHAN ke tempatnya, di Kota Daud, tetapi Daud menyinggahkannya di rumah Obed-Edom, orang Gat. Tiga bulan lamanya tabut TUHAN tinggal di rumah Obed-Edom, orang Gat itu, dan TUHAN memberkati Obed-Edom serta seluruh keluarganya. Kemudian kepada Raja Daud dikhabarkan demikian, “TUHAN memberkati keluarga Obed-Edom dan semua miliknya kerana tabut Allah itu.” Maka pergilah Daud mengangkut tabut Allah itu dari rumah Obed-Edom ke Kota Daud dengan penuh sukacita. Apabila para pengangkat tabut TUHAN itu melangkah maju enam langkah, dia mengorbankan seekor lembu dan seekor anak lembu yang tambun. Sebagai ungkapan syukur kepada TUHAN, Daud menari-nari dengan penuh semangat. Dia memakai jubah efod daripada kain linen.